nuffnang

Translate


get this

Sunday 10 November 2013

1,200 orang maut akibat Taufan Haiyan

TACLOBAN - Seramai 1,200 orang dipercayai terkorban akibat taufan Haiyan yang melanda tengah Filipina kelmarin, kata Palang Merah Antarabangsa semalam.

Taufan itu membawa angin selaju 315 kilometer sejam menyebabkan ombak setinggi hingga tiga meter membadai bandar-bandar di tepi pantai.

"Semua rumah musnah sepanjang satu kilometer dari pantai," kata Setiausaha Dalam Negeri, Mar Roxas kepada pemberita.

Beliau menyatakan demikian selepas membuat lawatan ke pekan-pekan di Leyte yang merupakan salah sebuah wilayah yang teruk dilanda taufan tersebut.
"Ia kelihatan seperti batang mancis bertaburan di daratan. Semua rumah musnah," katanya.
Perangkaan rasmi kerajaan menyatakan, 138 orang terbunuh.

Bagaimanapun, para pekerja penyelamat masih belum tiba di kawasan bencana.
Pihak berkuasa juga menyatakan, ia tidak mampu untuk memberikan jumlah orang yang terbunuh dalam kejadian tersebut.

Setiausaha Agung Palang Merah Antarabangsa Filipina, Gwendolyn Pang menyatakan, pertubuhannya menganggarkan 1,200 orang terbunuh.

Seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang melawat wilayah Leyte menganggap, beliau menyaksikan kemusnahan besar.

"Kali terakhir saya menyaksikan kemusnahan besar itu adalah selepas kejadian tsunami di Lautan Hindi," kata pegawai itu, Rhodes Stampa.

Beliau merujuk kepada kejadian 220,000 orang terbunuh dalam kejadian tsunami yang berlaku pada tahun 2004.

Menurut seorang jurugambar agensi berita AFP yang tiba di wilayah Leyte dengan menggunakan sebuah pesawat tentera, mangsa-mangsa yang terselamat merayau-rayau di tengah-tengah runtuhan bangunan untuk meminta air.

Beliau berkata, sebahagian lagi mangsa memeriksa kediaman mereka yang musnah.
Seorang penduduk, Dominador Gullena menangis kerana berjaya menyelamatkan diri tetapi beberapa jirannya terbunuh.

Taufan itu dijangka melanda Vietnam pada hari ini.
Menurut media Vietnam, lebih 100,000 orang yang tinggal di laluan taufan tersebut telah dipindahkan.
Taufan itu merupakan antara yang paling kencang di dunia. - Agensi

No comments:

Post a Comment