BEBERAPA pemimpin Islam menemui pemimpin prodemokrasi
Myanmar, Aung San Suu Kyi berhubung keganasan agama di Yangon, Rabu
lepas.
YANGON - Pasukan keselamatan membanjiri barat Myanmar semalam bagi
mengembalikan ketenteraman selepas sekurang-kurangnya tujuh nyawa
melayang dalam keganasan antara penduduk Islam dan Buddha, menurut media
negara berkenaan.
Stesen televisyen Myanmar melaporkan, unit polis dan tentera berjaya
mengawal kekacauan yang tercetus di negeri Rakhine, dekat sempadan
Bangladesh.
Keganasan agama di negeri berkenaan menyaksikan ratusan buah rumah penganut Buddha dibakar.
"Namun, keadaan kembali tenang sejak pagi ini (semalam)," menurut stesen televisyen Myanmar.
Huru-hara tercetus kelmarin apabila sekurang-kurangnya empat penduduk
beragama Buddha maut dalam beberapa rusuhan di Rakhine yang didiami
oleh sejumlah besar etnik Rohingya.
Pada keesokan harinya, gelombang kedua keganasan melanda beberapa
perkampungan di pedalaman Myanmar apabila lebih banyak kediaman dibakar
sehingga memaksa penduduk beragama Buddha melarikan diri ke bandar
Maungdaw untuk mencari perlindungan.
Media rasmi pemerintah menyatakan, tujuh terbunuh, 17 cedera dan
hampir 500 buah rumah musnah sepanjang kekacauan dua hari di Rakhine.
Situasi tegang di negeri itu tercetus Ahad lalu selepas 10 orang
Islam yang berada di dalam sebuah bas mati dibelasah oleh 300 penduduk
beragama Buddha.
Mereka tersilap menyangka mangsa adalah beberapa penjenayah yang
merogol dan membunuh seorang gadis beragama Buddha di Rakhine, bulan
lalu.
Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan,
Rohingya merupakan antara etnik minoriti paling teruk ditindas di dunia.
Di Myanmar, Rohingya dianggap sebagai orang asing dan bukan salah satu etnik negara berkenaan.
Menurut PBB, terdapat sekitar 750,000 orang Rohingya tinggal di Myanmar dengan kebanyakan mereka menetap di Rakhine.
Lebih 1 juta lagi etnik berkenaan dipercayai hidup dalam buangan di beberapa negara lain. - AFP
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment