nuffnang

Translate


get this

Saturday 3 March 2012

Chad & Faiz terkedu!

pix_middle
pix_topright

MENYINGKAP sejarah penerbitan program hiburan Muzik Muzik yang bermula sejak 1985, ia sendiri hampir sebaya dengan usia wajah pengacara terbarunya, Adzriefaiz Azdlan (Faiz), 27 dan Nur Shazrena Abd Rahim (Chad), 28.
Tempoh 27 tahun, lebih daripada cukup untuk membuktikan keunggulan Muzik Muzik sebagai jenama kebanggaan TV3. Tentu saja untuk mempertahankannya sebagai program yang terus relevan buat masyarakat menuntut pelbagai usaha dari pihak penerbitan yang harus sentiasa tampil dengan usaha, pembaharuan, kelainan serta kreativiti.
Pemilihan pengacara juga tidak boleh dipandang enteng, kerana selama program ini bersiaran ia pernah menampilkan nama-mana besar seperti Azwan Ali, Aidil Abdul Ghafar, Faizal Ismail, Cheryl Samad, ND Lala dan Charmaine Augustine.

Justeru, pengacara memainkan peranan yang penting untuk memastikan program berkenaan terus mendapat perhatian. Sempena sambutan ulang tahun Muzik Muzik yang ke-27, penyampai Hot FM, Chad dan Faiz dipertanggungjawabkan menerajui program itu. Mampukah mereka?


“Kami sedar Muzik Muzik sebuah program hiburan terhebat pernah diterbitkan TV3 dan mana-mana pengacara di Malaysia ini tentu ada keinginan untuk mengendalikan program ini. Disebabkan itulah masa Chad terima tawaran, Chad macam tak percaya!

“Tambahan pula, Muzik Muzik pernah dikendali nama-nama besar antaranya, Azwan Ali, Aidil Abdul Ghafar, Faizal Ismail, Cheryl Samad, ND Lala dan Charmaine Augustine.

“Ketika uji bakat Muzik Muzik tempoh hari, khabarnya ramai pengacara yang sudah ada nama hadir ke uji bakat termasuk artis-artis dari cabang lain yang ingin mencuba nasib,” kata Chad kepada Rap, baru-baru ini.

Pernah mengendalikan program ‘online’ seperti Hot TV dan Pencarian Bintang Pantene Anugerah Skrin tidak lama dulu namun cabaran dalam Muzik Muzik adalah sesuatu yang berbeza bagi gadis berasal daripada Melaka ini. Malah akuinya, dia lebih senang mengacara radio berbanding menjadi pengacara TV.

“Kerjaya sebagai penyampai radio, orang tidak nampak kita melainkan hanya dengar suara.

Mengacara radio bagi Chad lebih bebas yakni tidak terikat dengan pergerakan kamera yang memerlukan seseorang pengacara menjaga reaksi wajah dan kedudukan badan.

“Kalau berlaku kesilapan di depan kamera dan cepat panik atau tak pandai mengawal emosi, ia tentu boleh dilihat dengan jelas oleh penonton di rumah.
Terus-terang sebelum ini pun, Chad memang agak pemalu untuk menonjolkan diri,” katanya.

Bercerita mengenai keserasian dengan rakan pengacaranya, Chad menyifatkan Faiz seorang yang sukar didekati pada awalnya selain tidak peramah.

“Tengok mula-mula macam sombong, bila sudah kenal gila-gila juga dia sebenarnya. Mungkin peringkat awal, Chad sendiri yang meletakkan jurang bagaimanapun sekarang ini semakin selesa namun, kami masih lagi mencari keserasian.

Muzik-Muzik 27 memperkenalkan beberapa segmen baru iaitu Ehat’s Happening, Music Lesson, In The Making, Muzik Muzik Tube dam Busking. Ia disiarkan setiap Sabtu, jam 5 petang.

What’s Happening berasaskan infotainment yang memaparkan aktiviti hiburan berlangsung di negara ini. Manakala In The Making lebih menumpukan sesi pembikinan album, single dan muzik video sementara segmen Busking pula menampilkan artis jemputan untuk membuat persembahan secara ‘busking’ yang di rakam di luar studio.

Paling menarik segmen Muzik Muzik Tube yang menjadi penutup program memaparkan klip video amatur oleh mereka yang berbakat besar dalam bidang nyanyian.

Dalam empat segmen yang diketengahkan, Chad paling suka ‘Music Lesson’ kerana ia memaparkan cara-cara serta teknik bermain muzik. Jika ada yang terlepas segmen ini ia masih boleh disaksikan secara online www.tonton.com.my.

Serentak tawaran Muzik-Muzik, Chad turut dilamar mengendalikan program TV9, Hip TV. Pun begitu, kerjayanya sebagai penyampai radio Hot FM yang sentiasa sibuk, menyebabkan Chad hanya boleh membuat satu pilihan saja.

Beralih perbualan kepada Faiz yang baru melangsungkan perkahwinannya dengan Suliza Ismail pada 9 Disember 2011, pembabitannya dalam program Muzik-Muzik bukanlah baru.

“Saya terbabit dengan Muzik Muzik sejak lima tahun lalu namun sebelum ini lebih menjurus kerja-kerja di sebalik tabir. Selain menjadi VJ untuk program ini, sebagai penolong penerbit saya terbabit dalam pemantauan isi kandungan program.

