Thursday 2 August 2012
Phelps pahat sejarah Olimpik
LONDON - Perenang sensasi Amerika Syarikat (AS), Michael Phelps membuktikan bahawa dia sememangnya layak bergelar jagoan dunia.
Phelps mencipta sejarah apabila menjadi atlet pertama yang berjaya meraih keseluruhan 19 pingat sejak temasya Sukan Olimpik diperkenalkan pada 1896.
Kejayaan itu hadir selepas dia berjaya membantu kuartet 4x200 meter gaya bebas lelaki AS memenangi pingat emas di Pusat Akuatik di sini awal pagi semalam.
"Ini merupakan satu kejayaan yang menakjubkan bagi saya," kata Phelps.
Setakat ini, Phelps telah memenangi 15 pingat emas termasuk ketika dia merekodkan kejayaan meraih lapan emas pada Olimpik 2008 di Beijing, China.
Pada Sukan Olimpik 2004 di Athens, dia berjaya memenangi enam pingat emas selain dua gangsa.
Di pentas Olimpik London, perenang berusia 27 tahun itu telah meraih satu pingat emas dan dua perak setakat ini.
Sebelum meraih pingat emas bagi acara 4x200m semalam, Phelps terlebih dahulu gagal mempertahankan kejuaraan dalam acara 200m kuak kupu-kupu yang dimenangi oleh perenang Afrika Selatan, Chad le Clos.
Bagaimanapun, pingat perak yang dimenangi Phelps dalam acara itu sudah cukup buatnya menyamai rekod gimnas Rusia, Larisa Latynina yang sebelum ini meraih 18 pingat Sukan Olimpik.
Sejam selepas beraksi dalam acara 200m kuak kupu-kupu, segala-galanya berubah menjadi detik paling bermakna sepanjang karier Phelps apabila dia bersama rakan sepasukannya, Ryan Lochte, Conor Dwyer and Ricky Berens mengungguli saingan 4x200m gaya bebas.
Kejayaan itu sekali gus membolehkan Phelps kini memegang status selaku atlet yang memenangi pingat paling banyak pada temasya Olimpik.
"Saya fikir, perkara yang paling besar yang saya selalu katakan adalah segala-galanya tidak mustahil.
"Saya sudah meletakkan sasaran dalam minda saya untuk melakukan sesuatu yang belum pernah dibuat oleh orang lain sebelum ini dan tidak siapa yang boleh menghalang saya untuk merealisasikannya," jelas Phelps.
Dalam acara tersebut, pingat perak menjadi milik kuartet Perancis, manakala China sekadar berpuas hati dengan pingat gangsa. - AFP
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment