MIRI: “Peluru itu masih dalam kepala dan turut mengenai otaknya, sekali gus meletakkannya dalam keadaan sangat kritikal.
“Kerana kecuaiannya (jiran) meletakkan senapang di tempat tidak sepatutnya, nyawa anak saya kini terancam,” rintih Maderom Matassan, 41, bapa kepada Nurul Afifah, 8, kanak-kanak perempuan yang cedera parah terkena tembakan di dahi dalam kejadian di kuarters pekerja kilang di Kampung Muhibah, Kuala Baram, dekat sini, kelmarin.
Menurutnya, dia mengharapkan nyawa anaknya dapat diselamatkan meskipun doktor belum dapat mengesahkan keadaan sebenar berikutan peluru dalam kepala anaknya masih belum dapat dikeluarkan.
“Setakat ini, doktor hanya memantau keadaan anak saya berikutan peluru itu turut mengenai otak, sekali gus meletakkannya dalam keadaan sangat kritikal,” katanya ketika ditemui di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Miri, semalam.
Meskipun kesal dengan kejadian itu, Maderom berkata, dia menyerahkan perkara itu kepada pihak polis untuk tindakan dan siasatan lanjut supaya pihak bertanggungjawab dikenakan tindakan undang-undang sewajarnya.
Katanya, dia kini turut khuatir melihat emosi abang mangsa, Mohd Nur Aznul berusia 10 tahun yang sering menangis kerana trauma dengan kejadian menimpa adiknya.
“Mereka sangat rapat dan sering bermain bersama-sama selain tidak pernah berpisah. Jadi apabila perkara ini berlaku, abangnya sering menangis teringatkan adiknya.
“Keadaan ini menyebabkan saya serta isteri terpaksa menenangkan Aznul sepanjang masa dan memberitahu kami tidak menyalahkannya,” katanya.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, setakat ini dua suspek yang disyaki pemilik senapang berkenaan direman tujuh hari bagi membantu siasatan.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 32 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan.
No comments:
Post a Comment