ALOR GAJAH - Perubahan sikap yang berlaku ke atas seorang murid
perempuan Tahun Enam di sebuah sekolah dekat sini, mendedahkan perbuatan
kejam seorang lelaki warga emas yang didakwa merogol kanak-kanak
terbabit sejak empat tahun lalu.
Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Negeri (Operasi dan Risikan),
Superintendan R Gunarajan berkata, kejadian itu berlaku sejak 2007
ketika mangsa berusia lapan tahun dan sedang bersekolah dalam Tahun Dua
di sekolah terbabit sering diperkosa oleh suspek yang berusia 60 tahun
sehingga penghujung 2010.
Menurutnya, difahamkan mangsa dirogol secara berterusan sejak 2007 dan
perbuatan kejam itu disyaki dilakukan suspek berulang kali tidak
mengira waktu sama ada di rumah atau di kebun jering berhampiran rumah
mangsa di sebuah Felcra di daerah ini.
“Perubahan sikap mangsa itu disedari seorang guru kaunseling pada
Selasa lalu yang melihat mangsa kemurungan sejak kebelakangan ini
sebelum memujuk mangsa untuk menceritakan masalah yang dihadapi.
“Mangsa kemudiannya memaklumkan dia dirogol seorang lelaki yang juga
jiran sebelah rumahnya ketika ketiadaan ibu bapanya di rumah,” katanya.
Gunarajan berkata, selepas itu guru kaunseling itu menemui ibu bapa
mangsa dan menceritakan kejadian yang berlaku sebelum diarahkan membuat
laporan di balai polis berhampiran serta menjalani pemeriksaan di
klinik.
“Mangsa yang dilihat sugul dan murung dibawa ke klinik kesihatan
berdekatan untuk menjalani pemeriksaan dan hasil mendapati mangsa tidak
mengandung,” katanya.
Katanya, suspek yang berusia 60 tahun itu ditahan di rumahnya pada
petang laporan dibuat kedua ibu bapa mangsa dan suspek kini ditahan
reman sehingga 22 November ini bagi menjalankan siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan
memperkosa gadis bawah umur dan diserahkan kepada Jabatan Siasatan
Jenayah Seksual dan Kanak-kanak Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) untuk
siasatan lanjut,” katanya.
Wednesday 6 June 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment