Bagaimanapun, pada tahun ini ia sedikit berbeza apabila aktres berasal dari Kedah itu bercuti selama dua bulan, sebulan sebelum Ramadan dan sebulan lagi sepanjang Ramadan.
Kata Ayu yang baru dilantik sebagai duta produk Sumber Ayu bersama suaminya, dia memperuntukkan cuti selama dua bulan untuk menghabiskan masa bersama suaminya memandangkan sepanjang tahun dia sibuk di lokasi penggambaran dan suaminya pula sibuk di padang bola.
"Saya memang bercuti sepanjang Ramadan sejak berkahwin kerana selalunya saya sibuk dengan kerja dan tidak ada masa untuk teman suami yang juga sangat sibuk.
"Jadi, bulan Ramadan ini sahaja masa untuk saya duduk di rumah, masak dan tunggu suami balik rumah. Zaquan jenis yang tidak suka makan di luar dan lebih suka saya masak, jadi saya jadi suri rumah sepenuhnya selama sebulan sehingga Aidilfitri," ceritanya yang ditemui pada sesi fotografi produk Sumber Ayu bersama suaminya baru-baru ini.
Tutur Ayu, tidak sukar untuk menjaga suaminya terutama soal makan kerana Zaquan bukan jenis lelaki yang cerewet.
"Zaquan makan apa sahaja tetapi mesti ada ayam. Kalau tidak, maknanya tiada lauk baginya, jadi setiap hari saya mesti masak lauk berasaskan ayam," katanya sambil menjeling manja terhadap Zaquan.
Jika Ayu bercuti sebulan, lain pula halnya dengan Zaquan yang menjalani latihan bola sepak seperti biasa. Kata Zaquan yang kini mengganggotai pasukan bola sepak Angkatan Tentera Malaysia bersama kembarnya Aidil Zafuan, sepanjang bulan Ramadan kali ini dia menjalani latihan pada sebelah malam sahaja.
"Sepanjang Ramadan memang saya berehat daripada sebarang perlawanan, tetapi latihan tetap diteruskan pada sebelah malam sebagai persediaan Piala Malaysia yang akan bermula pada raya ketiga," jelasnya.
Umrah bersama suami
Ayu dan Zaquan yang baru sahaja pulang daripada menunaikan umrah secara bersama buat kali kedua pada 4 Ogos lalu cukup seronok apabila dapat berpuasa di Mekah.
Kata Ayu, meskipun ini merupakan umrah kali ketiganya dan yang kedua bersama suami, perasaannya hiba dan terharu setiap kali menjejakkan kaki di tanah suci kota Mekah.
"Alhamdulillah, saya pergi menunaikan umrah selama 13 hari bersama suami, kakak Zaquan dan suaminya, semuanya berjalan lancar dan saya mendoakan semua yang terbaik untuk kami sekeluarga.
"Suasana berpuasa di sana memang berbeza, apabila pulang ke Malaysia terasa rindu untuk ke sana semula. Insya-Allah jika diizinkan Allah, saya ingin ke Mekah setiap kali tibanya bulan Ramadan," ujar Ayu.
Tambah Ayu yang pernah mengalami keguguran pada Oktober lalu ketika kehamilan mencecah enam minggu, dia juga tidak ketinggalan berdoa untuk dikurniakan cahaya mata.
|
|
"Saya tidak boleh cakap apa yang saya doakan, memang ada tentang cahaya mata, siapa yang tidak mahu anak, saya cukup suka dengan kanak-kanak tetapi sebagai manusia saya hanya mampu berdoa selebihnya terpulang kepada rezeki Allah," luah Ayu sedikit sayu.
Zaquan turut memberitahu, mereka tidak pernah merancang soal penambahan ahli keluarga kerana percaya kepada ketentuan Allah.
Pernah teruja seperti suami yang lain saat diberitakan tentang kehamilan isteri, namun dia pasrah apabila kegembiraan itu tidak berpanjangan.
"Mungkin belum ada rezeki lagi, sekarang ini saya bermanja dengan anak buah yang ramai," luahnya sambil tersenyum.
Debaran raya Ayu
Aidilfitri kali ini sedikit berbeza buat Ayu buat pertama kalinya akan meraikan satu Syawal di rumah keluarga mertuanya di Seremban, Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, Ayu terpaksa mengikut giliran sama seperti pasangan suami isteri yang lain.
"Tahun lepas sudah beraya di Kedah pada raya pertama, jadi tahun ini tiba giliran beraya di rumah keluarga mertua pula.
"Berdebar-debar juga sebab ini kali pertama tetapi dalam masa yang sama seronok dapat melihat perbezaan raya antara keluarga saya dan keluarga mertua. Biasanya kami akan bergotong-royong menyediakan juadah," ujarnya.
Walaupun meraikan Aidilfitri di rumah keluarga mertua, persiapan tetap dilakukan seperti biasa, malah Ayu awal-awal lagi sebelum Ramadan sudah menempah lima pasang baju sedondon bersama suaminya.
Meskipun sibuk, kata Ayu suaminya sempat membantunya membuat kuih raya terutamanya tart nanas dan biskut yang menjadi kegemaran Ayu.
"Memang saya ada tolong dia buat kuih raya tahun lepas dan buktinya kuih itu masih tersimpan di dalam balang untuk dimakan sehingga ke tahun ini. Mungkin kuih tahun ini juga akan dibawa sehingga ke tahun depan sebab yang makan hanya kami berdua sahaja," kata Zaquan sambil disambut hilai tawa Ayu.
Kebiasaannya orang akan bercuti panjang ketika Aidilfitri tetapi Zaquan sudah menjalani latihan bola sepak pada hari raya kedua.
Ini kerana pada hari raya ketiga, Zaquan akan menyertai barisan pemain Angkatan Tentera Malaysia dalam perlawanan menentang Kedah bersempena kejohanan Piala Malaysia.
"Jadi, saya akan terbang ke Kedah pada hari raya ketiga bersama Zaquan, sambil dia bekerja, saya akan beraya sekali dengan keluarga saya di Alor Setar.
"Biasanya keluarga Ayu akan mengadakan rumah terbuka pada hari raya ketiga, rumah saya sendiri belum tentu lagi bergantung kepada jadual kerana selepas cuti raya saya akan kembali sibuk di set penggambaran," luah Ayu yang akan muncul dengan dua buah drama raya iaitu Fajar Syawal dan Raya Yang Paling Raya yang akan bersiaran di RTM.
No comments:
Post a Comment