Pembikinan klip video yang berlangsung di dua buah kediaman mewah masing-masing bernilai RM20 juta dan RM50 juta bersama pelakon baharu, Siti Aishah Ilias itu diselangi dengan jenaka Sabhi apabila dia diperlukan menangis untuk menghayati lirik lagu berkenaan.
Dia juga berjenaka apabila namanya sukar disebut oleh beberapa wartawan dan kru penggambaran.
“Panggil sahaja saya Sabhi, memang itu nama betul saya, bukan nama glamor atau buatan untuk jadi artis,” jelasnya memberi penerangan.
Sabhi mula dikenali menerusi lagu Nadiku yang pernah menjadi salah sebuah lagu tema drama Tari Tirana menerusi slot Lestari.
Percubaan kedua pula, Sabhi muncul dengan singlenya menerusi lagu Tanpa Mu yang turut dimuatkan sebagai salah satu lagu tema filem Nur Kasih.
Sabhi terus mengukir nama apabila lagu ciptaan Alfred Teo dendangannya, Waktu menjuarai pertandingan juara RTM- AmBank Cipta Lagu. Lagu itu kini menjadi single terbaharunya.
Sayangnya, nama Sabhi masih gagal memikat hati pendengar. Biarpun lagu-lagunya diputarkan di radio, namun tuan punya badan belum begitu dikenali. Sabhi bagaimanapun mengakui dia tidak pernah kesal apabila kurang dikenali peminat seni.
Tambat hati
Ini kerana, berbanding di Malaysia, anak kelahiran Sandakan, Sabah ini lebih popular di Indonesia.
Dia menjadi popular di sana selepas mengeluarkan dua single dalam satu masa iaitu Seperti Dulu Lagi dan Nadiku yang telah banyak dipromosi di negara seberang itu.
“Lagi pun, kedua-dua lagu itu saya nyanyikan bersama penyanyi Indonesia iaitu Helena untuk lagu Tanpamu dan Vienna Fridiana bagi lagu Seperti Dulu Lagi. Mungkin sebab itu saya lebih dikenali di sana,” jelasnya.
Sabhi memberitahu, dia lebih mempromosikan lagu-lagu berkenaan di Indonesia berbanding negara sendiri disebabkan permintaan di sana terlalu tinggi.
“Saya ada banyak jemputan di sana, jadi sukar untuk menolak. Bagi saya peluang itu mungkin datang sekali sahaja dalam hidup sebab itu saya tumpukan promosi lagu di sana sahaja ketika itu,” jelasnya.
Disebabkan itu, melalui lagu Waktu, dia berazam untuk menambat hati peminat di tanah air sendiri.
“Saya akan lebih menonjol selepas ini. Saya juga rasa saya perlu menghadiri lebih banyak majlis dan memenuhi jemputan yang diberi kepada saya,” ujarnya.
Buang sifat pemalu
Penyanyi yang sebenarnya pernah menjadi penari kepada Adam AF ketika program Akademi Fantasia 2, turut mendedahkan bahawa dirinya sebenarnya adalah seorang yang pemalu dan tidak pandai membawa diri.
Disebabkan itu juga, dia kurang menghadiri majlis-majlis bersama wartawan dan tidak menonjolkan diri.
“Sekarang saya sedar bahawa halangan itu yang membuatkan saya kurang dikenali, jadi selepas ini, saya perlu langgar halangan itu untuk lebih maju,” jelasnya yang merupakan anak keenam daripada tujuh beradik.
Bagaimanapun, ia bukan lesen buat Sabhi menayangkan muka dalam semua majlis. Katanya ringkas: “Memang saya mahu lebih dikenali selepas ini, tetapi saya juga tidak mahu orang muak melihat muka saya di mana-mana. Jadi, saya akan menghadiri majlis yang memang perlu saya hadiri.”
Boy
Sebenarnya, sebelum nama Sabhi Saddi dikomesialkan, segelintir peminat mengenalinya dengan gelaran Boy. Nama itu digunakan sewaktu dia bersama kumpulan lamanya, Esdeco.
Ketika itu muzik yang dibawa Sabhi merupakan lagu rancak dan memerlukan dia menari. Bersama Esdeco, dia sempat merakamkan single berjudul Sayang Giler untuk filem Cicak Man 2.
“Berbanding dahulu, sekarang saya mahu memperjuangkan muzik R&B sebab jiwa saya sebenarnya meminati muzik ini. Jadi saya mahu tumpu kepada genre ini agar peminat tidak keliru dengan haluan muzik saya,” jelasnya.
Dia merasakan dirinya lebih serasi dengan irama R&B. Namun, dia tidak akan mengecewakan permintaan peminat yang pernah mengenalinya sebagai Boy satu ketika dulu yang mahu lagu-lagu bercorak tarian.
“Saya kini telah mengumpulkan bahan untuk album penuh nanti, mungkin ada lagu rancak khas untuk peminat yang rindukan Boy,” tambah anak kelahiran Sandakan, Sabah ini.
Stacy
Bagi Sabhi, pendapat sesetengah pihak bahawa penyanyi kelahiran Sabah dan Sarawak tidak mendapat tempat di hati peminat Semenanjung Malaysia tidak dapat diterimanya. Menurutnya, penerimaan itu berbeza mengikut pendengar dan dia tidak melihat itu sebagai sebab dia tidak begitu dikenali walaupun telah mengeluarkan beberapa single hit.
“Saya menolak dakwaan tersebut. Lihat sahaja penyanyi seperti Stacy dan Salma yang mendapat tempat di hati peminat. Bagi saya pendapat penyanyi kelahiran negeri Sabah dan Sarawak kurang diminati dan tidak mendapat tempat itu tidak benar,” ujarnya.
Tambah Sabhi, bagaimana seseorang artis membawa diri itu penting dan penerimaan pendengar mengenai lagu yang dibawa adalah berbeza.
Katanya: “Kalau Stacy, dia banyak dapat tawaran membuat persembahan di Kuala Lumpur dan Sabah. Berbeza dengan saya, saya banyak dapat jemputan di Kuala Lumpur berbanding di sana.”
Berdasarkan itu, dia merasakan tidak wujud masalah diskriminasi terhadap penyanyi kelahiran Sabah atau Sarawak dengan kejayaan dan kemasyhuran yang telah dibawa oleh Stacy.
Putus cinta
Setelah putus cinta hampir setahun lalu dengan penyanyi Indonesia, Vienna Fridiana yang pernah berduet dengannya menerusi lagu Seperti Dulu Lagi, Sabhi kini tidak mahu tergopoh-gapah untuk menemui cinta lagi.
Baginya, buat masa sekarang, dia perlu menumpukan sepenuh perhatian terhadap kerjaya dan ingin menambat hati peminatnya dengan lagu-lagu yang indah.
“Mungkin kami tiada jodoh, lagi pun bercinta jarak jauh ini susah dan banyak halangannya. Lebih baik sekarang, saya mahu tumpu kepada kerjaya dahulu,” jelasnya.
Penyanyi berusia 28 tahun ini meletakkan sasaran dua tahun lagi untuk berumah tangga. Nnamun, jika bertemu jodoh lebih awal juga dia menyerahkan perkara itu kepada takdir.
“Itu hanya sasaran saya, sekarang hendak tumpu kepada karier tetapi jika bertemu jodoh awal, saya terima,” katanya.
Kosmo
No comments:
Post a Comment