nuffnang

Translate


get this

Friday 17 February 2012

DATUK Siti Nurhaliza (Siti) dan Ziana Zain (Ziana)



DATUK Siti Nurhaliza (Siti) dan Ziana Zain (Ziana) antara dua nama yang bakal menggegarkan pentas Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011), di Arena Of Stars, Genting Highlands pada 8 April nanti.
Siti sebelum ini menarik diri daripada menyertai ABPBH2010 kerana berpendapat sudah tiba masanya menjadi penyokong dari belakang, bagaimanapun tidak menolak pelawaan penganjur untuk terbabit dalam segmen persembahan.
Sememangnya kemunculan persembahan Siti saban tahun di ABPBH umpama penyeri dan dinanti-nantikan peminat.

“Siti berasa terharu dan ingin mengucapkan terima kasih kepada Berita Harian kerana tidak pernah jemu mengundang Siti membuat persembahan di ABPBH walaupun tahun lalu Siti menyatakan hasrat untuk tidak lagi bertanding atau dicalonkan dalam mana-mana kategori anugerah berkenaan.

“Tetapi penganjur tetap mahukan Siti dan ini adalah satu penghormatan. Cuma tahun ini, Siti tidak dapat mengelak daripada bertanding dalam kategori Anugerah Seri Perak yang menghimpunkan semula semua Bintang Paling Popular dari tahun 1987 hinggalah sekarang.
“Siapapun yang akan menang nanti, masing-masing layak kerana mereka adalah penerima gelaran Bintang Paling Popular. Apapun yang penting pada malam itu nanti, Siti mahu memberi persembahan yang terbaik,” katanya dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular sebanyak tujuh kali.

Ziana pernah meraih anugerah tertinggi ABPBH itu pada 1995 dan bakal bersaing dengan Siti menerusi kategori Anugerah Seri Perak turut menyatakan rasa gembira, dalam lambakan pendatang baru yang berbakat besar mewarnai persada hiburan hari ini, artis ‘senior’ sepertinya terus diberi peluang.

“Kali terakhir saya membuat persembahan di ABPBH pada 2009. Sejak dulu lagi, ABPBH memang tidak pernah lupa mengundang saya. Jika tidak menyanyi, diberi mandat sebagai penyampai.

“Tahun ini saya akan menyanyi, kemungkinan besar lagu Puncak Kasih. Bagi saya apabila membuat sesuatu persembahan, artis perlu ada persediaan vokal juga penampilan. Manakala elemen yang lainnya seperti ‘props’ dan penataan cahaya yang menarik termasuk muzik yang bagus, memastikan persembahan itu lebih menarik serta meninggalkan impak,” katanya.

Memperkenalkan tema ‘Celebrations - Meraikan 25 Tahun Puncak Kegemilangan’ dengan ‘tagline’ Larger Than Life, persembahan malam itu turut menampilkan pelakon, penyanyi, pemuzik dan penghibur hebat tanah air iaitu Datuk M Nasir, Datuk Sheila Majid, Amy Search, Man Kidal, Anuar Zain, Ramlah Ram, Dayang Nurfaizah, Tam Spider, Jaclyn Victor, Adira, Aizat, Alyah, Azhar BIBH, AzlanTypewriter, Black, Bob, Ezlynn, Faizal Tahir, Hafiz, Hazama, Najwa Latif, One NationEmcees, Salma, Shiha Mentor, Shila Amzah, Stacy dan VIP.

Malah, persembahan tahun ini lebih meriah dengan kemunculan bintang Ombak Rindu, Aaron Aziz, Maya Karin dan Lisa Surihani yang akan membuat kejutan di ABPBH2011 termasuk empat lagi pelakon - Fauzi Nawawi dan isteri, Lisdawati, Maria Farida dan Watie Elite.

Penyampai trofi pada acara berperstij itu pula menampilkan Datuk Yusof Haslam, Datuk DJ Dave, Datin Normala Shamsuddin, Eman Manan, Mustafa Kamal, Ridzuan Hashim, Rosyam Nor, Wan Maimunah, Harun Salim Bachik, Adi Putra, Afdlin Shauki, Nur Fazura, Nurul Syuhada, Nora Danish, Bintang Idola, Juara Bintang Idola Berita Harian ABPBH2011, Chad dan Deen Hot FM.

Pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS bakal mengiringi persembahan artis pada malam itu nanti.

Pengumuman penyampai dan barisan artis yang membuat persembahan diadakan pada Rabu lalu bertempat di Hotel Holiday Villa, Subang. ABPBH2011 Turut memperkenalkan empat pengacara popular - Raja Azura, Sharifah Shahira, Zizan Razak dan Didie Alias, yang dipertanggungjawab mengendalikan acara gilang-gemilang itu nanti.

Datuk DJ Dave juga berbesar hati diundang sebagai penyampai trofi pada majlis penganugerahan paling konsisten di tanah air itu.

“Terus-terang, saya tidak pernah tercalon dalam mana-mana kategori untuk ABPBH kerana ia sendiri diwujudkan Berita Harian selepas zaman saya popular dulu.

