nuffnang

Translate


get this

Friday 27 January 2012

Tenang berdepan musibah - Hafiz AF7

MUDA...Hafiz punya vokal yang memukau serta perjalanan seni yang kemas.
MUDA...Hafiz punya vokal yang memukau serta perjalanan seni yang kemas.

 Foto  
SANTAI...Hafiz ketika penggambaran muzik video Kita Satu di Tasik Chini Disember lalu

MEREDAH jauh ke Tasik Chini mengikuti pengembaraan si juara Akademi Fantasia (AF) 7, Hafiz, bulan lalu untuk menyiapkan muzik video projek khasnya bersama Muzium Negeri Pahang, Kita Satu adalah satu perjalanan penuh warna.
Hafiz laju bercerita sambil menyifatkan setiap apa yang dizahirkan sebagai satu pandangan semata-mata
Namun jauh di hatinya, Hafiz mengakui status selebriti yang diheret membuatkan dirinya sentiasa sedar kisah peribadinya menjadi tatapan umum walaupun berat untuk jiwanya menerima hakikat itu.

Jelas Hafiz: “Inilah yang saya pelajari sejak awal melangkah menjadi penyanyi.

Kisah peribadi bukan lagi rahsia kerana setiap gerak-geri sudah menjadi perhatian ramai. Lantas jika ada bertanya mengenai perasaan saya setiap kali terpalit kontroversi atau kisah negatif, saya hanya pasrah dan berharap agar kisah itu lekas hilang,” katanya.
Tambah Hafiz yang kini baru berusia 21 tahun, dia enggan terus dibabitkan dengan kontroversi percintaannya dengan finalis AF, Adira serta pergaduhan yang pernah berlaku antaranya dengan seorang ‘pengkid’ yang dikatakan bekas kekasih Adira ketika itu.

Namun kini, jiwanya tenang dan lapang.

Entah apa punca dan silapnya, hubungan anak kelahiran Kuching, Sarawak ini dengan Adira terkandas di tengah jalan.

“Saya tidak mahu lagi berbicara soal cinta, apatah lagi apabila mengaitkan lagi saya dengan sesiapa yang sebelum ini pernah punya sejarah dengan saya.
Biarlah yang berlalu itu terus hanyut dan usah lagi diimbas kembali kerana saya menganggapnya sebagai satu pengajaran yang mematangkan saya,” katanya tersenyum.

Jelas si pemilik nama sebenar, Mohd Hafiz Mohd Suip ini lagi, sudah tiba masanya untuk meletakkan sepenuh fokus pada kerjaya dan percaturan masa depan tanpa perlu membebankan lagi dengan kisah remeh.

“Saya pegang pesan ayah dan ibu, sebelum sibuk menyayangi orang lain, perlu ingat akan diri sendiri. Lantas saya melihat apa yang pernah dibisikkan kepada saya itu adalah benar belaka. Mengapa harus saya memperjudikan diri sendiri untuk sesuatu yang belum pasti. Justeru, kini saya lebih berhati-hati agar tidak lagi tersilap langkah.

“Namun tidak sekelumit kesal atau terkilan dengan apa yang berlaku terutama berkaitan isu cinta dan pergaduhan sebelum ini kerana semua itu saya lihat sebagai satu pengalaman yang sebenarnya mendewasakan saya. Saya selalu bersyukur kerana apa yang berlaku tidak semuanya berlaku begitu saja, sebaliknya ia membekas 1,001 pengajaran untuk saya lebih matang.

“Kini saya mahu tumpukan sepenuh perhatian kepada kerjaya. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Saya seronok dengan apa yang dimiliki hari ini.
Walaupun masih muda dan baru, saya sudah dapat apa yang pernah diimpikan sebelum ini. Cuma sekarang saya perlu lebih bekerja keras untuk terus membina nama dan profil sebagai seorang penyanyi,” katanya.

Hafiz yang juga anak sulung daripada tiga beradik ini pernah diangkat Vokal Terbaik dan seterusnya mendapat tempat ketiga pada Anugerah Juara Lagu ke-25 tahun lalu menerusi lagu keramatnya, Noktah Cinta.

Malah ketika Anugerah Planet Muzik (APM) tahun lalu, sekali lagi Hafiz berjaya merangkul anugerah Lagu Terbaik Malaysia dan Lagu Terbaik Keseluruhan menerusi lagu Awan Nano.

Jelas Hafiz yang menyifatkan perjalanan kerjayanya sebagai satu permulaan utopia indah buatnya, apa yang penting adalah terus mengukuhkan nama yang ada serta menguatkan lagi empayar yang sudah sedia dibina.

“Saya bersyukur kerana peminat menerima saya seadanya. Malah saya berasa amat bertuah kerana sentiasa berpeluang bekerja dengan ramai komposer yang hebat serta menyanyikan lagu yang indah. Itu satu pencapaian buat saya apabila ramai pihak meletakkan kepercayaan kepada saya. Saya fikir ini adalah peluang terbaik untuk saya kembangkan kerjaya.

“Sekarang saya menerima pula undangan untuk melebarkan sayap jauh ke Indonesia pula selepas ada pihak yang berminat untuk memasarkan album saya di sana sebaik melihat kemenangan saya ketika di APM lalu. Lagu Awan Nano yang dicipta M Nasir sememangnya sebuah lagu yang indah dan sukar untuk diterjemahkan dalam bentuk nyanyian.

“Saya gembira apabila ada pihak melihat keistimewaan itu. Sekarang saya sedang sibuk bersama pihak pengurusan untuk mencatur langkah ke seberang kerana inilah ruang terbaik buat saya jika ingin bertahan lama. Album saya akan dipasarkan di seluruh Indonesia dan jika diberi kesempatan, saya ke sana untuk sebuah persembahan pentas nanti.

“Ini satu lagi perancangan yang baik buat saya kerana setidak-tidaknya, saya dapat membuktikan sesuatu kepada keluarga dan peminat yang tidak henti menyokong selama ini,” katanya yang bersedia memperkenalkan Awan Nano dan Noktah Cinta buat peminat di sana.

Setakat ini, Hafiz sudahpun menerima dua lagu sentuhan komposer di sana.
Impiannya untuk berduet atau bekerjasama dengan idolanya, Giring (Nidji).

“Saya sekarang mengumpul material untuk album baru. Genre dan konsepnya masih sama iaitu pop balada yang sememangnya menjadi kekuatan kepada saya. Insya-Allah, album terbaru ini akan dipasarkan selewat-lewatnya pertengahan tahun ini bagi mengubati kerinduan peminat yang sering kali bertanya,” katanya.



Trivia Hafiz

  • Hafiz pernah mengacara program Menuju Puncak di Astro Ria.
  • Terbabit dalam projek alih suara bahasa Malaysia untuk watak Ben Tennyson dalam Ben 10: Alien Swarm.
  • Terbabit dalam teater KITA The Musical pada 2010.
  • Menerima Anugerah Ikon Belia Sarawak untuk Kategori Kebudayaan dan Kesenian sempena Majlis Perhimpunan Belia Sarawak 2011.
  • Pertaruhkan lagu Awan Nano pada Anugerah Juara lagu ke-26, Ahad ini.
  • No comments:

    Post a Comment