GAMBAR fail 1 Februari 2009 menunjukkan Jeneral David
Petraeus bersama isterinya, Holly sebelum menonton perlawanan bola sepak
Amerika di Tampa Florida.
WASHINGTON - Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), David Petraeus
bertindak meletak jawatan secara mengejut kelmarin selepas beliau
mengaku mempunyai hubungan sulit dengan seorang wanita yang sudah
berkahwin.
Petraeus yang merupakan bekas seorang jeneral pernah mengetuai kempen ketenteraan Amerika Syarikat (AS) di Iraq dan Afghanistan.
Menurut beberapa pegawai AS, hubungan sulit tersebut terbongkar
semasa satu siasatan dijalankan oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).
Mereka berkata, Petraeus menjalinkan hubungan sulit bersama penulis
biografi dan pegawai unit simpanan tentera AS, Paula Broadwell.
Wanita itu telah mendirikan rumah tangga dengan seorang pakar
radiologi, Dr. Scott Broadwell dan memiliki dua anak lelaki iaitu Lucien
dan Landon.
Dua pegawai yang terlibat dalam siasatan tersebut memberitahu,
skandal mereka terbongkar apabila pihak FBI memantau e-mel Petraeus
susulan aduan bahawa Broadwell mempunyai akses kepada akaun e-mel
peribadinya.
Peletakan jawatan Petraeus sekali gus mengejutkan unit perisikan
Washington dan komuniti politik ekoran beliau sebelum ini dianggap
sebagai antara jeneral AS yang terbaik.
Petraeus yang mencecah usia 60 tahun pada Rabu lalu memberitahu
pegawai-pegawai CIA dalam satu kenyataan bahawa beliau menemui Presiden
Amerika Syarikat di White House di sini pada Khamis lalu dan meminta
untuk dibenarkan untuk meletakkan jawatan.
Peletakan jawatannya diluluskan oleh Obama kelmarin.
"Petraeus memberitahu stafnya bahawa dia tersilap membuat penilaian dalam hubungannya dengan Broadwell.
"Sebagai seorang suami dan ketua sebuah organisasi seperti sekarang (CIA), sikap sebegini tidak boleh diterima," katanya.
Petraeus berkahwin sejak 38 tahun lalu dengan isterinya, Holly
Petraeus yang dikenali ketika beliau masih seorang kadet tentera di
Akademi Tentera AS di West Point, New York.
Tempat Petraeus kini diambil alih oleh Timbalan Pengarah CIA, Mike Morell sebelum pengganti beliau diumumkan. - Agensi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment