nuffnang

Translate


get this

Tuesday 22 May 2012

Ayah suruh berhenti nyanyi - Alif Satar


SEBELUM diri sendiri bergelar artis, Alif Satar, 22, berasakan menjadi artis sangat mudah. Setiap hari dia membelek akhbar dan majalah sehingga membuatkan dia terpesona melihat wajah artis pujaannya yang segak, bergaya, glamor dan mempunyai ramai peminat.

Bagaimanapun selepas dia sendiri menjadi penyanyi barulah dia tahu kesukaran yang terpaksa ditempuhinya. Segalanya mengenai dunia seni adalah kerja keras dan perlu menahan caci maki masyarakat.

“Semua yang sangat lihat indah belaka itu, tidak datang dalam sekelip mata dan semuanya adalah berkaitan dengan kesungguhan. Tidak boleh mengharapkan bulan jatuh ke riba atau menantikan orang ‘menyuap’ ke mulut kita. Saya menyertai pertandingan OIAM (One In A Million) pada usia 16 tahun dan belum tahu mengenai industri hiburan yang sebenar.

“Apa yang saya tahu ketika itu saya mahu menjadi penyanyi terkenal tanpa mengetahui onak duri yang bakal ditempuhi. Seronok melihat kerlipan kamera yang merakamkan wajah saya tetapi selepas sekian lama sama dalam bidang ini, ia tidaklah seindah mana. Saya sudah mencuba kedua-dua bidang iaitu menyanyi dan berlakon, barulah saya tahu betapa sukarnya untuk mencapai apa yang diidamkan selama ini.
“Orang di luar sana tak mungkin faham apa yang saya dan artis lain lalui. Bukan saja kena bekerja keras tetapi juga mesti ada sekeping hati yang cukup kental kerana kerjaya seperti ini memberi ruang cukup luas kepada masyarakat untuk mengambil tahu setiap inci kehidupan kita dan seterusnya menjadi bahan umpatan. “Bagaimanapun kerana inilah jalan yang saya pilih, terpaksalah saya menerima segalanya dengan hati terbuka. Saya tidak pernah menyesal walaupun ada ketika saya rasa sedih dengan tohmahan yang saya terima. Pernah juga saya mengadu pada emak dan ayah. Oleh kerana mereka berdua ini guru, cara mereka memberi motivasi kepada saya agak berbeza.

“Ayah saya kata, kalau saya tak suka (menyanyi), berhenti saja. Kenyataan ayah membuatkan saya tersentak dan memaksa saya memikirkannya semula. Langkah yang terbaik saya terpaksa mengambil saranan ayah itu sebagai cabaran,” katanya.

Tambah Alif, akhirnya dia nekad untuk meneruskan perjuangan dan akan terus berada dalam industri selama mana peminat dapat menerima kehadirannya.

“Kalau orang tanya perancangan saya, apa yang ada sekarang saya akan teruskan dan melakukan sebaik-baiknya. Menyanyi adalah periuk nasi saya dan akan saya akan buat pekerjaan ini dengan bersungguh-sungguh.

“Saya masih muda dan saya tahu peluang untuk saya berjaya dalam lapangan ini masih terbentang luas,” katanya.

Alif yang kini bernaung di bawah Sony Music bernasib baik kerana dia mendapat lagu yang bagus dan cepat ‘menangkap’ di hati pendengar. Dia kini sedang popular dengan lagu Lelaki Seperti Aku. Sebelum itu dia dikenali dengan lagu Jangan Nakal dan Cukup Indah yang dimuatkan dalam album pertamanya. Dia juga bakal memperkenalkan single kedua–nya, Abdul.

“Saya bertuah kerana dalam setiap album mesti ada lagu yang bagus di mana melodi dan liriknya begitu dekat di hati remaja serta mereka yang sebaya saya. Lagu Jangan Nakal dan Lelaki Seperti Aku sesuai dengan imej saya sekarang yang masih muda remaja. Syukur sangat selama enam tahun saya dalam industri, peminat menerima saya dengan baik.

“Pun begitu dengan peredaran usia, tidak selamanya saya terus dapat bertahan dengan melodi seperti itu. Mungkin dalam masa dua atau tiga tahun saja lagi dan selepas itu saya kena memikirkan jenis muzik yang lain pula.

“Kepada peminat saya sekarang, mereka akan terus mengharungi alam remaja dan dewasa dengan lagu saya itu,” katanya. Menambah profil diri sebagai anak seni, baru-baru ini Alif berlakon dalam drama 13 episod berjudul Pulau Pandan Jauh Ke? yang dirakamkan di Pulau Pangkor, Perak.

“Selama sebulan saya jadi ‘orang pulau’. Berlakon adalah pengalaman yang menarik tetapi kalau diberi pilihan saya lebih suka menyanyi. Ini kerana menyanyi tidak lama dengan bayaran yang amat berpatutan sekali. Ada lagi tawaran berlakon tetapi saya tidak boleh terima kerana sibuk dengan undangan pentas,” katanya.

Selain itu, Alif juga pernah jadi pengacara untuk rancangan terbitan RTM iaitu Kenangan Mengusik Jiwa. Rancangan itu mengetengahkan lagu lama yang dinyanyikan semula oleh band indie yang baru wujud. Mereka menggubah semula lagu itu dengan diberi susunan muzik baru.

Mengembangkan lagi bakat pengacaraan, Alif juga pernah muncul di saluran Astro Tutor mengendalikan soalan Penilaian Menengah Rendah untuk mata pelajaran Bahasa Melayu.

“Merasalah sekejap jadi guru tetapi ada juga apa yang saya ajar, saya sendiri tak faham,” katanya.

Paling terbaru, dia juga muncul dalam drama bersiri DiGi -Buddyz untuk siaran Astro Ria.

Alif ditemui di Sekolah Menengah Clifford, Kuala Kangsar, Perak, pada majlis penyerahan buku oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) kepada sekolah, institusi pengajian tinggi, maktab perguruan, perpustakaan awam negeri, pusat sumber pelbagai agensi, sekolah seni, sekolah rendah dan sekolah menengah di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli hadir untuk menyampaikan penyerahan buku itu. Artis lain muncul membuat persembahan pada majlis itu One Nation Emcees dan Asmidar (Juara Vokal Bukan Sekadar Rupa).

No comments:

Post a Comment