NEELOFA cukup menitikberatkan tentang penampilannya.
Pelakon, model dan pengacara kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu kembali dihambat beberapa kontroversi lagi baru-baru ini.
Dia kini sudah berani melepaskan geram di laman sosial Twitter
miliknya berikutan ketidakpuasan hati terhadap pengurusan yang
memaksanya memakai pakaian yang tidak sesuai.
Hal yang sama berlaku kepada kru produksi telefilem Dibah Lori yang
mendakwa aktres jelita itu mahu bersolek tebal dan hanya mahu memakai
pakaian baharu walaupun untuk berlakon babak yang tidak relevan dengan
cara pemakaiannya.
Pemilik nama Noor Neelofa Mohd Noor, 23, yang ditemui ketika sidang
akhbar pelancaran produk kesihatan dan kecantikan Bellavita di Hotel
Royale Bintang Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru, menjawab
semua dakwaan tersebut.
Kosmo!: Dengar kata Neelofa sekarang sudah semakin besar kepala, lantang bersuara dan berani berlagak diva. Komen anda?
NEELOFA: Terma diva itu sangat subjektif dan bagi saya, adakalanya
kita perlu jadi diva sebab sesetengah masa orang kurang faham situasi
kita. Saya kena bertegas untuk mengejar masa agar sesuatu perkara
menjadi lebih lancar.
Baru-baru ini ada dakwaan mengatakan anda menolak untuk memakai baju
yang disediakan pihak produksi sebuah telefilem dan menegaskan mahu
bersolek tebal-tebal. Benarkah?
Sebenarnya banyak yang dicanangkan itu tidak betul! Penonton perlu
tengok sendiri baru tahu bagaimana keadaan saya dalam telefilem Dibah
Lori itu. Malah, ketika saya datang ke lokasi pun, saya tidak bersolek
dan membiarkan diri berpeluh-peluh sebab itu realiti seorang pemandu
lori. Saya tak kisah dakwaan tersebut, sebab orang ramai boleh menilai
sendiri nanti apabila ia ditayangkan.
Apa tindakan anda setelah mengetahui gosip yang mengaitkan anda dengan produksi telefilem itu?
Saya terus menelefon mereka dan bertanyakan hal itu. Mereka juga
menjelaskan bahawa berlaku salah faham mengenai gosip yang tersebar.
Saya pun tak nak jejaskan hubungan dengan mana-mana produksi.
Anda ada syak sesiapa yang terlibat untuk memburuk-burukkan nama anda?
Saya tak salahkan sesiapa apatah lagi penulis gosip tersebut sebab
saya faham itu kerja dia. Terasa tetap terasa, tapi tak boleh salahkan
mereka 100 peratus. Kalau nak tuding jari kepada penyampai pun belum
tentu semuanya betul. Sebagai figura, saya telan perkara ini sebagai
pengalaman untuk mematangkan diri.
Selain isu tersebut, anda juga sebelum ini ada menyuarakan rasa
tidak puas hati di laman sosial Twitter terhadap sebuah stesen
televisyen swasta yang tidak peka tentang pemakaian anda untuk
mengacarakan rancangan mereka. Komen anda?
Saya sudah banyak kali pesan kepada mereka (pengurusan busana)
sepanjang terlibat dengan program itu tentang pemakaian saya. Tak silap
saya, rasanya sudah lebih daripada lima kali saya berpesan, namun tiada
tindakan. Saya bukannya cerewet, tapi saya mahu pakaian yang lebih
sesuai sebab ia melambangkan imej saya sebagai artis. Bagi saya,
bersuara untuk perkara yang positif adalah sesuatu yang bagus untuk
kebaikan bersama.
Tidakkah anda rasa dengan mendedahkan situasi itu ibarat membuka pekung di dada dan boleh menjejaskan karier anda?
Sebelum itu pun saya sudah ada meminta pandangan daripada orang yang
lebih berpengalaman. Katanya, saya patut bersuara sebelum terlambat tapi
menggunakan ayat yang betul. Sekarang saya lebih banyak belajar dan
tahu apa yang perlu atau tidak. Menariknya, pihak pengurusan kini
semakin prihatin dan menghormati pendirian saya.
Bagaimana hubungan anda dengan pihak produksi itu dan jika dipanjangkan kontrak bersama mereka, adakah anda masih akan menerima?
Saya suka bidang pengacaraan, apabila boleh turun ke padang dan
menemubual orang ramai, saya rasa teruja. Selama ini saya sentiasa
berikan yang terbaik. Kita tengok situasi selepas ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment