nuffnang

Translate


get this

Monday 5 March 2012

Jidin Sengal kasi gegar

CERITA komedi sering mengundang ramai penonton ke panggung. Itu hakikat senario perfileman tempatan ketika ini apabila melihat ramai produser berlumba-lumba menghasilkan filem genre ini untuk mengikat penonton.
Jika ada penulis skrip yang sanggup menghasilkan karya genre lain seperti psikologi atau ‘thriller’ sekali pun, ia agak sukar diterima produser kerana awal-awal lagi ramai meletakkan tanggapan cerita sebegini kurang laku.

Merujuk sepanjang tahun ini, sebanyak 15 filem sudah mendapat tarikh tayangan daripada Wajib Tayang. Apa yang menarik perhatian, tujuh filem membawa genre komedi termasuk Jidin Sengal yang akan ditayangkan mulai 22 Mac ini.

Filem ini arahan Nur Esmi Zahara Yusof yang turut bertindak selaku penulis skrip dan lakon layar.


Dalam membawa kisah komedi untuk disampaikan kepada penonton, filem terbitan Outloud Studios Sdn Bhd ini menampilkan gandingan pelakon komedi popular masa kini seperti Along Cham, Azrul Zaidi, Angah Raja Lawak bersama Zack X-Factor sebagai pelakon utama dibantu Seniwati Mariani, Hamid Gurkha, Ezany Nizariff, Norman Hakim, Memey Suhaiza, Jue Aziz dan Faezah Elai.

Nur Esmi berkata, idea menghasilkan skrip filem ini sudah terdetik sejak beberapa tahun lalu. Menggunakan pengalaman sendiri kerja belakang tabir sebagai penolong pengarah dan produser selama sedekad, dia berusaha menterjemahkan ideanya ke filem pula.

“Apabila kerja belakang tabir, saya banyak berkawan dengan pelakon pembantu dan tambahan. Daripada persahabatan itu, saya kumpul cerita mereka yang menarik sama ada berlaku di lokasi atau pengalaman mereka sendiri. Kisah pelakon pembantu ini sebenarnya banyak campur cerita kelakar termasuk ada idea merapu yang ditokok tambah. Memang tidak dinafikan, segelintir penonton akan beranggapan cerita pelakon tambahan atau ‘extra’ sesuatu yang biasa untuk disampaikan.

“Tapi fokus saya sebenarnya merujuk pada mesej iaitu motivasi dalam mencapai sesuatu kejayaan. Setiap kejayaan perlu bermula dengan angan-angan,” katanya ketika dihubungi Rap, baru-baru ini.

Dalam mendapat tumpuan ramai penonton hadir menyaksikan filem ini di pawagam kelak, Nur Esmi turut mengakui barisan pelakon komedi popular memberi kekuatan pada tarikan filem arahannya.

“Along dan Angah mempunyai keserasian yang sangat bagus dan mereka memberikan sepenuh komitmen dan profesional ketika bekerja. Begitu juga, penampilan pelakon lain seperti Azrul, Jue Aziz dan Faezah yang banyak membantu perjalanan kisah ini.

“Apa yang cuba saya sampaikan, penonton boleh mengaitkan kisah dalam filem ini dengan kehidupan mereka sendiri. Dalam filem ini, saya juga bekerjasama dengan Indra Che Muda untuk mendapatkan sinematografi menarik.

“Di samping aksi jenaka, kami berusaha mencari lokasi menarik untuk mendapatkan syot terbaik. Sinematografi yang menarik memainkan peranan dalam mencetuskan ‘mood’ kepada penonton,” jelasnya.

Filem ini menjalani penggambaran selama 20 hari sejak 24 Januari 2011 di lokasi sekitar Lembah Klang, Putrajaya, Kuang dan Sungai Sendat, Selangor. Menjadi karya ‘debut’, Nur Esmi mengakui cabaran pengarah adalah memastikan penggambaran dijalankan mengikut jadual yang dirancang.

“Gemuruh menantikan maklum balas penonton tetap ada sejak dari mula penggambaran hingga sekarang. Saya memilih komedi kerana saya percaya semua penonton boleh terima.

“Saya berharap filem ini bakal mendapat respons positif dan penonton terhibur.
Menariknya, filem ini turut memulakan acara promosi jelajah di pelbagai lokasi menarik sejak dua minggu lalu.

“Selepas berkunjung ke sekolah di Johor, Melaka dan Pulau Pinang, aktiviti sama juga diadakan di Downtown Cheras dan terbaru, bersama penumpang komuter di KL Sentral pada 2 Mac,” katanya.

Bagi Azrul, peluang membintangi filem ini suatu yang dinantikan dalam mengembang bakat lakonan. Dia yang mula berlakon filem Suatu Malam Kubur Berasap terbitan produksi yang sama rasa bertuah selepas ditawarkan watak utama dalam filem itu.

“Saya membawa watak Jay-Z seorang peminat hip hop dan rap berasal dari Pantai Timur. Menariknya, apabila bercakap dialek tetap ada. Dalam cerita ini, saya bersama Jidin (Along), Bob Dobot (Angah) dan Iskandar (Zack) mengimbau pengalaman berlakon.

“Menariknya, kami juga menyanyikan lagu ‘soundtrack’, Aku Nak Popular dan masing-masing akhirnya berjaya mencapai cita-cita seperti saya menjadi penyanyi hip hop.

“Kerjasama dengan Nur Esmi tidak memberi masalah. Malah, saya bersama pelakon lain juga berkongsi idea mengenai aspek lakonan. Sekadar satu hiburan, filem ini mampu membuat penonton ketawa.

“Bagi mereka yang bekerja sebagai pelakon tambahan, mereka pasti akan rasa lebih relevan apabila menonton filem ini. Begitu juga, filem ini memberi pendedahan kepada khalayak umum mengenai kehidupan pelakon tambahan seperti saya,” katanya yang kini sibuk dengan penggambaran drama Sekolahku Hebat (Astro Ceria) dan akan terbabit dengan penggambaran filem baru, Sebelum Subuh arahan Opie Zami.

Kata Azrul, setiap watak mempunyai karakter berbeza seperti dia yang seorang kelam-kabut, Jidin bersikap lurus bendul, Bob suka berbohong dan Zack pula sering berlagak kerana dia antara pelakon tambahan yang punya rupa paras kacak.

Bagi Angah, elemen lawak masih menjadi kekuatan pada filem ini untuk mengajak penonton ke pawagam. Sambil bersikap positif terhadap sambutan yang bakal diterima, dia berharap ramai penonton seisi keluarga datang menonton.

“Gandingan pelakon hebat dan popular bersama plot cerita yang menarik, saya percaya filem ini bakal menarik perhatian peminat filem komedi yang tidak seharusnya melepaskan peluang menyaksikan filem ini di pawagam,” katanya.

Plot mengisahkan Jidin berasal dari kampung dan mempunyai impian menjadi artis terkenal. Jidin mengambil keputusan berhijrah ke Kuala Lumpur dan kemudian berkenalan dengan Bob yang bekerja sebagai pelakon tambahan. Mereka berkawan baik dan Bob mengajar Jidin mengenai bidang lakonan sebelum Jidin mengikut jejak langkah Bob.

No comments:

Post a Comment