KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) tidak perlu bertanding pada Pilihan
Raya Kecil (PRK) Dun Kajang, jika tidak mahu dilihat 'menari mengikut
paluan gendang PKR'.
Beberapa ahli politik dan penganalisis politik berpendapat BN perlu
membuat kajian mendalam agar tidak terperangkap dalam permainan politik
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malah terdapat desakan supaya Presiden BN Datuk Seri Najib Tun Razak
memegang ketetapan pucuk pimpinan BN yang tidak bertanding pada PRK DUN
Penanti, Pulau Pinang pada tahun 2009 kerana kekosongan kerusi itu bukan
disebabkan oleh peruntukan perlembagaan.
PRK DUN Penanti pada tahun 2009 diadakan berikutan peletakan jawatan
penyandangnya Mohammad Fairus Khairuddin daripada PKR dengan alasan
melanjutkan pelajaran, selain membersihkan namanya daripada segala
tohmahan rasuah.
Timbalan Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak berpendapat
BN perlu lebih fokus kepada usaha meringankan beban rakyat dan menyusun
struktur ekonomi negara daripada melayan kerenah politik pembangkang.
"Pada pandangan saya secara peribadi, biarlah Pakatan Rakyat terus
bermain dengan politik mereka sementara BN terus berkhidmat pada negara
dan membela nasib rakyat," katanya dalam laman blog beliau hari ini.
Salleh berkata BN perlu menimbang untuk tidak meletakkan calon di
Kajang kerana PRK itu pada realitinya diadakan untuk memenuhi politik
nafsu Anwar.
"Oleh kerana Kajang dikatakan kawasan (kerusi tradisi) MCA, kita
berpandangan MCA perlu fokus kepada usaha memperkukuh parti di bawah
kepimpinan baharu dan memberi tumpuan persediaan menghadapi PRU akan
datang," katanya.
PRK DUN Kajang diadakan berikutan peletakan jawatan secara mengejut penyandangnya Lee Chin Cheh daripada PKR pada 27 Jan lepas.
PKR menamakan Anwar sebagai calon parti itu, sementara bekas Menteri di
Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim, turut menyatakan hasrat
bertanding di PRK itu sebagai calon bebas.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 23 Mac ini sebagai hari mengundi dan penamaan calon pada 11 Mac.
Ketua Wanita MCA Datuk Heng Seai Kie pula berkata PRK Kajang merupakan
satu pembaziran yang hanya diwujudkan secara paksa demi menyelesaikan
krisis dalam PKR.
Beliau menyifatkan PRK yang 'dicipta' pembangkang dengan memaksa
seorang wakil rakyat meletak jawatan tanpa sebarang alasan munasabah
demi kepentingan rakyat sebagai menghina demokrasi negara.
"Maklum balas yang saya terima daripada akar umbi, kalau kita
bertanding, kita akan mengikut rentak mereka. Ia merugikan negara
sedangkan wang itu boleh digunakan untuk pembangunan infrastruktur dan
bantuan kepada orang miskin," katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, MCA yang baru sahaja selesai menjalani pemilihan parti perlu
diberi lebih peluang dan usaha untuk fokus kepada transformasi parti
dan seterusnya menambah baik penyampaian kepada rakyat.
Dalam pada itu, Pensyarah Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti
Utara Malaysia (UUM) Md Shukri Shuib berkata lebih baik PRK DUN itu
diboikot semua pihak jika peletakan jawatan penyandangnya tanpa alasan
kukuh tidak disiasat dan diambil tindakan perundangan.
"Bukan niat kita hendnak memboikot demokrasi tetapi perlu ada penghormatan kepada undang-undang.
"Ini bukan soal takut, atau soal siapa hero atau tidak. Kalau nak jadi
hero lebih baik masuk gusti, ini lebih kepada strategi politik, kalau
tak ada keperluan dan kepentingan maka lebih baik sahaja elak
pertandingan," katanya.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains
Malaysia Dr Sivamurugan Pandian pula berkata BN sebelum ini pernah tidak
bertanding di Penanti berikutan senario yang agak sama yang berlaku di
Kajang ketika ini.
"Presiden dah pernah buat ketetapan di Penanti, pada ketika itu beliau
berkata BN tidak akan bertanding kerusi itu yang sengaja dikosongkan dan
bukannya disebabkan faktor-faktor seperti dalam peruntukan
perlembagaan,"
katanya.
Sivamurugan berpendapat BN seeloknya terus berpegang kepada ketetapan
itu yang secara tidak langsung dapat mempamerkan kematangan yang lebih
berkualiti.
Sementara itu, Persatuan Alumni UiTM dalam satu kenyataan menyifatkan
PRK DUN Kajang suatu yang tidak perlu dan dipaksakan ke atas pengundi
kawasan itu yang baru sahaja mengundi tidak sampai setahun lepas.
"Ia menodai prinsip dan amalan demokrasi. Oleh demikian, BN tidak perlu
mengambil bahagian dalam PRK tersebut," menurut kenyataan itu. -
Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment