BERTUGAS pada hari lebaran bukan sahaja ujian yang perlu dilalui
anggota pengaman yang berjuang di perbatasan atau mengawal keselamatan
negara, tapi juga hakikat yang sama turut dilalui sebilangan selebriti.
Selain petugas media, selebriti seperti penyampai radio dan pembaca
berita juga tidak ketinggalan meraikan 1 Syawal sambil bertugas
memberikan maklumat atau menghiburkan pendengar.
Hal yang sama pernah dilalui Fara Fauzana Mohd Fadzil, 32, ketika
menyambut pagi 1 Syawal di konti radio Hot FM sejak di awal usia
penubuhan stesen radio swasta itu lebih kurang enam tahun lalu.
Ujarnya, rutin pagi raya yang sama telah dilaluinya beberapa tahun
sebelum ini selaku perintis perjalanan sulung stesen radio terkenal itu.
Usai tugasan pagi raya pertama di konti, kata Fara dia akan
meluangkan masa bersama keluarga di Shah Alam dan sesi menziarah sanak
saudara pada sebelah petang.
Tidak menjadi hal bagi seorang selebriti yang sangat dikenali kerana
keletah bersahaja dan melucukan, namun bagi Fara selagi statusnya
sebagai wanita bujang dia tidak berkira.
“Saya bukan jenis seorang yang beria-ia sangat setiap kali tibanya Syawal, semua persiapan saya serahkan kepada ibu saya.
“Tahun ini kemungkinan besar saya cuma bercuti selama tiga hari saja
dan itu bukan masalah besar bagi saya sementara saya masih bujang.
Malah, kalau kena kerja pada malam raya pun saya tak kisah,” katanya
yang gemarkan biskut nescafe sempena juadah hari raya selain kuih loyang
yang menjadi kewajipan setiap kali kemunculan Aidilfitri.
Rutin yang bermula seawal pukul 4 pagi setiap hari tidak menghalang
pengacara rancangan Nona itu untuk kekal aktif melakukan tugas seharian
terutamanya bulan Ramadan.
“Pukul 4 pagi hingga 2 petang tugas saya di konti Hot FM, setelah
berbuka bersama keluarga saya akan luangkan masa bersolat tarawih di
masjid dan kadang-kala sahur dengan pendengar,” katanya yang lebih
mempunyai ruang peribadi semenjak kedatangan bulan Ramadan tahun ini.
Memandangkan rancangan Nona khas Ramadan pada tahun ini menyajikan
rakaman rutin harian masyarakat di beberapa buah negara telah siap dan
kini menanti tempoh tayangan, Fara mengakui dia boleh menarik nafas lega
buat seketika.
Fara juga berkongsi cerita dan pengalamannya sepanjang berkunjung ke
beberapa buah negara untuk mengacarakan rancangan itu sempena edisi khas
Ramadan.
“Saya berpeluang menjejakkan kaki ke Kemboja buat pertama kali dan berkesempatan ke lokasi yang diberi jolokan Killing Tree.
“Suasana ketika itu sunyi sepi dan keadaan tiba-tiba menjadi pilu,
ketika itu saya menangis. Itu diri saya sebenarnya saya jika ramai yang
belum tahu,” katanya yang berjiwa sensitif.
Bagaimanapun, Fara menegaskan dia belum bersedia untuk menggalas
peranan mengacarakan rancangan berbentuk penderitaan masyarakat atau
menyedihkan.
“Sejujurnya, jika ada peluang yang datang, saya suka untuk
melakukannya. Tapi buat masa ini, saya belum bersedia. Saya bukan tak
nak buat, tapi saya perlu betul-betul bersedia dan yakin dengan skil
mengacara saya.
“Sepanjang diberi peluang selama lapan bulan menjadi pengacara, saya
masih belum jadi yang terbaik, tapi apa yang boleh saya katakan saya
faham apa yang dikehendaki penonton dan apa yang patut saya berikan,”
ulasnya.
Sementara itu, bertanya kepadanya tentang penghijrahan teman sekonti,
Sharifah Aleya, serapuh hatinya yang sebenarnya senang mengalirkan air
mata, Fara juga menangis ketika pertama kali melihat Aleya mengenakan
hijab pada penghujung bulan Julai lalu.
“Saya menyokong perubahan positif kawan baik saya dan kami umpama
adik-beradik, perubahan itu berkat doa semua orang begitu juga untuk
diri saya sendiri.
“Saya menangis kerana terlalu gembira dan dia sudah mendapat seru
untuk mengenakan hijab seperti yang dituntut syarak,” tambah Fara.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment