“Jadi buat apalah saya nak berkahwin seorang lagi, nak menduakan Erra? Demi Allah saya tidak pernah berkahwin dengan orang lain kecuali isteri saya sekarang, Erra Fazira. Sudah cukup bagi saya dan Aleesya,” kata Engku Emran Engku Zainal Abidin yang mengulas gosip liar mendakwa dia sudah berkahwin dua.
Biarpun khabar angin yang menjuruskan kepada fitnah itu tersebar sejak tahun lalu, ketika itu Engku Emran lebih selesa mengambil tindakan berdiam diri daripada memberi penjelasan yang mungkin memudaratkan lagi keadaan yang sedia tidak betul.
Baginya, gosip begini adalah lumrah dunia hiburan dan menganggapnya suatu yang tidak serius. Malah Erra juga sering menjawab pertanyaan media mengenai hal ini dan menafikan pergolakan rumah tangga mereka yang dibina pada 10 Oktober 2007 itu.
Bagaimanapun kata Engku Emran yang juga Ketua Pegawai Eksekutif MalaysianDigest.Com, semakin dibiarkan, khabar angin itu semakin luar diperkatakan dan belum berhenti hingga saat ini.
“Terus terang saya katakan yang saya tidak berasa tertekan dengan gosip begini, namun perlu diingat kerana ia turut membabitkan nama keluarga walaupun mereka tahu perkara sebenar.
“Saya bersyukur mempunyai keluarga dan keluarga mentua yang memahami. Dan untuk pengetahuan semua, saya dan Erra masih tinggal sebumbung dan tidur sekatil.
“Tetapi saya perlu jelaskan sekarang sebab saya juga kasihankan Erra yang terpaksa berdepan dengan pihak media saban minggu dan diajukan soalan mengenai rumah tangga. Seperti yang Erra pernah katakan sebelum ini, doakan yang terbaik untuk rumah tangga kami,” katanya.
Menurutnya, selama ini dia boleh sahaja membalas kenyataan yang benar daripada pihaknya menerusi blog dan akaun twitter miliknya @iamkumbre. Namun katanya, kenyataan itu pasti akan berpanjangan dengan cerita susulan serta bertambah spekulasi pihak tertentu dan perkara ini tidak akan berakhir.
“Memang saya ada banyak peluang untuk membuat penjelasan itu, tetapi sampai bila? Kerana orang akan bertanya itu bertanya ini dan ia berlanjutan.
“Bagaimanapun saya harapkan dengan penjelasan ini, tiada lagi yang meragui hubungan rumah tangga kami. Terima kasihlah kerana ambil berat mengenai kami sekeluarga.
“Saya bertahan berbulan-bulan untuk tidak membuat kenyataan, tetapi ini pun saya harapkan dapat mengurang beban Erra yang berdepan dengan media, peminat dan orang ramai.
“Saya menerima segala yang berlaku ini sebagai ujian Allah. Dia menguji kerana Dia sayangkan kita.
“Sebelum kami bernikah pun, Erra pernah tanya saya, sama ada sanggup berdepan dengan gosip artis. Tetapi bagi saya, inilah harga yang harus dibayar apabila jodoh saya dengan Erra,” kata Emran.
Ditanya kemungkinan wujud orang ketiga atau pihak yang tidak senang dengan kebahagiaan mereka, Emran, 37, tidak menafikan perkara itu.
“Saya sedar yang tidak semua orang suka dengan perkahwinan kami. Cuma saya tidak faham mengapa ada orang begini, tidak faham dengan niat orang itu.
“Orang yang menyebar fitnah ini harus ingat, sedangkan jika mereka yang sengaja mengotorkan masjid pun sudah berdosa, apatah lagi kalau cuba meruntuhkan masjid itu. Saya tidak bayangkan betapa besarnya dosa orang itu,” katanya.
Kata-kata itu dibiarkannya tergantung tanpa penjelasan lebih lanjut kerana tidak mahu disalahertikan.
“Saya maafkan orang itu, tetapi dia kena minta maaf dengan Allah di atas apa yang telah dilakukannya terhadap kami.
“Sekali lagi saya katakan yang saya tidak berkahwin dua. Di dalam keluarga saya pun tiada yang mengamalkan poligami dan saya melihat bapa saya sebagai idola, sehingga sekarang dia masih setia dengan ibu saya.
“Kalau benar sekali pun saya nak kahwin lagi, sudah semestinya saya akan mendapatkan izin daripada Erra, tetapi saya tahu yang saya tidak mampu untuk berlaku adil. Erra sudah lengkap dan melengkapi hidup saya. Tetapi saya tahu Erra juga tidak akan benarkan.
“Saya pun tidak tergamak untuk membuat begini kepada anak kami, Aleesya.
“Kepada peminat atau masyarakat di luar sana, cuba fikir, setiap hari saya keluar pergi kerja dan berdepan dengan orang ramai. Cuba bayangkan bagaimana pandangan sinis atau serong orang yang memandang saya impak daripada cerita-cerita begini?
“Saya serahkan semuanya kepada Allah kerana Dia lebih mengetahui,” katanya.
Engku Emran dan Erra Fazira bernikah pada 10.10.2007 dan dikurniakan seorang anak, Engku Aleesya, 3.
No comments:
Post a Comment