nuffnang

Translate


get this

Monday 5 March 2012

Bukan berlagak diva - Tengku Azura



TERKENAL di pentas peragaan dan status supermodel Malaysia yang disandangnya bukan satu ukuran buat Tengku Azura Tengku Awang untuk mendabik dada. Apatah lagi, dia merupakan pelakon paling hijau dan merupakan satu-satunya bunga dalam filem Bunohan arahan Dain Said itu.
Mengakui pengalamannya sebagai pelakon cukup cetek, hanya sempat terlibat dalam drama Mr. Bendul serta filem Dukun yang tidak ditayangkan juga kemunculan cameo dalam filem Dari Kerana Mata arahan Melissa Saila yang belum ditayangkan, nampaknya filem Bunohan menjadi penanda aras pertamanya di layar perak Malaysia.

"Lakonan bukan bidang saya. Saya terima tawaran ini kerana saya sudah kenal lama Dain Said dan pernah terlibat dalam filem Dukun arahannya. Saya selesa dengan cara kerjanya selain watak yang diberikan juga cukup menarik," tuturnya yang pernah menjadi wajah jenama terkenal antarabangsa, Dior.

Hakikat sebenarnya kata Azura, keluarganya tidak bersetuju dengan keputusannya untuk terlibat dalam filem Bunohan pada awalnya, namun disebabkan lokasi penggambaran filem itu di tepi pantai negeri Terengganu turut menggamit nostalgia buat keluarga, akhirnya Azura mendapat restu penuh daripada ibu dan bapanya.

"Ibu bapa saya tidak suka saya berlakon sebenarnya tetapi apabila mendapat tahu lokasi penggambaran dilakukan di tepi pantai Terengganu yang secara kebetulan itu adalah Kampung Payang tempat nenek saya membesar, mereka terus setuju. Sekarang kampung itu telah tiada kerana telah dihanyutkan oleh air laut," tutur wanita berusia 37 tahun itu lagi.
Meskipun lakonan bukan bidangnya dan hanya muncul dalam beberapa babak sahaja, namun lakonan Azura wajar dipuji. Wajah kosong tanpa sebarang solekan, pakaiannya pula bukannya jenama terkenal sebaliknya kebaya dan kain batik lusuh.

Lokasi penggambaran tempat berpijak Azura adalah kawasan paya yang penuh dengan lintah dan berhampiran muara sungai yang arusnya agak deras.
Selepas melihat hasilnya pada tayangan filem Bunohan baru-baru ini, segala pengorbanannya itu berbaloi apabila melihat hasilnya yang cukup memuaskan hatinya.
"Sepanjang penglibatan saya sebagai pelakon inilah watak yang paling berat pernah saya bawa. Tiada sebarang solekan dengan hanya berkain batik dan ratusan pacat di paya, memang satu pengalaman baharu buat saya.

"Pada mulanya takut juga, lama-kelamaan seronok pula. Sekarang saya tahu, saya boleh lakukannya walaupun lokasi penggambaran agak bahaya seperti arus deras ketika saya berjalan di paya yang berhampiran muara sungai," ceritanya.
Adakah Azura akan aktif berlakon selepas ini, seandainya Bunohan cemerlang di pawagam sebaik ditayangkan bermula 8 Mac ini?
"Saya rasa tidak, kerana minat saya bukan terarah kepada lakonan. Terus terang saya katakan lakonan bukan sesuatu yang saya mahukan buat cabaran diri. Lagipun usia saya sudah cecah 37 tahun, sudah terlambat andai saya mahu terlibat secara serius dalam lakonan.
"Jika ada tawaran lain mungkin saya tidak terima. Saya cuma akan berlakon jika tawaran itu datangnya daripada Dain Said sahaja. Bukannya berlagak diva atau sombong, saya harap pihak lain faham dan tidak salah anggap tentang pendirian saya," balasnya.

Merupakan satu-satunya wanita yang muncul dalam filem Bunohan yang menampilkan lakonan hebat Faizal Hussein, Zahiril Adzim, Pekin Ibrahim, Bront Palarae, Soffi Jikan, Nam Ron, Wan Hanafi Su, Amerul Affendi dan Jimmy Lor, ia satu penghormatan yang cukup besar buat Azura.
Bimbang andai lakonannya tidak setaraf dengan pelakon yang lain, ujar Azura, dia berterima kasih kerana pelakon lain banyak membantunya larut dalam jiwa Mek Yah.
"Alhamdulillah, apabila masuk sahaja set penggambaran ramai yang membantu saya. Mulanya risau juga sebab tengok senarai pelakon, semuanya memang hebat jika hendak dibandingkan dengan saya terasa diri amat kerdil sekali.

"Apapun saya sangat bertuah dan satu penghormatan apabila terlibat dalam sebuah produksi yang bagus. Saya berbangga kerana terlibat dalam Bunohan," kata Azura.
Kuasa lelaki
Filem Bunohan yang dikuasai oleh pelakon lelaki cukup cemerlang daripada persembahan masing-masing. Semua watak berjalan dengan cukup seimbang dan sudah pasti yang paling menarik perhatian adalah watak Ilham yang dipikul Faizal Hussein sebagai pembunuh upahan.

