nuffnang

Translate


get this

Friday 15 June 2012

Shahrizal Jaszle lelaki manja

Shahrizal Jaszle Jasmin
pix_topright
NAMA Shahrizal Jaszle Jasmin bukan kecil di dalam dunia drama televisyen. Pengikutnya ramai, bertambah kuat selepas lelaki ini membintangi siri popular, Asmara dan diperkukuhkan dengan beberapa lagi portfolio drama seperti Gemilang dan Tahajjud Cinta, serta filem Azura 2012.

Bagaimanapun populariti karier lakonannya bagaikan seiring dengan kisah cintanya dengan beberapa wanita sehingga mencetus kontroversi, apatah lagi ia turut membabitkan beberapa selebriti tanah air termasuk Maria Farida dan Miera Liyana.

Ketika bertemu dengannya di Jakarta penghujung bulan lalu dalam lawatan bersama Jamu Mak Dara, pelakon remaja ini begitu terbuka berbicara perkara yang dianggap terlalu peribadi bagi sesetengah orang. Malah perbualan dengan Rap itu juga turut mengheret kepada isu industri seni Malaysia kerana Shahrizal mempunyai pandangannya sendiri.

“Artis yang menyorok teman wanita atau lelaki, biasanya banyak skandal. Maaf cakaplah! Bagi saya, kenapa perlu nak sorokkan? Sebaliknya saya bangga kalau dapat memberitahu dunia yang saya ada kekasih hati.


“Orang kata, kalau sudah berteman, peminat akan berkurangan. Tetapi kalau sudah tertulis rezekinya, ia tetap akan ada juga.

“Apapun yang terjadi selama ini sehingga hari ini, pengalaman itu membuatkan saya semakin tabah dan kuat,” katanya yang mengakui kini menjalinkan cinta baru dengan seseorang yang pernah dikenali keluarganya sejak dulu.

Menurut lelaki berusia 24 tahun ini, dia tidak mampu untuk mengelak daripada dikaitkan dengan kontroversi. Selain ia seolah-olah makanan selebriti, sekurang-kurangnya katanya, kontroversi yang dialami tidak membabitkan kelab malam atau minuman keras.

“Mungkin teman-teman wanita yang saya temui selama ini tidak sesuai dengan jiwa saya. Namun saya akui, apabila sedang menjalinkan kasih dengan seseorang, saya akan setia sebaiknya.

“Di dalam hubungan begini, saya perlu banyak bersabar sehinggalah kesabaran itu tiada lagi, barulah saya cari yang lain. Saya mahukan wanita yang boleh jaga saya dan memang saya lelaki yang manja.

“Cuma perempuan yang kenal sebelum ini tidak tunjuk perangai sebenar sehinggalah hubungan itu makin serius dan kenal lama, barulah nampak warna sebenar.

“Walaupun mereka membuat kenyataan kepada media, saya lebih selesa untuk berdiam diri. Tanpa balasan kenyataan daripada saya pun, lama kelamaan kebenaran akan timbul juga. Hanya masa akan menjawab segalanya,” katanya.

Menurut lelaki pendiam ini, dia sudah terbiasa dengan didikan keluarga yang tidak suka kecoh-kecoh walaupun pihak lain cuba menegakkan benang yang basah.

Memandangkan hatinya kini terisi oleh kasih seorang wanita yang dikenali sebagai ‘Putri’, ketika ditanya apakah dia sunyi sekiranya tidak mempunyai rakan wanita yang digelar kekasih, Shahrizal akui suka berteman.

“Kebetulan saya tidak ramai kawan lelaki, dan masa lebih banyak bersama keluarga sekiranya habis waktu kerja. Apapun terus-terang saya katakan, saya susah jatuh cinta,” katanya.


Dari dapur ke belakang tabir

ENAM tahun lalu, Shahrizal Jaszle Jasmin tidak pernah terlintas untuk beraksi di pentas seni hiburan. Ingin ketika di bangku sekolah dulu untuk memandu kapal terbang suatu hari nanti, namun apakan daya belum kesampaian.

