TEHERAN - Gempa bumi berkembar yang memusnahkan sejumlah perkampungan
di pedalaman barat daya Iran hujung minggu lalu meragut 306 nyawa
dengan kebanyakan mangsa adalah wanita dan kanak-kanak, kata beberapa
pegawai semalam.
Bencana itu juga kata mereka, mencetuskan kebimbangan penularan wabak penyakit.
Menteri Kesihatan Iran, Marzieh Vahid berkata, seramai 3,037 lagi
mangsa cedera dengan 2,011 orang diberikan rawatan di lokasi kejadian
manakala baki mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan.
Menurutnya dalam laporan yang disiarkan di laman web Parlimen Iran,
sebanyak 700 pembedahan dilakukan bagi menyelamatkan mangsa gempa bumi
tersebut.
"Kami masih meneruskan usaha bagi mencari mayat-mayat mangsa," katanya.
Kelmarin pihak berkuasa Iran membatalkan usaha operasi menyelamat
selepas memberitahu semua mangsa yang terselamat telah ditemui.
Seorang lagi pegawai, Hassan Ghadami yang merupakan Timbalan Menteri
Dalam Negeri Bagi Pengurusan Krisis berkata: "Ramai mangsa terbunuh
selepas beberapa jam pertama gempa berlaku ekoran dihempap timbunan
runtuhan kediaman mereka.,"
Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Kecemasan Iran, Gholamreza Masoumi
memberi amaran kemungkinan berlaku wabak penyakit berjangkit ketika
mangsa-mangsa tinggal dalam persekitaran kotor dan mengalami kekurangan
air dan tandas.
"Satu lagi isu penting adalah sejumlah besar bangkai haiwan yang
bergelimpangan di sekitar kawasan gempa dan di dalam sumber air,"
katanya.
Dua gempa bumi kuat berkenaan yang setiap satu berukuran 6.4 dan 6.3
pada skala Richter menggegarkan barat daya Iran pada Sabtu lalu dengan
meruntuhkan banyak bangunan dan kediaman di sejumlah perkampungan di
barat daya bandar Tabriz.
Ketua Bulan Sabit Merah Iran, Abdolhossein Faghih memberitahu
Parlimen negara itu, 230 buah kampung rosak teruk dengan sejumlahnya
musnah sama sekali dalam bencana tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, pemerintah Iran melancarkan satu dana
bagi membina semula kediaman di kawasan pergunungan dilanda gempa
tersebut menjelang musim sejuk yang akan melanda empat bulan lagi.
Pemerintah turut memberikan bantuan tunai hampir AS$2,000 (RM6,373)
kepada setiap keluarga yang terjejas selain pemberian pinjaman dengan
kadar faedah rendah sehingga AS$6,000 (RM19,119) untuk setiap keluarga.
Iran turut menolak bantuan luar daripada beberapa buah negara
termasuk Amerika Syarikat, Jerman, Taiwan, Singapura dan Rusia. Teheran
menyatakan, ia dapat menangani bencana tersebut. - AFP
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment