KUALA LUMPUR - Vokalis utama kumpulan D'LLoyd dari Indonesia yang
terkenal di Malaysia sekitar tahun 70-an, Syamsuar Hasyim, meninggal
dunia di Jakarta, Indonesia hari ini.
Kematian Syamsuar, 65, disahkan anak saudaranya, Isfriansyah Putra yang
kini berada di Malaysia mengunjungi sanak saudara, kepada Bernama.
Isfriansyah, yang menetap di Aceh, Indonesia, 37, berkata bapa
saudaranya itu meninggal dunia di Hospital Husada Utama, Jakarta, akibat
sesak nafas kira-kira pukul 7.15 pagi waktu Indonesia.
Beliau berkata jenazah bapa saudaranya itu akan dibawa ke rumah
kakaknya di Kalibaru, Jakarta untuk urusan pengebumian di Taman
Pemakaman Umum Tanah Kusir, Jakarta selepas solat Asar hari ini.
Isfriansyah berkata bapa saudaranya itu yang hidup membujang dimasukkan
ke hospital yang sama setelah mengadu sesak nafas pada Khamis lepas
sebelum disahkan meninggal dunia pagi ini.
"Kami berasa sungguh sedih dengan pemergiannya kerana beliau seorang yang sangat mengambil berat terhadap kami," katanya.
Syamsuar Hasyim mula menganggotai kumpulan D'LLoyd pada tahun 1974 dan
telah merakamkan album pertama pada tahun itu juga serta mengeluarkan
beberapa lagu popular seperti Cinta Hampa, Mengapa Harus Jumpa, OH Di
mana, Keagungan Tuhan dan Sendiri.
Allahyarham kali terakhir bersama-sama kumpulan D'LLoyd mengadakan
konsert di Johor Bahru bulan lepas sebelum dilaporkan jatuh sakit dan
dimasukkan ke Hospital Husada Utama pada 21 Mei lalu dan keluar daripada
wad pada 28 Mei.
Sementara itu, saudara terdekat penyanyi itu yang menetap di Malaysia,
Isa Madon berkata kali terakhir beliau bertemu Allahyarham ketika
kumpulan D'LLoyd membuat konsert di Johor Bahru dan keadaanya dilihat
sihat.
"Saya terkejut mendengar khabar ini. Beliau seorang saudara yang sangat
pemurah, peramah bersama kami sekeluarga dan rakan artis serta seorang
yang sangat mengambil berat terhadap orang lain," katanya. - Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment