SETELAH berhempas pulas selama tiga bulan, akhirnya kru Dem Lepak Boyz dinobatkan sebagai juara realiti tarian Showdown 2012 dalam satu persaingan sengit yang berlangsung pada Rabu lalu di KL Live, Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, perjalanan Dem Lepak Boyz untuk menakluk pentas Showdown 2012 tidak mudah.
Mereka terpaksa berhadapan dengan dua lagi kru iaitu Project Elementz dan Soul Gang dalam persaingan final.
Pada peringkat awal persaingan berlangsung, kesemua kru harus mempersembahkan dua buah tarian bagi merebut tempat ke persaingan Battle yang hanya membabitkan dua kru untuk dinobatkan sebagai juara.
Beraksi di hadapan dua orang juri profesional iaitu Joe Flizzow dan Mapple Loo, ternyata kru Soul Gang tidak bernasib baik apabila gagal meneruskan persaingan ke peringkat Battle setelah mendapat peratusan undian terendah daripada penonton.
Menampilkan Dem Lepak Boyz dan Project Elementz yang beraksi di peringkat Battle, ternyata kedua-dua kru mendapat sorakan hangat daripada para penonton yang menyaksikan pertandingan tersebut secara langsung.
Bagaimanapun, kemenangan akhirnya berpihak kepada Dem Lepak Boyz apabila muncul sebagai juara Showdown 2012, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM50,000.
“Ternyata usaha keras kami selama ini sememangnya cukup berbaloi dan sejak menyertai pertandingan ini sasaran kami sudah tentu untuk muncul sebagai juara.
“Kami akui perjalanan untuk bergelar juara bukanlah mudah kerana kesemua kru yang bertanding memang sangat hebat. Namun, segala usaha keras yang dilakukan telah membuahkan hasil apabila muncul juara,” ujarnya.
Ketika ditanya apa perancangan yang dilakukan menerusi hadiah wang tunai yang dimenangi, Rizwan memberitahu, sebahagian wang tersebut akan digunakan untuk membuka sebuah studio tarian.
Ujarnya, dengan studio tersebut, mereka akan cuba untuk melatih bakat-bakat baharu dalam bidang tarian serta mahu menarik minat lebih ramai golongan muda untuk menceburi bidang tersebut.
“Tidak dinafikan bahawa terdapat ramai yang berminat dan berkebolehan dalam bidang ini, cuma bakat yang ada perlu lebih lagi digilap. Selain mengajar, kami juga akan berkongsi pengalaman tentang pembabitan kami dalam dunia tarian,” ujarnya.
Sementara itu, ahli kru Project Elementz yang sekadar muncul naib juara meluahkan rasa puas hati dengan keputusan tersebut yang dibuat menerusi undian 100 peratus daripada penonton.
Chiam Elaine yang juga salah seorang ahli kru Project Elementz menyatakan terlalu banyak cabaran yang terpaksa dilalui mereka terutamanya kecederaan yang berlaku terhadap beberapa ahli kru mereka.
Timba pengalaman
Selain memenangi hadiah wang tunai RM50,000, ahli kru Dem Lepak Boyz turut berpeluang untuk menjejakkan kaki ke sebuah bengkel tarian di The Urban Dance Camp yang terletak di Lorrach, Jerman.
Bakal bertolak ke Jerman pada 27 Julai sehingga 4 Ogos ini, mereka akan berada selama seminggu di sana untuk menimba pengalaman yang paling berharga serta mendapat pendidikan yang terbaik dalam tarian.
“Apa yang kami tahu, The Urban Dance Camp merupakan sebuah bengkel tarian yang sangat terkenal pada peringkat antarabangsa dan bersyukur kerana dapat menimba pengalaman di sana.
“Dengan segala yang dipelajari semasa bengkel itu nanti, kami akan kongsi segala pengalaman yang diperoleh serta dapat memperbaiki lagi persembahan tarian kami pada masa akan datang,” ujar Rizwan.
No comments:
Post a Comment