nuffnang

Translate


get this

Sunday 4 March 2012

Jadilah Internet glamor

Najwa Latif
Najwa Latif

IBARAT mimpi yang tak sudah, Najwa Latif semakin menempa nama di persada muzik tanah air. Di kala usia menjengah 17 tahun pada 23 Mei depan, pemilik nama sebenar, Imratul Najwa Abdul Latif ini semakin dewasa, lantas menjadikan dia antara ikon remaja yang cuba mencari ruang dan peluang untuk berjaya dalam bidang pilihan.
Siapa sangka, tindakan memuat naik rakaman video ke laman Youtube untuk tatapan ayah dan kakak yang berada jauh daripada keluarga, membawa anjakan dunia baru kepada Najwa.

Menceritakan detik itu, Najwa berkata, pada mulanya dia cuma muat naik video untuk tatapan keluarga kerana ayahnya berpindah ke Kota Tinggi, Johor atas tugasan mengajar manakala kakaknya pula belajar di Shah Alam, Selangor.

“Pada masa sama, saya baru berjinak-jinak memetik gitar. Minat saya dalam bidang muzik bermula sejak usia 5 tahun tetapi waktu itu ayah dan emak tidak galakkan saya main muzik kerana tahu saya akan berhenti separuh jalan.


“Terus terang, saya malas nak berlatih walaupun minat. Selepas berusia 14 tahun, mereka mula memberi galakan untuk saya belajar bermain alat muzik. Saya pilih gitar sebab waktu kecil, saya suka tengok persembahan kumpulan M2M,” katanya.

Selepas menunjukkan minat yang makin mendalam, Najwa mula mendapat sokongan keluarga. Insan-insan inilah yang memberi cadangan kepadanya untuk memuat naik video ke laman YouTube supaya dia dapat terus berlatih dari hari ke hari.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan (SMKP) Temenggong Ibrahim, Batu Pahat ini tanpa berselindung akui, kehadirannya ke dalam industri mendapat kritikan segelintir pihak.

Suara-suara sumbang itu beranggapan Najwa tidak layak diangkat kerana dia hanya ‘budak mentah’ yang kosong pengalaman. Malah ada juga yang sengaja menggoncang minat penyanyi remaja itu dengan tohmahan dan cerita kurang enak mengenai keluarganya.

Paling mendapat kritikan, tatkala lagu Cinta Muka Buku yang mengangkat nama Najwa Latif dipilih ke Anugerah Juara Lagu ke-26 (AJL26) bulan lalu. Ramai yang tidak berpuas hati dan antara sebab kenapa mereka bersuara sumbang kerana lagu itu terlalu ringkas dan tidak layak dipertandingkan.

Walaupun ada yang mempertikai bakat mencipta lagu dan menyanyi, Najwa tetap tenang dan masih mampu tersenyum. Baginya, itu semua ujian yang perlu ditempuh tatkala memilih dunia hiburan sebagai tapak meluaskan minat dan bakat.

“Emak dan kakak selalu ingatkan saya, dalam dunia ini ada dua jenis manusia yang suka dan tidak suka dan saya kena terima semua itu. Pada saya, semua kritikan yang dilemparkan saya terima dengan hati terbuka. Kritikan ini sebenarnya membantu saya untuk meningkatkan diri supaya menjadi insan lebih baik di masa depan,” katanya tenang.


DiGiLive Sekolahku Berbakat

MEMEGANG dua ‘title’ yakni pelajar dan penyanyi, membuatkan jadual seharian Najwa sangat sibuk. Malah sedar atau tidak, Najwa sebenarnya menjadi inspirasi kepada ramai bakat baru di luar sana terutamanya remaja untuk mengejar cita-cita menjadi penyanyi.

Apatah lagi sejak fenomena artis YouTube seperti Yuna, Zee Avee, Ana Raffali dan terbaru Najwa Latif diangkat ke peringkat arus perdana, ramai anak muda mula menggunakan ruang sama untuk dikenali.

Kata Najwa, dia akan cuba menjadi contoh terbaik kepada mereka yang menjadikannya inspirasi mereka tetapi secara jujurnya, Najwa rasa sebaliknya.
Merekalah yang menjadi sumber inspirasi kepadanya untuk berada seperti sekarang.

“Sebenarnya, pertandingan DiGiLive Sekolahku Berbakat (DLSB) yang dianjurkan DiGi banyak memberi peluang dan ruang kepada saya malah anak-anak muda lain menonjolkan bakat mereka.

“DLSB sebenarnya satu platform terbaik buat mereka yang malu untuk tunjukkan bakat. Saya tahu ramai teman sebaya di luar sana mahu tapi malu. Ambil contoh saya, selalunya bila saya dapat inspirasi, saya akan menggunakan telefon bimbit untuk menggubah melodi.

“Saya juga akan membuat rakaman nya­nyian dan petikan gitar agar dapat menyempurnakan melodi yang digubah. Akhir sekali, apabila berpuas hati dengan rakaman itu, saya akan muat-naik rakaman itu ke laman Youtube,” katanya.

Najwa juga gemar menonton klip video melalui gajet tablet miliknya sebagai salah satu cara untuk meningkatkan kemahiran nyanyian dan persembahan.

Dalam nada gembira, Najwa mengajak rakan sebaya mengambil bahagian dalam pertandingan DLSB sama ada secara berkumpulan atau perseorangan. DLSB terdiri daripada empat kategori iaitu vokal, band, tarian dan lawak jenaka. Lantaran itu, Najwa berharap rakan-rakan sebaya dapat menggunakan platform diberi sehabis baik mengetengahkan bakat mereka.

“Inilah landasan terbaik untuk menjadi internet glamor,” katanya.

Rancak berbual mengenai pertandingan anjuran DiGi itu, Selebriti sempat melontar soalan berkaitan persediaannya menempuh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Najwa akui, belum membuat persiapan untuk SPM tetapi banyak menghabiskan masa dengan tuisyen setiap hari. Katanya, setakat itu sahaja persediaannya.

“Saya sedar saya bukannya pelajar pintar tapi saya sudah berjanji dengan keluarga untuk membuat yang terbaik dan membang­gakan mereka baik daripada segi pelajaran mahupun nyanyian.

“Pada masa sama, saya juga sibuk mempromosi single terbaru berjudul Kosong dan mini album yang dijangka keluar penghujung bulan ini,” kata Najwa ringkas.

Selain lagu Cinta Muka Buku yang mengangkat namanya, Carta Hati yang baru saja diputar di radio mula menambat hati pendengar muda dan mendaki carta muzik tempatan. Walaupun memiliki melodi dan lirik yang ringkas seperti Cinta Muka Buku, tidak dapat disangkal ia sebenarnya melekat di hati peminat terutama golongan remaja.

Mungkin atas dasar itu, lagu-lagu kategori santai yang dilantunkan gadis kelahiran Batu Pahat ini mudah diterima remaja sekolah. Percaya atau tidak, jika ditanya kepada sebahagian besar pelajar sekolah antara lagu yang menjadi pilihan mereka ialah Cinta Muka Buka dan Carta Hati.

Bunyinya agak menghairankan tetapi itulah fenomena yang sedang melanda di kalangan remaja belasan tahun yang sangat sinonim dengan kisah ‘cinta monyet’ dan perkenalan di laman sosial.

Ditanya mengenai impiannya selepas ini, dengan penuh yakin, Najwa berharap untuk menyambung pelajaran dalam bidang muzik serta mengambil ujian TESL (Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua) selepas SPM.

No comments:

Post a Comment