GABUNGAN lakonan Faizal Hussein dan Bront Palarae menyuntik kemantapan dalam tenaga lakonan filem Bunohan.


Kata Faizal, selama empat tahun dia menyiapkan diri untuk watak tersebut, dan Bunohan merupakan satu-satunya filem lakonannya yang mana dia telah membuat persediaan cukup lama sebelum penggambaran bermula.
"Saya sudah tahu saya akan bawa watak sebagai Ilham ini lebih daripada empat tahun ketika saya menjalani penggambaran filem Dukun lagi. Sebelum penggambaran kami masuk kelas belajar bertutur dalam dialek Kelantan, saya diajar cara membawa bot serta cara-cara untuk membunuh dengan berkesan.

"Tiada solekan di wajah cuma minyak dan air sahaja, manakala pakaian saya sepanjang filem ini hanyalah sehelai baju dan seluar yang sama. Wajah saya tidak disolek sebaliknya badan yang disolek untuk menunjukkan ketulan badan Boleh dikatakan sepanjang kerjaya lakonan saya, ini adalah watak terbaik pernah saya bawakan" katanya.

Bunga Lalang
Faizal bersyukur dalam usianya mencecah angka 45 tahun kini, masih ada penerbit yang sudi menaruh kepercayaan buat dirinya untuk memegang watak utama dalam filem. Katanya, Bunohan sangat istimewa kerana bukan wang yang menjadi taruhannya.

"Saya tidak sangka akan berlakon filem dan memegang watak utama pada usia sebegini. Jujur, saya katakan Bunohan sangat istimewa bukan sahaja buat saya tetapi seluruh tenaga produksi kerana kami berlakon bukan kerana duit tetapi hanya untuk menghasilkan sebuah karya yang mampu dibanggakan sebagai anak seni tempatan," ungkapnya yang bakal muncul dengan drama Titisan Darah Pahlawan di RTM 1.

Sementara itu, Zahiril Adzim yang membawakan Aidil atau Bunga Lalang seorang petinju tomoi. Dia telah membawa wataknya cukup cemerlang dan berjaya menyakinkan penonton bahawa dia cukup arif bertinju sedangkan dia bukanlah seorang peninju profesional.
Mengambil masa dua bulan belajar tinju tomoi, setiap babak berlawan dilakukan seperti perlawanan sebenar mengikut kata pengarah supaya babak itu berkesan kepada penonton.
"Bayangkan saya dan Amerul belajar tomoi yang telah disingkatkan daripada setahun menjadi dua bulan. Kami diajar seperti kami benar-benar akan naik atas pentas dan berlawan. Cedera dan lebam-lebam itu perkara biasa, jika tidak, tidak nampak keaslian babak itu.

"Babak akhir yang memerlukan saya berlawan dengan kawan baik saya sendiri dalam filem itu mengambil masa selama empat hari. Jadi, selama empat hari saya disepak terajang di tempat yang sama di badan," ungkapnya yang cukup gembira terlibat dalam naskhah Dain Said itu.
Dalam pada itu, Bakar, satu lagi watak penting dalam Bunohan dilakonkan oleh Pekin dengan penuh impak. Wajah suci, sopan dan santun serta menggambarkan golongan profesional dalam Bunohan, namun ada sisi dirinya yang amat hitam. Ujar Pekin, dia tidak sangka, hadir ke uji bakat untuk watak pembantu, tetapi diberi pula watak utama.

"Ketika diberitahu saya dapat watak penting dalam Bunohan, saya hampir menangis dan sebak sebab tidak percaya diberi watak Bakar, kerana Bunohan antara naskhah yang saya benar-benar ingin berlakon. Datang pula uji bakat semuanya pelakon hebat seperti guru saya sendiri, memang saya sangat terkejut," ujarnya.
Sambung Pekin, selain naskhah yang hebat, dia juga gembira kerana filem ini melibatkan semua aktor yang benar-benar boleh berlakon dengan baik.

"Saya sudah lama tunggu naskhah seperti Bunohan yang melibatkan semua aktor yang kita tahu kebolehan lakonan mereka tidak boleh dipertikaikan. Seluruh tenaga produksi juga sangat bagus, kami mempunyai pengalaman yang cukup seronok ketika di set penggambaran," balasnya yang gembira dapat memegang watak antagonis.
Bunohan secara keseluruhan sebuah filem cemerlang dan berbeza daripada filem yang pernah dihidangkan oleh pengarah tempatan.
Filem ini mengisahkan tiga orang adik-beradik, Bakar, Ilham dan Aidil yang berperang dengan jiwa masing-masing kerana masalah keluarga, terutama terhadap subjek utama permasalahan iaitu perebutan hak tanah yang akhirnya menjadi taruhan jiwa seluruh keluarga mereka.

No comments:

Post a Comment