Friday, 2 March 2012
Ritma muzikal ASEAN
SEPULUH buah negara ASEAN iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Laos, Myanmar, Kemboja, Filipina, Thailand dan Vietnam disatukan untuk sebuah persembahan yang diberi judul ASEAN Musical Extravaganza.
Sebagaimana gah namanya itu, keunikan dan kehebatan elemen budaya yang disuntik daripada setiap wakil negara yang berkampung di Istana Budaya sempena persidangan Menteri-Menteri Penerangan ASEAN (AMRI) ke-11 memang di luar jangkaan.
Ia sekali gus mengesahkan persembahan yang diinspirasikan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim itu bertepatan dengan usaha meraikan keunikan gabungan seni suara, tarian dan muzik ASEAN di atas satu pentas.
Umpama pakej melancong yang mudah, jimat dan menyeluruh, penonton dapat menyaksikan sendiri keunikan budaya setiap negara ASEAN yang membuat persembahan bermula 29 Februari lalu hingga malam semalam.
Menurut Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani, ASEAN Musical Extravaganza berjaya mencapai matlamatnya.
“Penonton boleh menyaksikan sendiri kehebatan budaya yang ditampilkan yang mungkin sukar diperoleh dalam satu-satu masa serentak,” katanya ketika ditemui selepas tamat acara, kelmarin.
Balai rong seri
Membuka panggung dengan set pentas ibarat balai rong seri sebuah istana lambang kemegahan Malaysia, tarian pembuka oleh semua wakil delegasi dipersembahkan.
Kumpulan kesenian dari Brunei, Senandung Brunei memulakan acara dengan menggabungkan alat muzik hadrah dan buluh membentuk ritma moden yang menyegarkan, yang turut diiringi tarian empat penari lelaki.
Persembahan King Music Band dari Kemboja pula menyampaikan mesej melalui lagu seperti Ramvong Angkor dan Phnom Penh, yang masing-masing menceritakan keunikan Angkor Wat dan bandar Phnom Penh yang dahulunya pernah dijulang sebagai Pearl Of Asia.
Begitu juga persembahan delegasi Vietnam berjudul Vao Chua yang ditampilkan oleh Vietnam Social Academy. Lagu mengenai kisah cinta seorang gadis itu telah diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai sebuah lagu spiritual yang kaya elemen budaya.
Persembahan yang diberi nama U Shwe Yoe, Daw Moe dan tarian tradisional Kayin Doan dari Myanmar pula menceritakan adat persembahan bagi meraikan festival di sana.
Cendawan hitam
Sementara itu, cara hidup masyarakat di Thailand yang mementingkan penanaman padi ditampilkan oleh The Royal Thai Group. Ia merangkumkan persembahan tarian Hemaraj dan Worachet di samping memainkan lagu yang dicipta sendiri oleh Raja Bhumibol Adulyajed berjudul Saifon.
Singapura pula menampilkan Ode To Joy menerusi tiga segmen persembahan iaitu joget, fast forward (lagu berbahasa Cina dimainkan dengan instrumen India) dan Shanti (menonjolkan keunikan alat muzik thilang).
Diwa De Leon pula mengangkat seni hegalog iaitu gitar bertali dua yang popular di Filipina menerusi dua buah lagu, Moonrise dan Stormy Night.
Turut mencuri tumpuan, persembahan tarian Sabalah oleh Krida Budaya dari Indonesia yang melambangkan tumbuhan cendawan hitam yang hidup subur di bahagian barat Sumatera.
Persembahan daripada tuan rumah, Malaysia yang diwakili Suki, Jamal Abdillah dan Muthukumaran masing-masing menerusi lagu Cai Zhuang, Ravanan Veera dan Samrah Mentari pula jelas mendapat sorakan paling gemuruh.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment