
BANG SEM mengakui separuh jiwanya ada di Malaysia.
Dalam pertemuan bersama tokoh wartawan Indonesia itu baru-baru ini, lelaki berambut ikal yang senang membahasakan diri sebagai Bang Sem ini mengakui dia tidak pernah ketinggalan mengikuti apa sahaja perkembangan yang berlaku di Malaysia.
Daripada isu politik, kes mahkamah berprofil tinggi, jambatan bengkok di Johor Bahru mahupun wang Bantuan Rakyat 1Malaysia, semua ada dalam kepalanya.
Namun, tatkala diajukan soalan tentang pendirian media di Indonesia mengenai pelbagai isu, pendek sahaja jawapannya iaitu bebas.
Santun
“Media di Indonesia berpendirian bebas. Sangat bebas hinggakan keghairahan mengejar cerita panas menyebabkan fakta dan cerita bercampur aduk.
“Akibatnya, dunia kewartawanan yang bersifat objektif telah diracuni oleh sikap subjektif pengamalnya yang tidak kisah melanggar etika kerja asalkan akhbar mereka laris,” keluh Bang Sem.
Katanya lagi, hanya ada dua perkara yang tidak dilakukan oleh pengamal media di Indonesia.
“Pertama, merokok di stesen minyak dan kedua, memakai kasut ketika memasuki masjid.
“Selain dua perkara itu, wartawan sanggup melakukan apa sahaja untuk melariskan akhbar mereka kerana media adalah industri yang mempunyai banyak pesaing di Indonesia,” ujarnya.
Pada hari ini terdapat 167 surat khabar di negara 238 juta penduduk itu. Kebanyakan akhbar itu menyiarkan berita daerah dan dijual pada harga di antara Rp1,000 (33 sen) hingga Rp4,000 (RM1.30) senaskhah.
Tidak hairanlah, setiap akhbar saling berlumba untuk mendapatkan cerita paling hangat. Tambah Bang Sem, trend itu mengelirukan masyarakat sehinggakan mereka tidak boleh memastikan apakah artikel yang tersiar itu berita atau sampah.
“Itu sangat berbahaya. Malah, isu ini sering menjadi perdebatan dalam kalangan organisasi wartawan,” katanya yang merupakan penasihat Persatuan Wartawan Indonesia.
Sebagai wartawan senior yang mengepalai syarikat penerbitan akhbar Jurnal Nasional dan portal berita jurnas.com, Bang Sem berkata, senario media di Malaysia jauh berbeza dibandingkan dengan negaranya.
“Media di sini lebih santun, seperti rakyatnya juga. Sebab itu saya suka datang ke mari,” katanya yang pernah menjalani kehidupan zaman kanak-kanaknya di Malaysia.
Cerita Bang Sem, dia pernah dilarikan oleh bapanya ke Kuala Lumpur untuk menyelamatkan diri daripada menjadi tahanan komunis yang mengapi-apikan konfrontasi terhadap Persekutuan Tanah Melayu yang ingin membentuk negara Malaysia.
Penjara Pudu
“Ia kisah yang cukup sedih untuk dikenang. Air mata saya jadi murah kalau saya singkap semula lembaran hidup yang sangat perit itu,” ujarnya.
Menurut Bang Sem, pada awal tahun 1960-an, gerakan komunis di Indonesia membakar semangat rakyat negara itu supaya membenci rancangan penubuhan Malaysia itu. Pada masa itu, umur Bang Sem sekitar enam tahun.
![]() |
|
BAGI Bang Sem, karya seni P. Ramlee tiada penduanya.
|
“Rumah kami dibaling dengan batu dan didesak keluar dari Indonesia. Beberapa hari selepas itu, bapa membawa saya dan seorang adik ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan perlindungan.
“Antara kawasan yang pernah saya huni ialah Jalan Binjai yang kini terbina KLCC, Kampung Baru dan Kampung Pandan. Tempat permainan saya dan kawan-kawan senasib ialah di sekitar padang kuda dan Penjara Pudu.
“Saya suka melihat gelagat banduan yang baru dibebaskan. Mereka seolah-olah bingung dengan keadaan di luar. Malah, ada yang hendak masuk balik ke pintu penjara,” katanya.
Hampir lima tahun bersembunyi di Malaysia, antara perkara yang paling dirindui ketika itu adalah ibunya.
“Sukar untuk menggambarkan kerinduan saya pada ibu. Saya masih kecil dan dimanjai ibu.
“Di Malaysia, kami hidup seperti pelarian. Asal ada muka-muka mencurigakan, itu tandanya kami perlu berpindah ke kawasan lain.
“Selepas kejatuhan Sukarno dan kepimpinan negara diambil alih oleh Suharto, keadaan mulai tenang.
Ketika itulah kami pulang semula ke Indonesia,” cerita Bang Sem.
Dari detik itu, jiwa lelaki ini seakan-akan sudah sebati dengan Malaysia. Malah, dia mengaku separuh jiwanya ada di sini.
“Malaysia adalah tanah air saya yang kedua. Saya cintakannya. Jangan ditanya mengapa kerana saya sendiri sukar untuk mentafsir ikatan jiwa saya dengan Malaysia,” katanya yang begitu menggemari lagu-lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Malah, setiap kali berkunjung ke Kuala Lumpur, Bang Sem akan mencari masa untuk menziarahi pusara P. Ramlee di Jalan Ampang.
“Beliau adalah tokoh karyawan seni yang saya sanjungi. Jika saya ke kuburnya, pasti saya akan menyanyi serangkap dua lagu beliau, selepas itu barulah saya sedekahkan al-Fatihah dan berdoa,” ujarnya yang pernah dimarahi penjaga kubur kerana menyanyi di kuburan.

No comments:
Post a Comment