JELITA...Shailene pertama kali tercalon dalam anugerah berprestij.
PESONA aktres remaja, Shailene Woodley di pentas lakonan mungkin masih belum menyerlah sepenuhnya. Dia lebih dikenali menerusi watak pembantu, tetapi pada usia 20 tahun, dia mampu berbangga dengan pencapaian seni yang diraih.
Terbabit dalam kancah lakonan sejak 1999, pencapaian terbaik Shailene tiba apabila namanya dicalonkan pada acara anugerah berprestij, Golden Globe Awards yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Bagi artis Hollywood, pencalonan seperti ini sudah menjadi kebanggaan pada profil diri tanpa mengira soal menang atau kalah.
Merujuk pada pencalonan ini, Shailene layak menerusi filem The Descendants arahan Alexander Payne. Menariknya, dalam filem genre komedi drama ini dia bergandingan bersama aktor George Clooney yang turut dijayakan bersama Judy Greer dan Beau Bridges.
Plot filem ini mengisahkan watak utama, Matt King dibintangi Clooney, peguam dari Honolulu yang mewarisi harta milik keluarganya termasuk tanah seluas 25,000 ekar di Pulau Kaua’i. Konflik timbul apabila hak milik harta itu akan tamat dalam tempoh tujuh tahun dan perlu menjual tanah itu untuk tujuan pembangunan.
Shailene beraksi sebagai Alex, anak King berusia 17 tahun, hasil perkongsian hidup bersama Elizabeth. Mencetuskan konflik seterusnya, hubungan ayah dengan anak perempuannya itu digambarkan tidak rapat termasuk juga adiknya, Scottie, 10.
Satu kemalangan berlaku membabitkan bot yang dinaiki mereka ketika berada berdekatan Pantai Waikiki. Kejadian itu mengakibatkan Elizabeth koma di hospital. Perubahan hidup King bermula apabila dia perlu menggalas tanggungjawab sepenuhnya menjaga kedua-dua anaknya itu serta berdepan sikap kurang ajar Scottie. Alex sendiri ada masalah ketagihan alkohol.
Filem adaptasi novel karya Kaui Hart Hemmings ini ditayangkan di Amerika Syarikat (AS) pada 18 November lalu berjaya mencatat kutipan ‘box-office’ sebanyak AS$43.9 juta.
Kekuatan lakonan Shailene menjiwai watak Alex memberi rezeki kepadanya tercalon kategori Aktres Pembantu Filem. Golden Globe Awards ke-69 akan diadakan di Beverly Hilton Hotel, California, pada 15 Januari ini.
Sebagai pelakon pembantu yang banyak mencuba nasib dalam pelbagai drama, sudah tentu pencapaian Shailene bersama filem sulungnya itu menjanjikan sesuatu kelak.
Mengimbas kembali perjalanan seninya, Shailene berasal dari Simi Valley, California mencuri perhatian penonton ketika membintangi drama popular, Without a Trace dan The District pada 2002.
Rezekinya terus mencurah apabila diberi peluang menimba pengalaman bersama drama Everbody Love Raymond dan A Place Called Home pada 2004 diikuti Crossing Jordan (2001-2004), Jack & Bobby (2001-2005), My Name Is Earl (2006), Close To Home, CSI: New York, Moola, Final Approach dan Cold Case (2007).
Perkembangan baru, Shailene juga masih terbabit dengan penggambaran drama bersiri, The Secret Life of the American Teenager sejak 2008. Penampilan membawa watak Amy Juergens, gadis malang berusia 15 tahun hamil, meninggalkan impak kuat.
Shailene berkata, dia terlalu teruja dan gembira dengan pencalonan ini sambil menyatakan penghargaan kepada penganjur, Hollywood Foreign Press Association atas penghargaan itu.
“Menyiapkan filem The Descendants umpama keajaiban berlaku dalam hidup saya. Begitu juga apabila tercalon dalam Golden Globe Awards. Ia pencapaian sangat bermakna sepanjang 2011 dan saya dengan rendah hati menerima pencalonan ini,” katanya.
Bercerita pengalaman sepanjang berlakon filem drama berat itu, Shailene akui dia banyak berkongsi pandangan dan pengalaman bersama Clooney. Malah Shailene suka cara Clooney berdebat dengannya ketika membincang sesuatu perkara demi kebaikan.
“Dia ada cara tersendiri yang membuatkan saya selesa ketika berlakon bersamanya. Pengalaman berlakon bersamanya suatu yang menyeronokkan kerana banyak perkara saya dapat belajar daripadanya.
“Namun saya perlu mempertingkat tahap lakonan saya untuk disesuaikan dalam filem itu. Secara keseluruhan, pengalaman yang saya lalui dalam filem ini suatu yang boleh disifatkan hebat,
“Di lokasi, saya asyik memerhati serta banyak berlakon bersama Clooney. Ketika di Hawaii, saya juga pernah terfikir juga apakah saya cukup layak berada di situ?” katanya.
Clooney, 50, turut menyatakan dia percaya kepada bakat Shailene untuk digilap menjadi pelakon handalan. Sambil memberi kata semangat pada gadis remaja ini, aktor ini positif Shailene seorang pelakon berbakat besar untuk diketengahkan.
“Saya rasakan dia seperti aktres Debra Winger pada zaman muda. Dia seorang gadis yang sangat istimewa dan saya percaya dia akan mencapai perjalanan karier yang cemerlang tidak lama lagi,” katanya.
Mengenai lakonan Shailene untuk musim baru keempat, drama The Secret Life of the American Teenager akan ke udara pada 26 Mac nanti di saluran ABC Family.
No comments:
Post a Comment