nuffnang

Translate


get this

Saturday 7 January 2012

Tiga Suara - Nasib Beribu Sesalan di tangan juri

pix_middle
TIGA SUARA...mara sebagai finalis AJL26.
TIGA SUARA...mara sebagai finalis AJL26.

KUASA wanita. Awalnya kemunculan gabungan hebat Ning Baizura, Jaclyn Victor dan Shila Amzah menerusi album Tiga Suara seakan-akan tidak dipedulikan peminat seni tanah air. Walaupun album ini menjanjikan kelainan, fenomena ini dianggap biasa kerana sesuatu konsep baru biasanya lambat diterima dengan drastik oleh peminat.
Akan tetapi tuah menyebelahi mereka apabila lagu Beribu Sesalan dipilih menjadi lagu tema drama Anissa yang disiarkan menerusi slot Samarinda, TV3.
Secara mendadak populariti lagu ini meningkat naik membuatkan tiga wanita ini menjadi sebutan dan kegilaan peminat. Daripada golongan kanak-kanak membawa kepada dewasa, masing-masing menyukai lagu berkonsep balada ciptaan Kevin Chin dan lirik Tinta ini.

Rentetan itu, kejayaan demi kejayaan mula dikecapi trio unik ini. Bermula dengan kemenangan dalam kategori Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Anugerah Industri Muzik 18 (AIM 18), Beribu Sesalan terus unggul apabila berjaya melangkah masuk sebagai finalis Anugerah Juara Lagu Ke-26 yang akan berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil pada 29 Januari ini.


Secara kebetulan pada peringkat Separuh Akhir Pertama Muzik-Muzik 26 lalu, mereka muncul sebagai peserta terakhir dan mendapat tepukan paling bergemuruh daripada penonton di studio Sri Pentas, Shah Alam.

Untuk final ini kelak, menerusi cabutan undi yang dibuat baru-baru ini, Tiga Suara sekali lagi muncul sebagai peserta penutup dan tentunya Stadium Putra akan bergemuruh dengan sorakan penonton.

Perhatian dan harapan besar peminat untuk menyaksikan Tiga Suara muncul juara sememangnya menjadi tekanan kepada 3 Suara. Bagaimanapun kata Ning, AJL26 akan dilaluinya dengan tenang. Pada masa sama, dia teruja kerana sudah lama tidak bergelar finalis AJL.

“Saya rasa bertuah kerana dapat bekerja dengan komposer baru yang menghasilkan lagu menarik ini. Sudah lama saya tidak bertanding selepas pernah mara dengan Lagu Awan Yang Terpilu pada AJL20. Pasti selepas ini saya akan menyanyikan lagu konsep balada kerana remaja sekarang sukakan lagu begini. Insya-Allah kami akan sambung hasilkan album konsep Tiga Suara dengan lagu lain pula.

“Alhamdulillah lagu ini hebat apabila jualan untuk nada dering berada di tangga kedua selepas lagu Sedetik Lebih (Anuar Zain). Selepas ini Tiga Suara akan tampil dengan single ketiga berjudul Semua Isi Hatimu. Pada saya lagu balada memang irama yang biasa di telinga peminat, tapi saya takkan tinggalkan lagu rancak kerana dengan lagu ini saya juga dapat peminat baru,” katanya.

Jelas Ning, ketika rakaman di studio, mereka masing-masing menyanyi keseluruhan lagu ini seperti diminta komposer. Selepas proses adunan suara, barulah mereka tahu bahagian yang dipecahkan oleh komposer. Bagi mereka agihan vokal untuk lagu itu adalah yang terbaik dan tidak seharusnya wujud api cemburu.

“Alhamdulillah pilihan komposer ternyata tepat. Memang rezeki Shila kerana menerusi album ini dia dikenali. Saya dan Jac pula pernah dikatakan bersaing siapa hebat, tapi menerusi kerjasama dalam Tiga Suara, tanggapan ini ternyata tidak betul. Kami boleh menyanyi lagu ini secara solo dan saya pernah nyanyi pada konsert saya sendiri, baru-baru ini.

“Namun, saya sedar peminat nak tengok kami muncul menyanyikan lagu Beribu Sesalan bersama tapi agak sukar dilakukan. Justeru kami mungkin menganjurkan satu persembahan sempena Minggu Setiausaha pada April nanti. Dalam pada itu saya juga akan meneruskan siri Konsert Ning di seluruh negara mungkin selepas Tahun Baru Cina.

“Ia akan diadakan di Melaka, Pulau Pinang, Kuantan serta Sabah dan Sarawak. Di sana (Sabah & Sarawak) konsert ini akan berlangsung di beberapa lokasi. Konsert ini akan dikenakan bayaran berpatutan. Insya-Allah akan ada penaja menaja konsert ini selepas membaca kesungguhan saya menerusi liputan pihak media pada konsert lalu,” katanya.

Tanggungjawab Jac pula dikatakan agak besar kerana selain Beribu Sesalan, dia juga akan menyampaikan lagu Sedetik Lebih menggantikan tempat Anuar Zain. Namun, baginya tumpuan terhadap kedua-dua lagu ini tetap sama.

“Tidak dinafikan perasaan saya sangat gementar biarpun sudah berpengalaman bertanding. Saya lega kerana giliran persembahan untuk Sedetik Lebih adalah kedua manakala Beribu Sesalan pula terakhir. Ada banyak masa untuk saya tarik nafas sebelum naik pentas semula. Fokus saya untuk kedua-dua lagu ini tetap sama tanpa ada lebih atau kurang.

“Saya akan pastikan buat yang terbaik untuk kedua-duanya. Untuk final, konsep Tiga Suara akan dikekalkan kerana ia sesuatu yang lain dan diterima peminat. Saya tidak pernah fikirkan persaingan sesama sendiri kerana masing-masing ada keistimewaan. Ning punya suara klasikal pop. Begitu juga dengan Shila yang ada cara sendiri. Apabila ada warna dalam vokal, barulah lagu ini jadi menarik,” katanya.

Sebelum ini, Shila Amzah hanya melihat dari jauh finalis yang bertanding dalam AJL. Siapa sangka menerusi lagu Beribu Sesalan, dia berpeluang beraksi di pentas yang gah serta menjadi tumpuan ramai ini. Gadis berusia 22 tahun ini bersyukur kerana mimpinya menjadi kenyataan.

“Saya selalu ikuti perkembangan AJL sejak ayah jadi pengacara sehinggalah saya meningkat dewasa. Tidak dinafikan perasaan teringin untuk beraksi di AJL memang ada. Saya rasa sangat teruja untuk bertanding di pentas final pada 29 Januari ini tapi saya tak mahu meninggi diri kerana sedar cabaran finalis lain juga hebat-hebat.

“Walaupun gementar, timbul perasaan seronok kerana saya akan bersama Kak Ning dan Kak Jac setiap kali di atas pentas. Terbabit dalam Tiga Suara adalah satu pengalaman indah. Sebelum ini saya tidak begitu rapat dengan mereka, tapi sekarang kami makin akrab dan banyak benda baru saya belajar daripada mereka,” katanya.

Aktiviti seni Shila yang muncul dengan single berjudul Patah Seribu hujung tahun lalu bertambah rancak apabila single keduanya bakal dikeluarkan pada Mac ini. Peminat kini boleh menyaksikan muzik video Patah Seribu menerusi Internet. Dalam masa sama, telemovie berjudul Patah Seribu turut akan ditayangkan menerusi Astro mulai Februari ini.

No comments:

Post a Comment