“Selain saya mungkin juga ramai penyanyi dan pelakon era 70-an tidak pernah ada pengalaman dalam acara berprestij ini. Justeru itu, saya berasa amat berbesar hati menerima undangan ABPBH2011 sebagai penyampai,” katanya.

Cukup berkarisma dan masih segak bergaya, Eman Manan, yang melakar sejarah sebagai Bintang Paling Popular pada 1992, ingin memanfaatkan kehadirannya di acara gilang-gemilang itu untuk bertemu semula sahabat-sahabat lamanya.

Malah, beliau yang dicalon dalam Anugerah Seri Perak bakal berentap dengan penyanyi Aishah, Zainal Abidin, Datin Sofia Jane, Ziana, M Nasir, Siti Nurhaliza, Saiful Apek, Rosyam Nor, Mawi, Nabil dan Shaheizy Sam, tidak meletakkan sebarang harapan untuk menang.

Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola ABPBH2011, Hanizam Abdullah, ketika diminta mengulas pemilihan barisan penyampai dan artis yang membuat persembahan, memaklumkan sempena sambutan Jubli Perak ABPBH2011, Berita Harian selaku penganjur sebolehnya ingin mengembalikan semua wajah-wajah pemenang ABPBH.

“Artis antarabangsa yang kita kategorikan sebagai ‘legendary’ antaranya ‘King of Pop’, Michael Jackson; Madonna, Whitney Houston dan terbaru Lady Gaga. Di Malaysia sendiri kita juga punya bintang ternama misalnya Siti Nurhaliza, M Nasir dan Sheila Majid manakala bintang muda yang menyerlah seperti Aizat, Faizal Tahir serta ramai lagi.

“Bersesuaian tema tahun ini, kita himpunkan seramai mungkin artis popular yang mencetus fenomena dalam bidang masing-masing.

“Walaupun mungkin antara mereka tidak pernah dicalon dalam ABPBH, seperti DJ Dave namun ketika era 70-an, dia sangat popular. Cuma ketika itu ABPBH belum di wujudkan. Justeru, sebagai penghargaan kami mengundang beliau kerana hakikatnya tanpa yang lama takkan ada yang baru.

“Selain itu, Siti sekali lagi menjadi pilihan kami untuk membuat persembahan di ABPBH, kerana acara itu tidak berseri tanpa Siti. Siti begitu sinonim dengan anugerah ini.

“Konsep persembahan tahun ini juga kita wujudkan segmen khas untuk mementaskan kembali babak filem yang mencetuskan fenomena tahun lalu iaitu Ombak Rindu. ABPBH sebelumnya, pernah menampilkan Usop Wilcha, watak yang cukup popular menerusi Hantu Kak Limah Balik Rumah.

“Selain itu, selaku penganjur kami sebaik mungkin ingin mewujudkan suasana pesta yang gemilang bagi memenuhi tema ‘Celebrations’ itu sendiri,” katanya.

Hanizam menambah, daripada perbincangan bersama Primeworks, tiga pengacara ABPBH2010 iaitu Raja Azura, Zizan Razak dan Sharifah Shahirah kembali dipertanggungjawab mengendalikan ABPBH kali ini. Bagaimanapun Didie Alias adalah wajah baru yang diperkenalkan.

“Masing-masing mempunyai karakter yang gempak dan pantang dapat mikrofon, jadi awal-awal lagi kami sudah memikirkan cara terbaik untuk memastikan perjalanan acara itu lancar.

“Seperti tahun-tahun sebelumnya, tugas pengacara dibahagi-bahagi. Untuk segmen tertentu mungkin dua daripada mereka muncul terlebih dulu, mungkin seorang saja dan mungkin bertiga.

“Sebenarnya tiada masalah pun jika mereka ditampilkan serentak kerana saya percaya setiap pengacara yang kami pilih ingin membuktikan kemampuan mereka dan ingin melakukan yang terbaik.

“Ini kerana, menjadi pengacara ABPBH adalah satu peluang yang berharga sekali gus meletakkan kerjaya mereka di satu takuk yang lebih tinggi,” katanya.

Hadir sama pada majlis pengumuman itu, Pengarang Kumpulan Berita Harian yang juga selaku Penaung ABPBH 2011 iaitu Datuk Mior Kamarul Shahid, Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Berita Harian, Mahfar Ali dan Pengarang Hiburan Berita Harian, Zainuri Misfar.

Datuk Mior Kamarul Shahid turut menyempurnakan pelancaran peraduan Gemilang Bersama Bintang (GBB) Berita Harian diserlahkan oleh Lux bersama Bintang Lux, Fazura dan Pengurus Jenama, Tanya Teng. Pemenang GBB yang bertuah bakal berjalan bagaikan bintang di karpet merah bersama Fazura di malam ABPBH2011.

Sementara itu, pada majlis sama turut disampaikan hadiah kepada pemenang pereka popular bagi busana tercantik ABPBH 2010.

Lebih manis lagi, Rizman Ruzaini dipilih memenangi anugerah Pereka Popular untuk busana tercantik edisi lepas bagi kategori wanita menerusi Siti Nurhaliza. Lord’s Tailor yang menaja pakaian Shaheizy Sam pula mengungguli kategori selebriti lelaki.

No comments:

Post a Comment