PUTRAJAYA - Pejabat Peguam Negara hari ini mengarahkan supaya polis
mengumpul semula bukti berkaitan kes seorang remaja berumur 14 tahun
yang dikatakan berkahwin selepas diperkosa, dalam tempoh seminggu.
"Bagaimanapun jika bukti yang dikumpulkan tidak mencukupi, kes ini
tidak akan dibuka," kata Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dalam
satu persidangan media di pejabatnya di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya akan menggunakan bukti yang diperoleh semasa
kertas siasatan tersebut dibuka pertama kali tahun lepas, selain akan
memanggil semula individu berkaitan untuk merekod percakapan.
Katanya keputusan dibuat ekoran gesaan orang awam yang prihatin dengan kes itu.
Abdul Gani berkata antara individu yang akan dipanggil ialah mangsa,
ayah mangsa, ibu saudara mangsa, doktor yang memeriksa mangsa serta dua
suspek termasuk bekas suami mangsa.
Kes berkenaan mula mendapat perhatian selepas penceraian pasangan muda
itu pada November mendapat liputan meluas media, dan bapa remaja
perempuan itu membuat kenyataan media bahawa anaknya menjadi mangsa
rogol sebelum berkahwin.
Remaja itu dinikahkan pada bulan November tahun lepas setelah mendapat
perintah kebenaran untuk bernikah di bawah umur daripada Mahkamah Rendah
Syariah Kulim.
Beberapa hari selepas penceraian, bapa gadis itu dilaporkan berkata
bekas suami remaja itu dan dua kawan lelakinya telah memperkosa anaknya
empat bulan sebelum pernikahan, dan kes itu pernah dilaporkan kepada
polis pada 15 Julai 2012.
Menurutnya laporan itu ditarik balik selepas dia didatangi bapa lelaki
berkenaan yang merayu supaya laporan ditarik balik. - Bernama
Tuesday, 3 December 2013
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment