nuffnang

Translate


get this

Thursday 2 August 2012

Lei Sheng 'Zorro' China


LONDON - Atlet lawan pedang China, Lei Sheng (gambar) melakar sejarah peribadi apabila memenangi pingat emas pertama antarabangsa dalam acara foil individu lelaki kelmarin.

Lei Sheng yang sekadar meraih perak di pentas antarabangsa pada kejohanan dunia 2010 di Paris, menjadi atlet China kedua yang menyumbangkan pingat Olimpik dalam acara lawan pedang.

Sebelum ini, atlet lawan pedang wanita China, Sun Yujie sekadar menyumbangkan pingat gangsa dalam acara epee individu.

"Saya tidak menjangka untuk meraih pingat. Saya hanya memberi tumpuan kepada persiapan dan beraksi dengan penuh keyakinan, jadi ia berhasil hari ini (kelmarin)," kata Lei Sheng.

Sementara itu, Alaaeldin Abouelkassem dari Mesir turut mencipta nama meskipun tewas 13-15 kepada Sheng pada aksi final, sekali gus muncul sebagai atlet pedang pertama Afrika yang meraih pingat Olimpik bagi acara tersebut.

Abouelkassem yang beraksi dengan tangan kiri meminta bantuan perubatan ekoran kecederaan pada bahagian bahu kirinya sebelum menyambung perlawanan lima minit kemudian dan mendahului 13-11.

Pemain kidal itu memberitahu, kekejangan otot pada bahu kirinya menjadikan strategi permainannya agak terhalang.

"Saya mempunyai masalah pada bahu kiri sebelum perlawanan. Kemudian ia semakin teruk dan seluruh tangan kiri saya kejang.

"Sasaran saya serba tidak menjadi dan ia menyukarkan saya untuk memenangi perlawanan akhir ini," jelasnya.

Bagaimanapun, dia yang seakan-akan tidak percaya dengan pencapaian itu mendedikasikan pingat tersebut kepada bapanya yang telah meninggal dunia.

"Kejayaan ini merupakan impian bapa saya dan dia telah pergi meninggalkan saya tiga bulan lalu," tambahnya.

Choi Byung-chul dari Korea Selatan meraih pingat gangsa selepas bekerja keras menewaskan juara dunia dan Eropah dari Itali, Andrea Baldini 15-14. - Agensi

No comments:

Post a Comment