TERKENAL di pentas peragaan dan status supermodel Malaysia yang
disandangnya bukan satu ukuran buat Tengku Azura Tengku Awang untuk
mendabik dada. Apatah lagi, dia merupakan pelakon paling hijau dan
merupakan satu-satunya bunga dalam filem
Bunohan arahan Dain Said itu.
Mengakui pengalamannya sebagai pelakon cukup cetek, hanya sempat terlibat dalam drama
Mr. Bendul serta filem
Dukun yang tidak ditayangkan juga kemunculan
cameo dalam filem
Dari Kerana Mata arahan Melissa Saila yang belum ditayangkan, nampaknya filem
Bunohan menjadi penanda aras pertamanya di layar perak Malaysia.
"Lakonan bukan bidang saya. Saya terima tawaran ini kerana saya sudah kenal lama Dain Said dan pernah terlibat dalam filem
Dukun
arahannya. Saya selesa dengan cara kerjanya selain watak yang diberikan
juga cukup menarik," tuturnya yang pernah menjadi wajah jenama terkenal
antarabangsa, Dior.
Hakikat sebenarnya kata Azura, keluarganya tidak bersetuju dengan keputusannya untuk terlibat dalam filem
Bunohan
pada awalnya, namun disebabkan lokasi penggambaran filem itu di tepi
pantai negeri Terengganu turut menggamit nostalgia buat keluarga,
akhirnya Azura mendapat restu penuh daripada ibu dan bapanya.
"Ibu bapa saya tidak suka saya berlakon sebenarnya tetapi apabila
mendapat tahu lokasi penggambaran dilakukan di tepi pantai Terengganu
yang secara kebetulan itu adalah Kampung Payang tempat nenek saya
membesar, mereka terus setuju. Sekarang kampung itu telah tiada kerana
telah dihanyutkan oleh air laut," tutur wanita berusia 37 tahun itu
lagi.
Meskipun lakonan bukan bidangnya dan hanya muncul dalam beberapa
babak sahaja, namun lakonan Azura wajar dipuji. Wajah kosong tanpa
sebarang solekan, pakaiannya pula bukannya jenama terkenal sebaliknya
kebaya dan kain batik lusuh.
Lokasi penggambaran tempat berpijak Azura adalah kawasan paya yang
penuh dengan lintah dan berhampiran muara sungai yang arusnya agak
deras.
Selepas melihat hasilnya pada tayangan filem
Bunohan baru-baru ini, segala pengorbanannya itu berbaloi apabila melihat hasilnya yang cukup memuaskan hatinya.
"Sepanjang penglibatan saya sebagai pelakon inilah watak yang paling
berat pernah saya bawa. Tiada sebarang solekan dengan hanya berkain
batik dan ratusan pacat di paya, memang satu pengalaman baharu buat
saya.
"Pada mulanya takut juga, lama-kelamaan seronok pula. Sekarang saya
tahu, saya boleh lakukannya walaupun lokasi penggambaran agak bahaya
seperti arus deras ketika saya berjalan di paya yang berhampiran muara
sungai," ceritanya.
Adakah Azura akan aktif berlakon selepas ini, seandainya
Bunohan cemerlang di pawagam sebaik ditayangkan bermula 8 Mac ini?
"Saya rasa tidak, kerana minat saya bukan terarah kepada lakonan.
Terus terang saya katakan lakonan bukan sesuatu yang saya mahukan buat
cabaran diri. Lagipun usia saya sudah cecah 37 tahun, sudah terlambat
andai saya mahu terlibat secara serius dalam lakonan.
"Jika ada tawaran lain mungkin saya tidak terima. Saya cuma akan
berlakon jika tawaran itu datangnya daripada Dain Said sahaja. Bukannya
berlagak diva atau sombong, saya harap pihak lain faham dan tidak salah
anggap tentang pendirian saya," balasnya.
Merupakan satu-satunya wanita yang muncul dalam filem
Bunohan
yang menampilkan lakonan hebat Faizal Hussein, Zahiril Adzim, Pekin
Ibrahim, Bront Palarae, Soffi Jikan, Nam Ron, Wan Hanafi Su, Amerul
Affendi dan Jimmy Lor, ia satu penghormatan yang cukup besar buat Azura.
Bimbang andai lakonannya tidak setaraf dengan pelakon yang lain, ujar
Azura, dia berterima kasih kerana pelakon lain banyak membantunya larut
dalam jiwa Mek Yah.
"Alhamdulillah, apabila masuk sahaja set penggambaran ramai yang
membantu saya. Mulanya risau juga sebab tengok senarai pelakon, semuanya
memang hebat jika hendak dibandingkan dengan saya terasa diri amat
kerdil sekali.
"Apapun saya sangat bertuah dan satu penghormatan apabila terlibat
dalam sebuah produksi yang bagus. Saya berbangga kerana terlibat dalam
Bunohan," kata Azura.
Kuasa lelaki
Filem
Bunohan yang dikuasai oleh pelakon lelaki cukup
cemerlang daripada persembahan masing-masing. Semua watak berjalan
dengan cukup seimbang dan sudah pasti yang paling menarik perhatian
adalah watak Ilham yang dipikul Faizal Hussein sebagai pembunuh upahan.

