nuffnang

Translate


get this

Sunday 5 February 2012

Dua dunia Nur Fathia Abd.Latif

Nur Fathia Abd.Latif
Nur Fathia Abd.Latif

ENTAH mana silapnya, sebaik melangkahkan kaki ke dunia seni, satu persatu cerita kurang enak dikaitkan dengan pelakon jelita, Nur Fathia Abd.Latif atau Fathia, 24. Puas berusaha memberikan lakonan terbaik dalam setiap drama dibintangi, namun perkara buruk juga yang mahu diperkatakan orang mengenai dirinya.

Sebelum ini timbul kontroversi Fathia didakwa mengamuk di lokasi dengan membaling telefon bimbit kepada pengarah drama bersiri popular, Stanza Cinta.
Terbaru, pelakon kelahiran Ayer Hitam, Pulang Pinang ini dikatakan mula ‘letak harga’ sehinggakan namanya digugurkan daripada membintangi satu filem.

Dalam pertemuan dengan Fathia baru-baru ini, persoalan itu terus diajukan kepadanya. Wajahnya terus sugul apabila isu itu dibangkitkan. Kata Fathia, dia kesal dengan tuduhan itu kerana ia tidak benar sama sekali. Bagaimanapun, pelajar tahun akhir jurusan undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini tidak marah, jauh sekali berkecil hati kerana tahu isu terbabit timbul akibat salah faham.

“Baru dua tahun saya bergelar anak seni memang banyak perkara yang perlu saya pelajari. Saya tidak menganggap apa yang ditulis wartawan itu sebagai satu kecaman, tetapi lebih kepada teguran untuk saya memperbaiki diri dan menjadi lebih baik.
“Soal letak harga yang diperkatakan itu sebenarnya membabitkan pihak penerbitan filem terbabit dan pengurus saya. Sebagai pelakon, saya hanya melaksanakan tugas diberikan. Jumlah bayaran pula dirasakan bersesuaian sebagai upah pekerjaan dilakukan, jadi pada saya ia tidak seharusnya menjadi isu besar.

“Hakikatnya, saya tidak pernah meletak harga setiap kali diberikan tawaran malah ia bersesuaian dengan kerja dilaksanakan. Perkara itu turut diketahui kebanyakan produksi yang pernah bekerjasama dengan saya.

“Dalam waktu sama sewaktu tawaran membintangi filem itu datang, saya berdepan dengan ujian semester akhir dan penggambaran filem itu juga mahu dilakukan dalam tempoh itu.

“Sudah tentu saya tidak dapat memberikan komitmen. Bagaimanapun apa yang berlaku sebaliknya apabila saya dikatakan minta harga tinggi. Itu saja penjelasan yang dapat saya berikan mengenai isu yang cuba digembar-gemburkan ini,” katanya.

Kata Fathia, serik tidak ada dalam kamus hidupnya, malah melihat apa yang berlaku dari sudut positif. Ia mengajarnya untuk menilai setiap perkara berlaku agar lebih berhati-hati pada masa akan datang dan bertindak bijak demi kerjaya seninya yang semakin berkembang baik.

“Alhamdulillah, walaupun pelbagai cerita buruk cuba dikaitkan dengan saya, sokongan daripada pihak penerbit sama ada drama mahu pun filem masih berterusan. Apatah lagi kata-kata peminat yang sentiasa berada di belakang membuatkan saya sedikit pun tidak berasa mahu meninggalkan dunia lakonan.

“Saya anggap apa yang berlaku sebagai dugaan dan cabaran anak seni. Inilah harga yang saya harus bayar untuk meneruskan cinta saya dalam dunia lakonan.

“Memang sebelum ini saya mahu menjadi peguam, tetapi sebaik melangkah dunia seni, hati saya terus terpaut. Boleh dikatakan saya sudah jatuh cinta dengan dunia lakonan. Apabila kembali ke UiTM (Universiti Teknologi Mara) meneruskan pengajian, pasti rasa rindu untuk ke lokasi,” katanya.

Fathia yang dicalonkan Artis Baru Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011) bersama teman rapatnya, Neelofa, Izara Aishah, Tasha Shila dan Najwa Latiff bersyukur apabila isu letak harga ditimbulkan itu tidak sedikit pun menggugat rezekinya.

Malah katanya, sepanjang cuti semester ini, dia bakal sibuk di lokasi dan menerima dua tawaran membintangi drama bersiri yang memulakan penggambaran sepanjang Februari dan Mac ini.


Inginkan lelaki yang ikhlas menyintai saya
SELAIN hangat dengan isu ‘letak harga’, waktu sama ada cerita yang bertiup kencang mengatakan Fathia kini menjalinkan hubungan cinta dengan seorang ahli perniagaan. Perkenalan mereka dikatakan bermula tiga bulan lalu selepas diperkenalkan seorang teman.

Apatah lagi hubungan mereka menjadi bualan ramai selepas ada yang terserempak dengan mereka berdua. Tambahan pula kemunculan Fathia cepat mencuri perhatian apabila sering dilihat keluar dari kereta mewah Lamborghini milik temannya itu.

Fathia tidak menafikan semua itu tetapi mengatakan dia dan jejaka yang dimaksudkan itu tidak mempunyai sebarang ikatan istimewa. Katanya, hubungan mereka tidak lebih daripada seorang rakan. Mereka juga sudah mengenali antara satu sama lain sejak enam tahun yang lalu.

“Mungkin ramai yang akan menganggap kenyataan saya berikan ini cuba mengelak.
Tapi inilah kenyataannya. Saya tidak pernah berbohong mengenai soal hati dan perasaan.

“Tidak salah untuk kita berkawan dan cuba mengenali hati budi, tetapi ada ketikanya kita sendiri boleh berasakan sama ada orang yang datang dalam hidup kita sesuai menjadi kekasih mahupun sekadar kawan,” katanya.

Tegas Fathia, buat masa ini dia tidak mahu memikirkan soal cinta dan komitmen memandangkan kerjaya seninya baru hendak bermula. Waktu sama, pengajiannya juga belum lagi selesai dan dia tidak mahu soal cinta dan teman lelaki akan mengakibatkan dia gagal untuk mengimbangi kedua-dua perkara terbabit yang dianggap penting dalam hidupnya buat masa ini.

Tambahan pula jelas Fathia, walaupun kelak sudah menamatkan pengajian dan sibuk berlakon, dia tetap mahu menyambung pelajarannya dengan mengikuti latihan dalam kamar bagi mendapatkan lesen untuk bergelar peguam. Selepas itu, barulah soal cinta dan hidup berumahtangga akan difikirkan.

Fathia turut menafikan dia hanya berkawan dengan mereka yang berkedudukan kerana baginya perkara itu belum tentu menjanjikan kebahagiaan.

“Sebagai seorang wanita, saya perlu bijak dalam mengatur hidup. Kalau hidup mewah tetapi tidak bahagia pun tidak berguna. Saya mencari orang yang benar-benar ikhlas dalam menyayangi diri saya dan bukan kerana paras rupa mahupun kedudukan saya sebagai artis.

“Percayalah kalau saya berada dalam situasi lain atau saya tidak dikenali, persepsi lelaki yang mahu datang dalam hidup saya mungkin berbeza. Seperkara lagi, saya sering ingat pesan seorang teman bahawa cinta sekadar nafsu sedangkan berumah tangga memerlukan lebih daripada itu.

“Sebelum memberikan komitmen terhadap satu-satu perhubungan bersama lelaki, saya perlu diyakinkan bahawa dia akan mencintai saya sehingga akhir hayat dan mahu hidup bersama dan menyayangi antara satu sama lain walaupun dalam keadaan wajah sudah berkedut seribu.

No comments:

Post a Comment