nuffnang

Translate


get this

Saturday 3 March 2012

Elly bahagia sejak bertunang

HANYA kebahagiaan yang terpancar pada wajahnya ketika ini. Mungkin ia berseri kerana bakal menjadi pengantin yang bakal diijabkabulkan tidak lama lagi.
Tanpa berselindung, penyanyi dan pelakon Elly Mazlein akui dia memang tidak sabar-sabar menunggu saat bergelar isteri dengan kekasih hati yang juga tunangnya, pengarah drama dan filem, Azmi Mohd Hata yang berstatus duda anak dua.

“Saya memang tidak sabar untuk bergelar isteri dan hidup dengan lelaki yang dicintai selama ini. Setakat ini, hubungan kami berjalan lancar. Kalau merajuk-merajuk biasalah dalam mana-mana hubu�ngan pun tapi selepas itu kami akan berbaik semula.

“Saya juga berdoa semoga majlis pernikahan dan persandingan kami berjalan lancar dan mengikut adat istiadat Melayu. Doakanlah yang baik-baik buat kami berdua,” katanya.


Menyentuh persiapan majlis perkahwinannya pula, kata Elly, setakat ini, ia sudah siap sebanyak 50 peratus.

“Saya memang merancang sesuatu yang istimewa pada hari bahagia kerana ia akan dikenang seumur hidup kita tapi ia bukan bermaksud kami perlu buat majlis perkahwinan secara besar-besaran. Majlis kami juga dapat separuh dari segi tajaan.

“Dari segi impian perkahwinan, pasti saya inginkan majlis perkahwinan moden dalam taman yang penuh dengan bunga-bungaan dan warna lembut. Saya tak kisah pun artis lain buat majlis secara besar-besaran kerana apa yang penting, majlis yang dirancang berjalan lancar dan selamat.

“Apapun, saya suka de�ngan dekorasi ketika majlis pertunangan dulu yang berlangsung di Bukit Kiara. Manakala, pereka yang bakal memberi sentuhan pada baju persandingan nanti adalah Eila Faiz Shah dan Datin Lynda Rahim pula untuk baju akad nikah,” katanya.

Kata Elly, dia memilih tarikh pada pertengahan Disember tahun ini untuk meraikan majlis pernikahan serta persandingannya.

“Tapi tarikh yang sah belum diputuskan lagi. Kalau hendak ikutkan, majlis hari jadi saya jatuh pada 17 Disember tapi ia hari bekerja. Kami akan pilih tarikh hari cuti dan semua sanak saudara juga boleh datang untuk sama-sama meraikan hari bahagia kami itu.

“Selain itu, saya suka lokasi majlis pertunangan kami di Kelab Ekuestrian Bukit Kiara, 29 Mei, tahun lalu. Mungkin lokasi nikah di masjid dan bersanding pula di Bukit Kiara.

“Barangan hantaran juga masih dalam proses tapi wang hantaran kahwin yang bakal diserahkan pihak lelaki sudah ditetapkan iaitu sebanyak RM11,111.11 sen kerana saya suka sangat angka satu.

“Kalau boleh, kami ingin majlis dipermudahkan dengan satu hari saja di mana majlis akad nikah pada waktu pagi dan persandingan pula pada waktu petang,” katanya.

Selepas berkahwin, kata Elly, dia akan teruskan karier seninya seperti biasa kerana sangat mencintai bidang itu.

“Saya bertuah kerana Azmi tidak pernah halang saya berlakon selepas kami berkahwin. Azmi memang cukup memahami dan menyokong minat saya dalam bidang seni. Maklumlah, kami sama-sama ceburi bidang ini jadi ia memudahkan kami untuk berkongsi minat,” katanya. Elly juga ingin berkongsi hari bahagianya itu dengan pihak media dan peminat yang menyokong karier seninya selama ini.

“Saya akan edarkan kad undangan perkahwinan kami pada pihak media tidak lama lagi khusus untuk merakamkan detik bersejarah itu buat peminat nanti,” katanya.

Sementara itu Elly juga semakin laris berlakon dan terbaru muncul dalam siri seram Amukan Puchong arahan Aidilfitri Mohd Yunos terbitan Padi Pictures Sdn Bhd.

Siri itu akan mula ke udara di TV3 pada 15 Mac ini setiap Khamis jam 9.30 malam.

Dalam kisah mendebar�kan itu Elly bawa watak Long Jamilah yang juga isteri Long Husin (lakonan Azhan Rani). Turut berlakon dalam drama itu, Ezany Nizariff, Iqram Dinzly, Roslan Salleh, Liyana Jasmay, Neelofa dan Latif Borgiba.

Berkongsi perkembangan karier nyanyian, Elly yang yang bernaung selama setahun di bawah pengurusan Julfekar berkata, dia bakal muncul dengan dua single terbarunya berjudul Please Forgive Me dan Kita Saja Love You ciptaan Julfekar sekali gus membuat satu 'comeback' di persada muzik tanah air.

Lebih menarik, single Please Forgive Me turyt dipilih sebagai lagu tema filem Awan Dania The Movie dan Kita Saja Love You pula lagu tema filem Aku, Kau Dan Dia.

“Saya pilih untuk bekerjasama dengan Julfekar kerana kami sudah kenal lama. Saya juga suka dengan melodi ciptaannya yang segar,” kata Elly.

No comments:

Post a Comment