|
GABUNGAN lakonan Faizal Hussein dan Bront Palarae menyuntik kemantapan dalam tenaga lakonan filem Bunohan.
|
Kata Faizal, selama empat tahun dia menyiapkan diri untuk watak tersebut, dan
Bunohan merupakan satu-satunya filem lakonannya yang mana dia telah membuat persediaan cukup lama sebelum penggambaran bermula.
"Saya sudah tahu saya akan bawa watak sebagai Ilham ini lebih daripada empat tahun ketika saya menjalani penggambaran filem
Dukun
lagi. Sebelum penggambaran kami masuk kelas belajar bertutur dalam
dialek Kelantan, saya diajar cara membawa bot serta cara-cara untuk
membunuh dengan berkesan.
"Tiada solekan di wajah cuma minyak dan air sahaja, manakala pakaian
saya sepanjang filem ini hanyalah sehelai baju dan seluar yang sama.
Wajah saya tidak disolek sebaliknya badan yang disolek untuk menunjukkan
ketulan badan Boleh dikatakan sepanjang kerjaya lakonan saya, ini
adalah watak terbaik pernah saya bawakan" katanya.
Bunga Lalang
Faizal bersyukur dalam usianya mencecah angka 45 tahun kini, masih
ada penerbit yang sudi menaruh kepercayaan buat dirinya untuk memegang
watak utama dalam filem. Katanya,
Bunohan sangat istimewa kerana bukan wang yang menjadi taruhannya.
"Saya tidak sangka akan berlakon filem dan memegang watak utama pada usia sebegini. Jujur, saya katakan
Bunohan
sangat istimewa bukan sahaja buat saya tetapi seluruh tenaga produksi
kerana kami berlakon bukan kerana duit tetapi hanya untuk menghasilkan
sebuah karya yang mampu dibanggakan sebagai anak seni tempatan,"
ungkapnya yang bakal muncul dengan drama
Titisan Darah Pahlawan di RTM 1.
Sementara itu, Zahiril Adzim yang membawakan Aidil atau Bunga Lalang
seorang petinju tomoi. Dia telah membawa wataknya cukup cemerlang dan
berjaya menyakinkan penonton bahawa dia cukup arif bertinju sedangkan
dia bukanlah seorang peninju profesional.
Mengambil masa dua bulan belajar tinju tomoi, setiap babak berlawan
dilakukan seperti perlawanan sebenar mengikut kata pengarah supaya babak
itu berkesan kepada penonton.
"Bayangkan saya dan Amerul belajar tomoi yang telah disingkatkan
daripada setahun menjadi dua bulan. Kami diajar seperti kami benar-benar
akan naik atas pentas dan berlawan. Cedera dan lebam-lebam itu perkara
biasa, jika tidak, tidak nampak keaslian babak itu.
"Babak akhir yang memerlukan saya berlawan dengan kawan baik saya
sendiri dalam filem itu mengambil masa selama empat hari. Jadi, selama
empat hari saya disepak terajang di tempat yang sama di badan,"
ungkapnya yang cukup gembira terlibat dalam naskhah Dain Said itu.
Dalam pada itu, Bakar, satu lagi watak penting dalam
Bunohan dilakonkan oleh Pekin dengan penuh impak. Wajah suci, sopan dan santun serta menggambarkan golongan profesional dalam
Bunohan,
namun ada sisi dirinya yang amat hitam. Ujar Pekin, dia tidak sangka,
hadir ke uji bakat untuk watak pembantu, tetapi diberi pula watak utama.
"Ketika diberitahu saya dapat watak penting dalam
Bunohan, saya hampir menangis dan sebak sebab tidak percaya diberi watak Bakar, kerana
Bunohan
antara naskhah yang saya benar-benar ingin berlakon. Datang pula uji
bakat semuanya pelakon hebat seperti guru saya sendiri, memang saya
sangat terkejut," ujarnya.
Sambung Pekin, selain naskhah yang hebat, dia juga gembira kerana
filem ini melibatkan semua aktor yang benar-benar boleh berlakon dengan
baik.
"Saya sudah lama tunggu naskhah seperti
Bunohan yang
melibatkan semua aktor yang kita tahu kebolehan lakonan mereka tidak
boleh dipertikaikan. Seluruh tenaga produksi juga sangat bagus, kami
mempunyai pengalaman yang cukup seronok ketika di set penggambaran,"
balasnya yang gembira dapat memegang watak antagonis.
Bunohan secara keseluruhan sebuah filem cemerlang dan berbeza daripada filem yang pernah dihidangkan oleh pengarah tempatan.
Filem ini mengisahkan tiga orang adik-beradik, Bakar, Ilham dan Aidil
yang berperang dengan jiwa masing-masing kerana masalah keluarga,
terutama terhadap subjek utama permasalahan iaitu perebutan hak tanah
yang akhirnya menjadi taruhan jiwa seluruh keluarga mereka.