nuffnang

Translate


get this

Monday 5 March 2012

Jamal Abdillah malar segar


GELARAN Raja Pop diberikan kepada penyanyi terkenal, Jamal Abdillah membawa pengertian yang sangat mendalam. Jamal membuktikan dia mempunyai ramai peminat tidak kira wanita ataupun lelaki yang mengagumi kehebatan suara machonya.
Malah, apa yang membanggakan bekas juara program Bintang RTM (1979) ini, anugerah Tuhan pada bakat suara membolehkan dia masih bertahan dalam meneruskan karier nyanyian.

Persepsi peminat terhadap Jamal bukan saja penyanyi sebaliknya penghibur yang mempunyai banyak koleksi lagu bersifat malar segar hingga diminati generasi sekarang.

Sejarah hitam kehidupan penyanyi kelahiran Ipoh, Perak ini tidak menghalang peminat terus cintakan suaranya. Jika peminat masih boleh terima diri Jamal seadanya, begitu juga penyanyi ini terus menyatakan rasa penghargaannya pada sokongan peminat.


Ketika bersua dengan Jamal dalam sidang media Minggu Setiausaha bersama Jamal Abdillah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini, dia meluahkan rasa terharu atas rezeki yang diterimanya tidak putus-putus.

“Syukur amat sangat kerana saban tahun saya terima pelbagai undangan mengadakan persembahan. Saya sendiri tidak tahu kenapa orang masih yakin pada saya untuk menjayakan persembahan seperti Hari Bapa, Hari Ibu dan Minggu Setiausaha.

“Terima kasih juga pada wartawan yang memberi liputan dan tanpa mereka sukar saya menjadi penyanyi yang mendapat permintaan tinggi seperti sekarang ini.

“Apapun, saya menganggap ini juga rezeki keluarga dan anak saya. Malah, saya dengan rendah hati ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua yang menyokong,” katanya.

Menjelang April yang sinonim dengan sambutan meraikan Minggu Setiausaha, Jamal juga tidak menang tangan menerima pelbagai jemputan mengadakan persembahan.

Katanya, dia mempunyai tiga jemputan sempena Minggu Setiausaha termasuk di luar Lembah Klang. Paling menarik perhatian, dia akan terbabit dengan satu persembahan istimewa di Dewan Merdeka, PWTC pada 3 April nanti bermula jam 12 tengah hari.

Jamal berkata, konsep persembahan untuk Minggu Setiausaha suatu yang berbeza dari aspek pemilihan lagu yang pernah disampaikan untuk peminatnya.

“Persembahan kali ini seolah-olah mahu memikat anak dara berbanding mak cik-mak cik dalam persembahan lain sebelum ini. Saya berhasrat membawa lagu cinta yang boleh menambat hati mereka.

“Jika menyanyi untuk Hari Bapa atau Hari Ibu, ia lebih kepada lagu yang meruntun perasaan tetapi kali ini, lagunya lebih ceria. Bagi susunan lagu persembahan ini, saya bekerjasama dengan Abdul Fatah selaku pengarah muzik dan Alif Nasir bermain seksofon.

“Saya yakin persembahan ini akan menjadi mantap dengan gandingan ini. Malah, saya juga akan menyampaikan lagu secara medley iaitu satu segmen bersama pelbagai lagu popular saya,” katanya.

Jamal mengakui, sukar memuaskan hati peminat dalam setiap persembahan yang dijayakan kerana tidak semua lagunya dapat dinyanyikan dalam satu masa. Dalam persembahan kali ini, Jamal akan mencipta kelainan dengan mendendangkan dua lagu bahasa Inggeris.

“Kali ini saya yakin dapat hiburkan peminat yang hadir. Saya akan sampaikan beberapa lagu yang jarang dinyanyikan seperti Dimana Bayanganmu, Hilanglah Rinduku, Sepi Rindumu dan Seniman Menangis.

“Saya turut akan menyampaikan dua lagu bahasa Inggeris, Honesty yang pernah dipopularkan Billy Joel dan lagu kumpulan The Commodores, Hurt. Memang diikutkan saya juga berdepan tekanan untuk puaskan hati semua peminat yang akan hadir nanti.

“Namun, saya beruntung atas minat untuk terus menyanyi sejak mula dan hati saya sendiri gembira untuk menghiburkan orang ramai,” katanya penuh semangat.

Ketua Pegawai Eksekutif PWTC, Datuk Maxson Abdullah H Jaafar berkata, pemilihan Jamal untuk acara sambutan Minggu Setiausaha kali ini atas permintaan ramai tetamu dan peminat.

“Kami sebenarnya setiap tahun berhasrat menjemput Jamal untuk mengadakan persembahan di sini. Jamal kembali di PWTC atas permintaan ramai. Menariknya, dia juga akan terbabit menjayakan Hari Bapa dan Hari Ibu nanti,” katanya.

Persembahan ini yang dijangka berlangsung selama sejam setengah dimeriahkan dengan kehadiran bekas peserta program Akademi Fantasia musim ketujuh, Isma bersama Dee selaku pengacara majlis.

Untuk menu makan pada acara ini, penganjur menyajikan empat bahagian hidangan Barat. Memberi tarikan, pelbagai hadiah cabutan bertuah menanti peminat bertuah antaranya dua tiket penerbangan pergi dan balik ke mana-mana destinasi pilihan di dunia tajaan Etihad Airways bersama hadiah lain berupa penginapan hotel dan resort serta barangan elektrik.

Jualan meja bermula pada RM2,000 diikuti RM3,000 dan RM5,000 memuatkan 10 tetamu satu meja. Tempahan boleh dibuat di kaunter Aras 2, PWTC atau menghubungi talian 03-2614 6701 atau 03-2614 6702.

No comments:

Post a Comment