nuffnang

Translate


get this

Sunday 4 March 2012

Seronok jadi ibu - Marion Rose Caunter Abdullah


KEMUNCULAN Marion Rose Caunter Abdullah dan pasangan, SM Nasaruddin SM Nasimuddin di majlis perkahwinan Yusry Abdul Halim dan Lisa Surihani Mohamed yang berlangsung di Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC) Ahad lalu, mencuri perhatian ramai.

Biarpun baru selesai tempoh berpantang, Marion tampil langsing dalam busana moden berona hitam hingga mendapat pujian ramai tetamu yang hadir akan kejelitaannya. Belumpun majlis selesai dan pasangan ini tergesa-gesa keluar dari dewan, namun apabila di sapa bagi mengetahui perkembangan terkini, sambil tersenyum manis si suami memberi laluan kepada isteri untuk ditemubual. Kata Marion, dia perlu pulang segera kerana mahu menyusukan anaknya.

Dengan ramah, pengacara popular itu menjelaskan, itulah majlis pertama yang dihadirinya selepas melahirkan cahaya mata pada 16 Disember lalu. Akuinya, biarpun ramai kenalannya hadir dalam majlis itu, dia tidak sempat beramah mesra kerana perlu pulang awal ke rumah. “Kehidupan saya dan suami bertambah bahagia dengan kehadiran Leia Rose Counter. Leia anak yang baik dan senang dijaga.

Dia jarang menangis tapi kuat minum susu. Biasanya dua jam sekali saya akan susukan dia dan ada masa dia nak sejam sekali. “Seboleh mungkin, saya mahu berikan dia susu badan secara eksklusif kerana itu adalah yang terbaik buat bayi. Selagi dia mahu, saya akan teruskan. Sebab itulah saya tak boleh tinggalkan dia lama,” katanya. Akui Marion, kehidupannya banyak berubah selepas melahirkan Leia. Jika sebelum ini dia sibuk bekerja tetapi dengan adanya Leia, setiap perkara yang mahu dilakukan perlu fikirkan anak terlebih dulu. “Leia adalah segala-galanya bagi saya dan suami. Biarpun ada pembantu di rumah, saya lebih suka uruskan Leia sendiri.

Seronok jadi ibu, saya dapat lihat perkembangannya setiap hari. “Kadang-kadang bila ada masalah atau perkara yang buat saya rasa marah, lihat saja wajahnya terus sejuk hati. Saya bersyukur kerana suami banyak membantu. “Biarpun dia sibuk, dia sangat bertanggungjawab dan bapa yang penyayang. Mana yang boleh dia bantu, dia akan tolong saya,” katanya Marion sambil tersenyum memandang suami tercinta. Diusik adakah dia dan suami ada perancangan untuk menambah zuriat, dengan nada berseloroh dia berkata, mahu langsingkan tubuh dulu lagipun Leia masih kecil. Kalau mahu anak kedua, katanya, bukanlah dalam waktu terdekat. Dalam pada itu, Marion mengakui rindu untuk aktif mengacara semula selepas lima bulan berehat. Setakat ini banyak tawaran hadir depan mata lebih-lebih lagi dari Singapura tetapi dia akan memastikan tidak perlu berpisah lama dengan anaknya sebelum memberikan persetujuan. Paling penting bagi Marion, dia boleh balik hari kerana tidak betah berjauhan dengan Leia.

“Biarpun rindu untuk mengacara semula, keutamaan saya tetap pada Leia kerana dia masih kecil dan perlukan perhatian yang lebih. Buat masa ini, saya akan kembali mengacara E! Online dan rakamannya akan bermula pada minggu hadapan. “Saya akan berulang-alik dari Malaysia ke Singapura setiap kali rakaman dan saya akan pastikan boleh balik hari demi Leia. Memang saya tidak betah tinggalkan dia lama-lama. Sekejap pun sudah rasa rindu. Apa tidaknya dia sangat rapat dengan kami malah tidur pun antara saya dan suami. Kasihan juga dengan suami, nampaknya saya kena cari masa bercuti, hanya untuk saya dan suami,” katanya berseloroh. Sementara itu SM Nasarudin berkata, isterinya banyak berkorban demi Leia. Baginya, Marion ibu yang baik dan sangat komited. “Saya menggalakkan jika dia mahu aktif beraksi depan kamera semula. Dia pengacara yang bagus, sayang jika bakatnya terhenti begitu saja. Mungkin kini Marion kena belajar seimbangkan komitmennya sebagai ibu dan pengacara. Saya yakin dia boleh,” katanya.

No comments:

Post a Comment