nuffnang

Translate


get this

Monday 5 March 2012

Vokal Salamiah Hassan masih hebat


KEMUNCULAN penyanyi baru tidak pernah menenggelam–kan kehebatan penyanyi lama. Ramai artis ‘senior’ di negara kita masih gagah menghiburkan peminat bersama aura serta bakat mereka yang tidak pernah kusam.

Salah seorang artis lama yang suaranya sentiasa dirindui adalah penyanyi era 1970-an, Salamiah Hassan. Sehingga kini, Salamiah sering diundang menyerikan pelbagai acara sama ada untuk majlis keramaian, pertunjukan pentas mahupun kaca TV.

Ramai peminat menggemari lagunya seperti Gelombang dan Menghitung Hari yang dianggap antara lagu balada terbaik pada zaman kegemilangan dulu. Malah sehingga kini, lagu itu menjadi melodi malar segar yang selalu dinyanyikan artis angkatan baru.

Menyedari dendangan Salamiah masih hebat, program Tiada Lama Tiada Baharu terbitan RTM me–ngundang beliau, baru-baru ini.


Sesuai dengan konsep program, Salamiah digandingkan dengan anaknya yang juga seorang pe–nyanyi berbakat besar, Atilia selain penyanyi bersuara lantang yang sedang popular ketika ini, Alyah.

Penerbit rancangan itu, Liza Mat Kharsa berkata, pihaknya gembira kerana dapat mengundang Salamiah untuk Tiada Lama Tiada Baharu.

“Rancangan ini adalah kesinambungan musim terdahulu yang mendapat sambutan dan ia sudah diperbaharui dari sudut pengisiannya. Kali ini, Tiada Lama Tiada Baharu menggabungkan artis senior atau veteran bersama artis popular masa kini.

“Artis senior itu juga akan berduet dengan artis baru dalam lagu hit masing-masing bersama suntikan yang segar. Selain itu, lagu popular nyanyian artis angkatan baru juga akan kami dengarkan dalam setiap episod,” kata Liza ketika dihubungi, baru-baru ini.

Liza berkata, Tiada Lama Tiada Baharu dirakamkan setiap Khamis bersama penonton di Studio 1, Angkasapuri. Lebih ceria katanya, ia menjadi tambah menarik apabila dihoskan pengacara handalan dan sensasi, Raja Azura atau Kak Engku.

“Ternyata kemunculan Kak Engku dapat menghidupkan lagi program ini. Celoteh Raja Azura sentiasa mencuit hati dan dia juga banyak berinteraksi dengan penonton.

“Diharapkan musim baru Tiada lama Tiada Baharu akan dapat memberikan impak yang berkesan kepada penonton. Ia mula ke udara sejak 23 Januari lalu dan ditayangkan setiap Isnin, jam 10 malam di TV1,” ujarnya.

Kata Liza, untuk episod bersama Salamiah yang akan ke udara malam ini, penonton akan dapat mendengar lagu seperti Menghitung Hari, Gelombang serta Kau Dan Alasanmu.

“Salamiah juga akan berduet dengan anaknya Atilia dalam lagu Kadangkala dan Tak Mungkin Kerana Sayang bersama Alyah. Kemudian mereka bertiga menyanyikan lagu Chaka Khan, Ain’t Nobody. Ia memang menarik.

“Lagu dendangan Atilia sendiri adalah Indah dan Alyah pula menyampaikan Realiti Dewi, Pesananmu dan tentunya Kisah Hati,” kata Liza.

No comments:

Post a Comment