Si ayah pula menggalakkan anak untuk mendalami bidang masakan dan pelakon remaja itu menghabiskan masa dua tahun untuk memiliki sijil kulinari dan perhotelan di Kolej Komuniti.

Bagaimanapun rezekinya tertulis di dalam bidang seni bermula dengan program Naratif Remaja untuk RTM dan diikuti drama Luna Fantasiku. Namun Shahrizal memberitahu, dua tahun pertama adalah tahun mencabar sehingga dia hampir membuat keputusan untuk berhenti.

Keputusan itu disokong keluarganya yang sedari awal kurang bersetuju dia menceburi dunia lakonan. Sekali lagi ‘namun’ apabila Shahrizal cuba untuk membuktikan yang dia akan berjaya di dalam bidang ini.

“Setakat ini saya berpuas hati dengan apa yang saya lalui sebagai pelakon tetapi sasaran utama saya adalah kerusi pengarah. Sekarang saya banyak perhatikan kerja-kerja di belakang tabir seperti pencahayaan, kamera dan kerja pengarahan.

“Pada awal lagi, bidang saya bukan di depan kamera, bukan ke arah glamor. Cuma buat masa ini, rezeki itu datang lebih awal dan bagi saya, ini juga peluang yang baik untuk saya melompat masuk di belakang tabir,” katanya.

Keyakinan Shahrizal terhadap dunia seni negara begitu tinggi kerana baginya, Malaysia memiliki ramai pengarah, pelakon dan penulis skrip yang bagus.
Bagaimanapun mereka kekurangan sokongan daripada kerajaan terutama soal bajet.

“Contohnya kalau skrip menuntut babak itu sebuah helikopter untuk seseorang watak naiki tetapi babak itu terpaksa dibuang kerana produser tiada bajet. Jadi kita tidak boleh buat.

“Juga kekangan kreativiti disebabkan negara kita yang Islamik. Bukan saya membantah pasal Islam tetapi kalau Hollywood atau Bollywood buat dan tayang di sini, kita benarkan pula.

“Tidak hanya itu, kekangan juga dilihat pada lokasi yang sukar untuk orang kita sendiri dapat tetapi senang-senang orang luar boleh rakamkan lokasi kita seperti KLCC di dalam filem atau produksi mereka.

“Dalam hal ini, Finas harus memperjuangkan untuk karyawan kita. Namun saya sedar, Finas telah banyak membantu industri dan ada alasan sendiri terhadap apa sahaja yang berkaitan dengan negara,” katanya.

Malah Shahrizal juga mengharapkan ada pihak yang tampil memperjuangkan hak royalti para pelakon sepertinya yang sejak zaman P Ramlee lagi tiada pembelaan.
Yang kaya rasanya stesen TV atau produser filem, bukan pelakon.

“Tengoklah bila artis sudah tua, tengok bagaimana nasib mereka,” katanya.

Shahrizal buat masa ini, terpaksa memilih skrip dalam usahanya untuk menjaga kualiti lakonan. Walaupun sesetengah daripada teman seperjuangan terpaksa menerima apa saja tawaran demi survival anak seni, namun bukan Shahrizal kerana dia percaya pendirian itu akan terjawab suatu hari nanti.

Menurutnya, dia memperjuangkan kualiti daripada memperbanyakkan kuantiti lakonan.

“Saya percaya yang lakonan bukan kerana bakat tetapi pengalaman. Lagi banyak pengalaman, lagi bagus persembahan kita.

“Lakonan membabitkan psikologi, cara berfikir, peka dengan keadaan sekitar, mengamati karakter manusia sekeliling dan sebagainya. Bukan mudah menjadi pelakon dan bergantung kepada nawaitu seseorang untuk menjadi pelakon, sama ada untuk mencari glamor atau kualiti.

“Bila banyak sangatpun berlakon dan duit pun bertambah tetapi kalau kualiti yang diberikan lebih kurang sama, penonton akan cepat bosan. Kalau peminat bosan, maknanya jangka hayat sebagai seorang pelakon tidak boleh bertahan lama,” katanya.

No comments:

Post a Comment