WASHINGTON - Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan 50 lagi cedera
semalam apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah
sekumpulan penonton yang sedang asyik menonton tayangan filem Batman di
pusat beli-belah di Aurora, negeri Colorado, kata Ketua Polis Aurora,
Dan Oates.
Oates berkata, lelaki bersenjata itu, James Holmes, 24, kemudian
ditangkap ekoran kejadian tersebut semasa para penonton menonton filem
terbaharu Batman, The Dark Knight Rises pada tayangan tengah malam di
pawagam Century 16.
Saluran berita CNN melaporkan, lelaki itu yang menggunakan empat
senjata api termasuk sepucuk raifal dan pistol melepaskan tembakan
semasa adegan tembak-menembak filem tersebut ditayangkan.
Dia berkata, pawagam tersebut juga dipenuhi dengan asap.
Polis kini memburu seorang lagi lelaki bersenjata yang turut terlibat dalam kejadian pembunuhan itu.
Menurut media Amerika Syarikat (AS), antara mangsa yang cedera
termasuk enam kanak-kanak dengan mangsa paling muda berusia enam tahun.
Seorang saksi memberitahu saluran televisyen bahawa sebanyak 10 hingga 20 tembakan kedengaran dan terdapat letupan kecil.
"Sejurus kemudian, kami mendengar orang ramai menjerit.
"Selepas itu, pengumuman dibuat menerusi sistem audio yang meminta setiap orang keluar dari pawagam," katanya.
Saksi itu menyatakan, selepas keluar, sejumlah orang kelihatan berlari dan menjerit.
Laporan Radio KOA 850 menyatakan beberapa saksi menyatakan salah
seorang penyerang itu yang memakai topeng turut membawa bom asap.
Motif serangan masih belum diketahui.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Barack Obama yang dimaklumkan
tentang kejadian tersebut oleh penasihat Keselamatan Dalam Negara, John
Brennan, menggesa rakyat AS supaya bersatu bersama penduduk Aurora pada
waktu sukar ini.
"Michelle (isteri Obama) dan saya terkejut dan sedih berhubung
insiden tembakan yang dahsyat dan tragis di Colorado. Pihak berkuasa
persekutuan dan tempatan masih menyiasat dan pentadbiran saya akan
melakukan apa saja yang terdaya untuk membantu penduduk Aurora pada
detik yang sukar ini," kata Obama. - Agensi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment