nuffnang

Translate


get this

Friday 15 June 2012

Adibah Nor tawar hati

SEPULUH tahun yang lalu, dia masih berharap, mencari dan mencuba. Namun usia melewati alam 30-an, kini jodoh bukan lagi kemahuannya bahkan reda andai sudah tertulis akhir hidupnya nanti tidak meninggalkan zuriat mahupun suami. Selama 42 tahun jalani hidup sendirian meskipun terkadang sunyi pemilik vokal lantang, Adibah Nor, bahagia begini.

“Perempuan mana yang tidak inginkan perkahwinan, begitu juga saya tetapi rasa itu sudah hilang. Tidak seperti 10 tahun yang lalu saya terbuka menerima cinta.
Ia barangkali saya serik dengan lelaki. Bukan memilih kerana ada bekas teman lelaki saya tidak bekerja pun malah, semua lelaki yang pernah berdampingan dengan saya mempunyai latar belakang biasa saja.

“Cuma saya serik ditipu lelaki yang hanya mahu memainkan perasaan saya. Dua lelaki yang saya kenal kaki penipu, seorang tunangan orang, seorang lagi lelaki orang mengaku bujang manakala yang terakhir duda tapi pantang lihat perempuan.



“Acap kali begini saya jadi tawar hati. Dengan usia sebegini, lebih baik saya jaga diri sendiri serta keluarga dan fokus pada kerjaya seni. Alhamdulillah, orang tua saya tidak pernah mendesak. Emak saya sendiri pernah kata tidak mengapalah kalau tiada jodoh asalkan tidak menyusahkan orang.


“Tambah emak lagi, lelaki zaman sekarang susah nak jumpa yang elok. Barangkali emak saya lebih terbuka berbanding ibu-ibu yang lain dan memahami kerana kakak saya sendiri tahun ini masuk 50 tahun dan dia juga belum berkahwin,” katanya.

Sekadar menduga, andai jodoh tiba di usianya begini apakah dia akan menolak?
Kata Adibah, asalkan dipertemukan jodoh yang baik, kenapa harus menolak.

“Susah hendak menjawab soalan ini kerana saya sudah tiada hati. Namun begitu, jika jodoh yang datang itu terbaik, kenapa tidak. Tetapi kalau tidak berkahwin pun tidak mengapa kerana sudah lama saya menerima hakikat ini,” katanya.

Bercerita mengenai perkembangan terbarunya, bintang filem Hoore! Hoore! itu baru muncul dengan single terbaru, Ke Sana Denganmu. Lagu romantis nukilan Azlan Abu Hassan itu disampaikan Adibah secara duet bersama Sam Innuendo.
Mengisahkan debaran pengantin saat menuju ke pelamin, lirik lagu berkenaan mempamerkan hasil tulisannya sendiri.

“Saya selalu menerima undangan menyanyi di majlis perkahwinan, tetapi sering menyanyikan lagu orang. Jadi saya terfikir kenapa tidak menghasilkan lagu perkahwinan sendiri.

“Maka terciptalah lagu Ke Sana Denganmu. Lagu ini saya dedikasikan khas buat Harith Iskandar dan isterinya, Jasmine. Biar percintaan mereka ditentang keluarga Jasmine namun mereka tetap mengharunginya sehingga disatukan sebagai suami isteri.

“Pada majlis perkahwinan mereka, jelas terpancar kebahagiaan di wajah kedua-duanya. Nampak Harith begitu mencintai wanita itu. Kini mereka sudahpun mempunyai anak. Saya mendoakan yang terbaik buat mereka kerana Harith seorang lelaki cukup mengagumkan. Sementara Jasmine pula, miliki ciri wanita luar biasa, cantik, bijak dan menyenangkan,” katanya.

Ditemui di majlis pra pelancaran The National One Child One Hope Charity Concert 2012, yang diadakan di Hotel Holiday Villa, Subang Jaya, Selasa lalu, Adibah antara artis yang akan membuat persembahan sekali gus bertindak sebagai pengacara pada acara sebenar berlangsung di Plenary Hall, KLCC, pada 30 Jun nanti.

Dianjurkan oleh Smart Reader Worldwide, acara itu bertujuan mengumpul dana bagi menyediakan biasiswa bagi kanak-kanak daripada keluarga kurang kemampuan untuk mendapat didikan pra sekolah di Smart Reader.

Membabitkan, persembahan 1,000 pelajar Smart Reader, Adibah memilih tema rangkaian lagu motivasi untuk disampaikan pada acara itu nanti.

“Saya akan membawakan lagu seperti The Greatest Love Of All dan sudah tentunya, Terlalu Istimewa serta beberapa lagu lagi bagi memenuhi sesi 30 minit persembahan,” katanya merancang mengeluarkan jenama pakaian khusus untuk wanita ‘plus size’.

Selain Adibah, majlis yang bakal dicatatkan menerusi Malaysia Book Of Records itu turut dimeriahkan dengan persembahan Zamil Idris dan Miss Malaysia 2011, Chloe Chen.

Bagi mereka yang bermurah hati dan berminat menyaksikan persembahan itu bolehlah menghubungi talian 03-23002555 (sambungan 401/402/403/404).

No comments:

Post a Comment