PEMAIN nombor satu dunia Datuk Nicol Ann David tidak berjaya dalam misi
memburu kejuaraan dunia kelapan di halaman sendiri apabila gagal mara ke
final Kejohanan Skuasy Wanita Dunia CIMB ke-29 di sini hari ini.
Pada perlawanan separuh akhir di Arena SPICE di sini, Nicol mengalami
kekalahan mengejut kepada pemain bukan pilihan dari Mesir, Nour El
Sherbini 3-2 pada pertarungan selama 61 minit.
Pemain kelahiran Pulau Pinang berusia 30 tahun itu bagaimanapun membuka
saingan dengan langkah kanan apabila menang 11-4 pada set pertama
sebelum lawannya bangkit untuk menang dua set berikutnya 11-9, 11-6.
Nicol kembali semula dengan mengatasi Nour 11-2 pada set keempat
sebelum pemain Mesir itu memberi tentangan sengit pada set terakhir
sebelum menempah slot final dengan keputusan 11-9.
"Tumpuan saya tidak konsisten hari ini. Saya sentiasa mahu melakukan
yang terbaik di hadapan penyokong saya tetapi hari ini bukan harinya.
"Nour tidak melakukan sebarang kesilapan dan pukulannya tepat," kata Nicol yang ternyata kecewa dengan keputusan tersebut.
"Pada ketika ini, saya perlu membuat lebih banyak penilaian..Tidak ada
apa-apa yang menghalang saya kerana ini hanya permulaan tahun...sudah
pasti saya banyak belajar daripada perlawanan ini," katanya yang
menjuarai kejohanan itu sebanyak tujuh kali bermula pada 2005, 2006,
2008, 2009, 2010, 2011 dan 2012.
Dalam pada itu, Nour akan berdepan dengan pemain nombor dua dunia, Laura Massaro dari England pada final esok.
"Harap saya dapat bermain dengan lebih baik daripada hari ini pada
final esok. Saya betul-betul mahu melakukan yang terbaik dan tidak
menjangka untuk memenangi perlawanan ini," kata Nour.
"Saya memohon maaf kepada penonton yang mahu melihat Nicol mara ke final," katanya.
Dalam pada itu, Massaro menempah slot final selepas mengecewakan
seorang lagi pemain Mesir, Raneem El Weleily dengan keputusan 11-9,
11-7, 6-11 dan 11-7 dalam masa 48 minit. - Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment