Thursday, 26 January 2012
Cardiff City kembali jejak Wembley
LONDON - Cardiff City mengesahkan slot final Piala Liga selepas membenam Crystal Palace 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti awal pagi semalam.
Terdahulu, kedua-dua pasukan terikat dengan agregat 1-1. Pada aksi separuh akhir pertama di Selhurst Park, 10 Januari lalu, Palace menang 1-0 hasil jaringan Anthony Gardner.
Bagaimanapun, Palace gagal menggunakan kelebihan tersebut apabila Gardner menjaringkan gol sendiri pada minit ke-7 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium The Cardiff City semalam.
Selepas jaringan itu, kedua-dua pasukan gagal menambah gol sehingga tamat masa tambahan, sekali gus menyaksikan pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.
Penjaga gol Cardiff, Tim Heaton menjadi wira apabila berjaya menggagalkan sepakan penalti Jermaine Easter dan Sean Scannell, seterusnya memastikan pasukannya melangkah ke Wembley sejak tewas kepada Portsmouth pada final Piala FA 2008.
"Ia satu malam yang hebat untuk Cardiff City," kata Heaton.
"Sebelum ini, saya sekadar menjadi penonton, namun apabila saya terlibat dengan pasukan dan memainkan peranan untuk beraksi di Wembley nanti, satu perasaan yang sukar untuk digambarkan."
Selepas berjaya menjadikan kedudukan agregat 1-1 hasil jaringan sendiri Gardner, Cardiff hampir memperoleh gol kemenangan menerusi Kenny Miller, namun percubaannya sekadar terkena palang Palace.
Palace pula ditimpa malang apabila kapten, Patrick McCarthy diarah keluar padang selepas mengutip kad kuning kedua ketika perlawanan berbaki 13 minit.
Tanpa khidmat McCarthy, Palace terpaksa menggunakan corak bertahan apabila Cardiff dilihat ghairah memburu jaringan kemenangan.
"Kami memiliki pengalaman beraksi pada peringkat ini (sepakan penalti) dan pemain yang mengambil sepakan itu mempunyai kekuatan mental.
"Tom Heaton kembali bangkit memberikan persembahan yang terbaik selepas gagal berbuat demikian pada perlawanan pertama," kata pengurus Cardiff, Malky Mackay.
Pada aksi final, Cardiff yang dimiliki ahli perniagaan dari Malaysia, Datuk Chan Tien Ghee akan menentang pemenang antara Liverpool dan Manchester City. - AFP
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment