nuffnang

Translate


get this

Sunday 26 February 2012

Empat legenda himpun nostalgia


LEGENDA seni suara tanah air, dari kiri Zainal, Awie, Sheila dan Jamal menjanjikan konsert terbaik mereka pada 2012.
 
EMPAT legenda yang punya sejarah tersendiri bakal bersatu di bawah bumbung dan pentas yang sama. Biar berlainan genre dan ketara perbezaan identiti masing-masing, namun atas nama muzik dan kecintaan terhadap peminat, mereka bersatu nafas, harmoni dalam gema lagu.
Inilah kali pertama satu konsert menampilkan Datuk Sheila Majid dihimpit tiga kumbang terkenal negara. Diapit Zainal Abidin, Amy Search dan Jamal Abdillah, tenaga ikon muzik itu sedang membidik satu fokus demi The Legendary Concert 2012 - Dulu, Kini dan Selamanya.

Dibawakan oleh Afro Inang Worldwide dan Research Venture Lab Sdn. Bhd., konsert empat legenda tanah air itu memilih lima stadium berbeza lokasi. Sebagai pembuka jelajah, Stadium Larkin, Johor Bahru dipilih untuk konsert yang dijadualkan bermula pada 5 Mei nanti.
Ia bakal membelah Laut China Selatan ke Kota Kinabalu, Sabah (19 Mei), kemudian ke Kuching, Sarawak (26 Mei). Mengikut urutan yang dirancangkan, sebelum menutup tirai gempita di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 30 Jun, empat pemilik vokal berkuasa itu akan terlebih dahulu menghiburkan peminat di Pulau Pinang (23 Jun).
"Sebenarnya kami berempat pernah bersatu dalam satu persembahan di Pulau Pinang beberapa tahun lalu. Daripada situlah idea gabungan ini tercetus," luah Amy saat diminta kepastian tentang idea besar itu.

Kepada empat vokal berkuasa itu juga, sesebuah konsert harus memberi nilai kepada penonton. Konsert bukanlah persembahan biasa sebaliknya ia harus mengangkat nilai harga setiap sen yang dibayar oleh penonton. Konsert harus meninggalkan dan mengundang sebuah nostalgia.

SHEILA MAJID SERTAI KAWAN-KAWAN

LAYAK digelar biduanita negara, pelantun genre berirama jazz, Datuk Sheila Majid tidak pernah ditelan zaman. Sepintas lalu, projek empat legenda memberikan dimensi baru buat Sheila.
“Ini semacam projek kawan-kawan. Saya sudah lama mengimpikan sebuah konsert besar untuk beraksi bersama-sama, lagipun saya sendiri tidak pernah berkongsi pentas dengan Jamal Abdillah.
“Saya terpanggil untuk menjayakan konsert ini kerana sebahagian hasil kutipan akan disalurkan untuk rumah kebajikan pilihan masing-masing. Selain memberi hiburan, kami masih menyimpan ruang membuat kebajikan,” katanya penuh semangat.

Tidak mahu menjanjikan kelainan, Sheila sebaliknya membuat penjelasan.
“Sudah lebih 20 tahun menyanyi, sudah ratusan kali menyanyikan rangkaian lagu-lagu yang sama, rasanya peminat sudah cukup kenal siapa saya. Dalam konsert itu nanti, saya lebih mahu menghiburkan, malah kami semua memilih untuk tampil dengan identiti muzik masing-masing. Itu yang menonton mahu lihat, rasanya mereka bukan mengharapkan kami untuk terbang di atas pentas,” ujar Sheila berseloroh penuh makna.
Tambah Sheila, dia masih belum memuktamadkan pilihan lagu
“Kalau saya tidak menyanyikan lagu Sinaran mungkin kena baling botol agaknya. Konsert itu nanti bakal jadi satu nostalgia buat peminat, dan untuk kami juga kerana dapat bersama-sama di atas pentas dengan gaya dan stail tersendiri,” katanya.

AMY SEARCH NYANYI LAGU SOLO


AMY vokalis grup Search
lebih banyak diam dan mengangguk-angguk ketika mendengar cerita serta komen yang dilontarkan oleh ketiga rakan sealirannya.
Mengikut usia, Amy merupakan ahli paling tua dalam Search. Bagaimanapun, dia mengaku paling junior dalam bidang seni. Kekaguman dan hormatnya diberikan penuh buat rakan-rakan penyanyi yang terlebih dahulu melangkah masuk dalam bidang muzik.
“Bukan mudah untuk menggabungkan kami berempat dalam sebuah konsert berskala besar. Masing-masing ada tugas tersendiri untuk menghiburkan khalayak yang datang daripada pelbagai selera muzik. Namun setiap satu daripada kami mempunyai lagu yang melekat dalam hati peminat. Lagu-lagu itu akan mengembalikan nostalgia masing-masing,” ujarnya yang akan menyanyikan lagu-lagu daripada lima buah album solonya.
“Empat artis ini mempunyai aura dan pesona yang tersendiri. Itu yang patut disaksikan oleh para pengunjung konsert ini kelak,” ujar Amy.

ZAINAL ABIDIN CAPAI FORMULA

PENYANYI ‘Hijau, Zainal Abidin, 53, sudah lama tidak muncul di pentas besar. Zainal lantang dan bertenaga dalam setiap kemunculannya berbanding tiga ikon sepentas.
“Idea untuk konsert ini diilhamkan sejak dua tahun lepas. Saya buat kajian bagaimana hendak kembalikan ‘roh’ konsert berbayar. Rasanya gabungan sebegini akan beri nilai dan peminat akan rasa berbaloi jika bayar lebih untuk beli tiket,” kata Zainal.
Jika Jamal tidak sabar sepentas dengan Sheila, lain pula halnya dengan Zainal.
“Saya tak sabar untuk berganding dengan Jamal, kalau dengan Sheila sudah biasa, tapi 30 tahun dalam industri, ini kali pertama saya akan berkonsert dengan Jamal,” luah Zainal.
Menyorot perkembangan terbaharunya, Zainal merancang kemunculan produk baru. Uniknya, dia juga membayangkan sebuah melodi segar berserta lirik yang seiring usia untuk berduet dalam satu single bersama Sheila.
“Saya masih fikir adakah kami ini sesuai untuk menyanyikan lagu cinta, Sheila pula mahukan konsep yang sedikit santai.”

JAMAL ABDILLAH PEMINAT SHEILA MAJID

SUARA emas miliknya menjadikan lelaki yang mendapat jolokan Raja Pop itu terus dikagumi. Lebih 30 tahun daripada hayatnya diabdikan dalam dunia nyanyian, Jamal juga seorang biduan yang ‘mewah’ pengalaman.
“Saya merancang untuk menggamit nostalgia ketika saya menyertai Bintang RTM 1979. Ada rakaman visual mengiringi persembahan saya nanti,” ujarnya yang teruja untuk berpentas bersama Sheila Majid.
Seraya berseloroh, katanya: ”Saya peminat Sheila dan kami tidak pernah ada konsert bersama, jadi inilah peluangnya.”

Diterajui penyanyi otai namun fikir Jamal, setiap daripada mereka tetap ada pengikut daripada generasi muda.
“Untuk saya sendiri, single terbaharu saya, Maafkan Aku, ada elemen R&B di dalamnya. Saya percaya orang muda juga sukakan lagu berkenaan cuma saya masih fikirkan konsep untuk mempersembahkan lagu berkenaan memandangkan Malique masih tidak mahu muncul di pentas nyanyian buat masa ini,” ujarnya yang dalam perancangan untuk bersatu pentas dengan Datuk Khadijah Ibrahim dan Datuk Ahmad Nawab.

No comments:

Post a Comment