JAKARTA: Penyanyi Aqi Alexa berkata, upacara pernikahannya dibuat secara sederhana dan dihadiri oleh ahli keluarga dan mereka yang rapat dengan mereka saja.
Dia menolak dakwaan bahawa perkahwinannya dengan aktres Audrey Meirina dibuat secara senyap disebabkan mereka berdua berbeza agama.
“Apakah sebab perbezaan agama itu menjadi masalah? Tak, biasa saja,” kata Aqi Alexa ketika ditemui di raptai persembahan “Gatotkaca Jadi Raja”, di Senayan City, Jaksel, semalam.
Aqi Alexa seorang Muslim menikahi Audrey yang bukan beragama Islam dalam upacara pernikahan cara Islam.
Dalam upacara akad nikah, Aqi mengenakan baju berwarna coklat dan memakai songkok hitam, sementara Audrey pula kelihatan cantik berpakaian baju kebaya.
Menurut Aqi, upacara akad nikah yang dibuat Selasa lalu menggunakan adat Betawi.
“Kami memakai pakaian tradisi Betawi ketika upacara akad nikah pada 1 Februari lalu. Yang hadir cuma ahli keluarga dan sahabat sekolah menengah yang selalu datang ke rumah,” katanya.
Namun begitu, pasangan ini tidak dapat terus berbulan madu kerana Aqi sibuk dengan kerjanya.
Penyanyi itu yang merupakan anak kepada seorang ahli politik dan penggubah lagu, Eros Djarot, berkata, mereka kini tinggal di rumah yang dimiliki sendiri oleh Aqi.
“Kami tinggal di rumah saya. Sebenarnya sejak empat tahun lalu, saya memang tinggal di rumah sendiri,” katanya.
Mengenai soal anak, Aqi menyerahkan semuanya kepada Tuhan. - Jakarta Post.
No comments:
Post a Comment