“Sewaktu desas-desus Cheryl dan Faizal tidak lagi mengendalikan Muzik Muzik, adalah orang sebut-sebut nama saya sebagai pengganti Faizal. Sejujurnya saya rasa tidak layak memegang gelaran pengacara Muzik Muzik kerana saya akui nama kurang dikenali.

“Sama seperti Chad saya juga terkejut dan terharu apabila diberi kepercayaan menggalas tanggung jawab ini. Nak isi kasut Faizal yang besar satu cabaran buat saya kerana sejak beberapa tahun yang lalu Faizal termasuk pasangan pengacara, Cheryl berjaya mengangkat program ini ke satu tahap yang popular.

“Malah, sepanjang menjadi VJ untuk program ini, mereka berdua memang banyak membantu saya. Kedua-duanya ibarat mentor saya,” katanya.

Faiz juga menyifatkan Muzik-Muzik kali ini lebih menarik kerana memperkenalkan teknik ‘fast paste’ yang memuatkan segala informasi sepanjang 30 minit program ini bersiaran. Teknik ini diyakini mampu menaikkan ‘rating’ kerana ia membuatkan penonton tidak puas.

Selain Muzik Muzik, Faiz adalah wajah untuk program ‘travelodge’, Makan Angin terbitan TV9 yang disiarkan setiap Ahad, jam 8.30. Rancangan ini, meneroka makanan eksotik yang terdapat di Malaysia.

Cabaran Faiz dalam mengacarakan program ini tentunya, apabila terpaksa menikmati hidangan pelik terdiri daripada organ bintang seperti lembu, ulat dan macam-macam lagi.

“Bayangkan arnab yang dijadikan binatang peliharaan seperti kucing bagi sesetengah pencinta haiwan, menjadi lauk untuk dimakan. Lebih meloyakan apabila saya perlu mencuba sejenis masakan menggunakan kepala arnab.

“Mahu tidak mahu saya terpaksa mencubanya. Sebelum saya mengacarakan program ini saya tidak makan organ dalam lembu tapi khusus buat Makan Angin saya mencuba lidah, usus, perut dan limpa lembu!

“Tak dinafikan ada sesetengah hidangan sangat sedap, tapi ada juga yang membuatkan kembang tekak. Paling mencabar sekali perlu mencuba makanan tradisional kaum Murut, Sarawak yang dipanggil Ambuyat. Cara buatannya, ikan mentah di gaul bersama nasi dan diperam selama sebulan sebelum makan,” katanya.

Berkelana dalam industri hiburan sejak lapan tahun yang lalu, Faiz memulakan karier menerusi bidang peragaan sebelum terjun ke bidang lakonan seterusnya pengacaraan. Ditanya apakah dia masih aktif berlakon, Faiz mengakui dia sudah tidak mempunyai masa untuk melakukannya.



Trivia Chad

  • Bahagian wajah atau tubuh paling disukai: Orang kata mata dan memang betul, mata.
  • Tabiat dianggap unik: Jarang sikat rambut, sebab rambut Chad lurus, guna jari saja...
  • Perkataan sering diucapkan: Lebih hangat daripada biasa! sebab ‘on air’ setiap hari.
  • Filem kegemaran: Banyak tapi paling terkesan ‘Kuch Kuch Hota Hai’.
  • Ciri lelaki pilihan: Kurus, tinggi, kulit agak gelap sikit.
  • Perkara yang membuatkan anda mudah menangis: Mama yang selalu dirindui. Mama jauh!
  • Artis Pujaan: Siti Nurhaliza dan Ummi Aida.
  • Jenis bacaan digemari: Buku motivasi.
  • Nyatakan siapa anda secara ringkas: Aktif, suka fesyen, obses dengan lagu Arab, orang Arab, selera Timur Tengah.



    Trivia Faiz
  • Bahagian wajah atau tubuh paling disukai: Bahagian tubuh paling saya suka mulut sebab bini saya kata, it’s sexy, auw!
  • Tabiat dianggap unik: Tabiat yang dianggap unik saya tak pernah pakai sikat sejak darjah 6 sebab sikat pakai tangan.
  • Perkataan yang sering diucapkan: Saya paling suka cakap ‘yer ker...’
  • Filem kegemaran: Filem yang saya suka banyak tapi kalau jenis tengok banyak kali 300, I Am Sam, Forrest Gump & 10 Things I Hate About You.
  • Wanita pilihan: Wanita pilihan saya dah jumpa dah...rendah, putih, cantik, comel, baik, pandai masak dan sabar bila kejut saya bangun pagi!
  • Perkara membuatkan anda mudah menangis: Saya kadang-kadang menangis bila teringat arwah mak tok (Rahimah Ismail) sebab saya terlalu rapat dengannya. Al-fatihah.
  • Artis Pujaan: Sudirman Haji Arshad, Johnny Depp, Leonardo Dicaprio. Kalau perempuan suka Megan Fox, Jessica Alba dan Pink.
  • Jenis bacaan digemari: Suka baca buku sejarah, terutama mengenai Islam.
  • Nyatakan siapa anda secara ringkas: Sempoi, ‘excited’, berserah dan ‘funny’.
  • No comments:

    Post a Comment