nuffnang

Translate


get this

Sunday 4 March 2012

Ligat beri ceramah - Catriona Noorhayati Ross Bahrin


PENGHIJRAHAN dilakukan pelakon berdarah kacukan Melayu-Scotland pada 16 Julai 2010 ini mendapat pujian ramai. Rata-rata memberikan sokongan, malah kisahnya menjadi inspirasi kepada ramai wanita, khususnya remaja.
Berikutan perubahan imejnya yang manis bertudung, Catriona Noorhayati Ross Bahrin atau lebih mesra disapa Cat banyak menerima undangan menjayakan ceramah kerohanian dan motivasi di seluruh negara.

Biarpun terikat dengan komitmen sebagai ibu kepada Sephia Rania Ross-Iddin, lulusan Komunikasi dari Universiti Putra Malaysia ini sudi melapangkan masa berkongsi pengalaman hidupnya dengan harapan ia dijadikan pemangkin semangat kepada insan lain untuk sama-sama melakukan perubahan.

Niat bintang Sephia ini murni, namun ada juga segelintir masyarakat memandang serong dengan melemparkan pelbagai tuduhan negatif terhadapnya. Ikuti apa kata Cat mengenai perkara itu, selain berkongsi perkembangan terkininya.



Tahniah, khabarnya anda hamil anak kedua. Bagaimana keadaan kali ini?

Alhamdulillah, kandungan saya kini berusia 18 minggu. Saya sangat gembira kerana diberi rezeki pada masa yang betul-betul saya mahu.

Ketika disahkan hamil, umur puteri sulung saya, Rania, setahun lapan bulan, bermakna ketika usianya dua tahun lebih dia akan dapat adik.

Ketika hamil Rania, saya tidak mengalami alahan tetapi kali ini tiga bulan pertama saya muntah teruk, loya dan pening. Saya tidak boleh memandu dan kadangkala langsung tak boleh bangun kerana pening.

Saya tak ada selera makan dan tak boleh masak, tetapi syukur sekarang keadaan semakin sihat dan boleh aktif seperti biasa. Soal jantina saya tidak kisah sangat, yang penting sihat.


Sejak berhijrah, anda kerap diundang menjayakan ceramah motivasi dan kerohanian. Bagaimana rutin anda kini?

Syukur, saya senang dengan jalan yang ditentukan Allah. Jujur, saya tidak menyangka akan terbabit dengan program kerohanian dan motivasi.

Semuanya bermula dengan undangan menjayakan ‘talk show’ di Masjid Pandan Jaya selepas tiga bulan berhijrah. Selepas itu, banyak undangan menyusul hinggakan jadual saya jadi padat. Sejak lebih setahun lalu, saya banyak naik turun kapal terbang.

Sekejap ke Utara, sekejap ke Selatan dan Pantai Timur bagi memenuhi undangan memberikan ceramah motivasi oleh pelbagai pihak, termasuk institusi pengajian tinggi dan syarikat korporat.

Khamis lalu saya baru pulang dari Universiti Sains Malaysia, di mana saya bergandingan dengan selebriti TV popular, Ahmad Fedtri Yahya memberikan ceramah motivasi kepada pelajar di sana. Sampai saja di Kuala Lumpur, saya terus ke TM Cyberjaya.

Seronok apabila dapat berkongsi pengalaman apa yang pernah saya lalui dan bagaimana jadi lebih kuat, lebih-lebih lagi dengan pelajar.


Apabila kerap muncul dalam majlis kerohanian dan motivasi, timbul dakwaan kononnya anda masuk parti pembangkang. Komen anda?

Jangan salah faham. Biasanya program kerohanian selalu diadakan di masjid, manakala motivasi pula di IPTA dan pejabat. Mungkin kerana saya selalu ke masjid, orang ingat saya menyertai parti pembangkang.

Orang yang menyebarkan cerita tidak benar ini mungkin tidak senang hati melihat saya atau mungkin dia belum terbuka hati untuk sama-sama berhijrah.

Mereka yang kenal rapat dengan saya tahu saya belum berminat membabitkan diri dengan politik, bahkan saya tak pernah sentuh perihal politik dalam ceramah motivasi saya.

Namun tidak dinafikan, ada golongan tertentu suka andai saya menyertai mereka tetapi saya belum tergerak hati untuk babitkan diri dengan politik dalam waktu terdekat.

Misi saya adalah berkongsi pengalaman hidup dengan anak muda. Sepanjang babitkan diri dengan aktiviti ini, ada juga yang mengeji kononnya artis wanita yang berhijrah semua berangan jadi bidadari syurga, padahal diri tak seberapa pun.

Saya terima kata-kata itu dengan hati terbuka, malah sedikit pun tidak rasa marah. Bagi saya, apa yang keluar daripada mulut orang itu adalah doa dan saya aminkan dengan harapan kata-katanya menjadi kenyataan.


Kita sering dengar keluhan pelakon wanita sukar cari makan dalam industri selepas bertudung. Adakah anda mengalami nasib sama?

Tidak dinafikan sejak berhijrah, tawaran sangat berkurangan. Saya tidak tahu di mana silapnya, padahal kalau kita lihat di negara jiran, ramai pelakon bertudung diberi peluang menghidupkan pelbagai watak, termasuk garang, bengis dan ahli perniagaan berjaya.

Di sini, jika bertudung sering diberikan watak wanita Muslimah dan isteri atau ibu yang lemah lembut, padahal jika kita lihat dalam kehidupan realiti, ramai wanita bertudung lasak dan mengalami macam-macam tekanan.

Apabila keluar di TV dengan watak lebih kurang sama, penonton akan cakap kita ‘stereotype’, walhal industri yang tidak terbuka. Penulis skrip, penerbit dan pengarah tidak berani beri watak berbeza.

Ramai bertanya adakah saya sudah bersara memandangkan jarang muncul di kaca TV. Sebenarnya saya tidak pernah meninggalkan bidang ini, cuma tiga bulan lalu saya berehat sekejap kerana mengalami alahan teruk.

Alhamdulillah, keadaan saya kembali stabil dan jika ada tawaran bersesuaian selepas ini, saya akan terima.

No comments:

Post a Comment