nuffnang

Translate


get this

Sunday 4 March 2012

Kasih masih utuh - Rohaiza Nordin


HAMPIR lima tahun mengharungi hidup berumahtangga, cinta antara penyanyi Rohaiza Nordin atau Haiza dan suami yang juga pemain hoki bersama Kelab Sapura, Norhanapfe Omar (Nape) tetap utuh.
Walaupun sebelum ini timbul cerita mengatakan perkahwinan mereka mula bergolak, kemunculan Haiza dan Nape bersama termasuklah baru-baru ini diraikan teman dalam majlis sambutan hari jadi ke-32, penyanyi yang cukup popular dengan lagu Dag Dig Dug, secara tidak langsung menafikan dakwaan itu.

Sebelum itu pelbagai andaian ditimbulkan kononnya perkahwinan Haiza goyah gara-gara suami tidak bekerja. Apatah lagi sebelum ini penyanyi berasal dari Pontian, Johor itu dilihat berseorangan menghadiri majlis tertentu.
Haiza yang memulakan kerjaya nyanyian pada usia 15 tahun menyifatkan cerita itu hanya cakap orang dan bukan fakta. Katanya, suami bekerja dengan bermain hoki secara profesional bermula zaman bujang hingga sekarang. “Pada saya, cerita itu timbul bermakna orang masih perasan kewujudan saya dalam industri seni tempatan. Ia saya anggap asam garam kehidupan sebagai anak seni. “Suami bekerja sepenuh masa dengan Kelab Hoki Sapura. Sekarang sudah masuk tahun kelima dia berkhidmat untuk kelab terbabit. Cuma biasalah kerana kesibukan juga, dia jarang ada masa untuk saya. Selepas menjalani latihan, dia perlu berehat kerana ia penting untuk ahli sukan sepertinya,” katanya.

Cuma kebelakangan ini jelas Haiza, memandangkan liga hoki belum lagi bermula, suami punya masa untuk bersama dengannya. Haiza gembira apabila Nape turut serta dengannya ketika menjayakan program Travelog Airasia di Bandung, Indonesia baru-baru ini. Antara lokasi menarik yang mereka kunjungi sepanjang penggambaran program itu ialah Trans Studio, Tangkuban Perahu dan yang paling disukai Haiza, membeli belah di butik yang menawarkan pakaian jenama dengan harga murah.

Kata Haiza, adalah penting untuk dia dan Nape mengatur jadual bagi memastikan mereka ada masa untuk bersama. Disebabkan itu juga, kebelakangan ini orang sering terserempak dengan mereka bersarapan sebelum pergi menjalani latihan atau paling tidak meluangkan masa pada waktu makan tengah hari. “Ibarat zaman bercinta. Tapi pada saya dan Nape, sesibuk mana pun kami akan cuba curi masa untuk menikmati masa berkualiti buat kami berdua,” katanya.

Haiza tidak menafikan sebelum ini suami agak keberatan mengikutinya menghadiri majlis tertentu atau mengadakan persembahan kerana menghormati kerjaya seni isterinya. Padanya, biarlah Haiza saja yang bergelar artis dan tampil mempromosi diri kepada media. Apatah lagi sebagai artis, perkara itu sebahagian dari tugas dan itu cukup difahami Nape.

Bagaimanapun kata Haiza, selepas hampir lima tahun berumahtangga suami sudah memahami kerjayanya. Waktu sama, sedikit demi sedikit Nape mula selesa dengan orang kelilingnya.
“Sebelum ini bukan Nape sombong tetapi dia tidak suka mencampuri urusan saya dan tidak suka mendedahkan diri kepada umum. Begitupun selepas mengenali dunia seni dan mula berkawan dengan rakan-rakan saya, dia sudah semakin selesa,” katanya.

Mengenai kerjaya seni, Haiza kini muncul dengan single terbaru, Semalam menampilkan genre berbeza berbanding dangdut yang dipelopori sebelum ini. Menampilkan konsep pop dan bosaa, penyanyi itu menafikan ia konsep baru dan asing bagi dirinya.

“Dalam arus perdana, orang mungkin tidak pernah dengar saya mendendangkan lagu berentak sedemikian tetapi sebenarnya kalau ada persembahan, saya selalu menyanyikannya. Pertama kali mendengarnya, ada yang berasa pelik dan menganggap saya terus mengubah konsep kepada pop komersial lebih ringan.

“Pada saya, Semalam berupa perubahan untuk mewarnakan dunia muzik sedia ada. Saya cuba menghasilkan sesuatu yang mengikut pasaran semasa. Saya sedar, inilah muzik yang dimahukan pasaran sekarang selepas membuat penilaian terutama membabitkan lagu-lagu yang sering diputarkan di radio,” katanya.

Jelas Haiza, ini tidak bermakna dia melupakan terus muzik dangdut dan masih lagi mendendangkannya atas permintaan terutama apabila menjayakan persembahan pentas.

“Jika saya masih teruskan kerjaya nyanyian dengan muzik dangdut, bimbang ia tidak dapat dipasarkan memandangkan stesen radio berpengaruh menolak muzik sedemikian secara total. Pada saya, jika kita tidak dapat tarik mereka untuk bersama kita, apa kata kita sertai mereka dan untuk itu sudah tentu sedikit perubahan perlu dilakukan. Begitupun, saya tidak melakukannya secara drastik,” katanya.

Haiza sedar banyak maklum balas diterima apabila menampilkan konsep lagu berbeza terutama di laman sosial. Baginya itu satu maklum balas positif kerana peminat masih lagi memberi perhatian kepadanya. Cuma untuk memastikan kerjaya seninya terus berkembang, dia harus melakukan sesuatu memandangkan kebanyakan stesen radio lebih gemar memutarkan lagu dangdut lama dan bukan yang baru.

“Saya ingat kata-kata pencipta lagu Semalam, Nawfas. Katanya, memang susah untuk saya tinggalkan konsep muzik yang sudah menjadi akar umbi tetapi dalam waktu sama sebagai penyanyi, saya harus belajar untuk buang ego bagi memastikan saya terus berada dalam industri. Perubahan konsep sudah saya lakukan menerusi single sebelum ini, Marilah Padaku dihasilkan sepenuhnya Audi Mok dan Omar K,” katanya.

No comments:

Post a Comment